Kolumbarium St Peter: kolumbarium Katolik pertama di Sarawak

KUCHING — Pada 5 Disember 2017, kira-kira 50 orang yang terdiri daripada perunding, kontraktor, ahli majlis paroki, anggota Yayasan Kemanusiaan (Humanitarian Foudation) dan beberapa anggota paroki menyaksikan upacara pemberkatan dan pecah tanah oleh Uskup Agung Simon Poh untuk pembinaan Kolumbarium di Gereja St Peter. 

Dalam ucapan alu-aluannya, Uskup Agung mengucapkan terima kasih kepada ahli majlis, anggota paroki dan penderma, terutamanya Yayasan Kemanusiaan berkenaan, yang telah menjayakan projek ini.
Beliau berkata Kolumbarium itu merupakan sebuah tempat suci untuk menyimpan abu mayat yang telah dibakar. Menerusi Yayasan Kemanusiaan itu, beberapa ruang juga akan disediakan bagi orang Katolik yang memerlukan bantuan dan miskin sebagai tempat persemadian terakhir mereka.

Kolumbarium merupakan bangunan di mana ‘niche’ (ruang) disediakan untuk menempatkan abu mayat. Ia berasal daripada perkataan Itali ‘columba’, yang bermakna ‘tempat tinggal burung merpati’. ‘Niche’ merupakan ruang dalam dinding kolumbarium untuk menempatkan bekas abu mayat selepas pembakaran.
Apabila ditanya kenapa paroki itu memutuskan untuk membina kolumbarium dalam kawasan paroki, Rektor Gereja St Peter, Father Vincent Chin, menjelaskan mereka cuba memulihkan satu tradisi lama Gereja.

“Tradisi lama Gereja adalah untuk menyediakan tanah perkuburan di sebelah gereja bagi memastikan mereka yang meninggal dunia berada dekat dengan jemaat yang percaya. Selama ini, di mana sahaja ada gereja, tanah perkuburan sentiasa ada di sebelahnya,” katanya.

Kedekatan tanah perkuburan dengan gereja memudahkan jemaat untuk melawat kubur dan berdoa untuk ahli keluarga tersayang setiap kali mereka pergi ke gereja. Ia juga bertindak sebagai peringatan bahawa ia adalah tanggungjawab mereka untuk berdoa bagi mereka yang sudah pergi, dan mereka juga akan dikuburkan di sana suatu hari nanti. Ia juga untuk menunjukkan bahawa orang tidak ada apa-apa untuk ditakutkan mengenai orang mati.

Dengan masalah kekurangan tanah sekarang di Kuching dan peraturan kerajaan mengenai tapak perkuburan, menyediakan tanah perkuburan dekat gereja hampir mustahil. Itulah sebabnya kenapa tanah perkuburan Katolik semakin jauh. Tanah perkuburan terdekat di Kuching yang dapat digunakan oleh kebanyakan orang Katolik adalah tanah perkuburan di Batu 13-1/2.

“Dalam situasi seperti ini, orang mungkin akan pergi ke tanah perkuburan dua kali setahun, sekali pada ulang tahun kematian seseorang itu, sekali lagi pada Hari Arwah,” kata Fr Chin.

“Selain daripada itu, kebanyakan mereka (orang mati) dilupai,” katanya. “Kewujudan kolumbarium ini akan mengembalikan tradisi lama itu.”

“Ketika kami membuat keputusan untuk mengadakan kolumbarium ini, kami menjadikannya tanggungjawab dan komitmen kami untuk merangkumi orang yang sudah mati pada setiap Hari Arwah dan setiap Jumata pada November dan pada bulan ulang tahun kematian mereka, tidak kira sama ada keluarga mereka memanjatkan sembahyang Misa untuk mereka atau tidak,” kata Fr Chin.

Beliau berkata ramai anggota paroki bimbang orang tidak ada untuk berdoa bagi mereka selepas mereka meninggal dunia nanti kerana anak-anak mereka berada di luar negara dan mereka tidak ada ahli keluarga atau rakan lain di sini.

“Kami memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka akan dijaga,” ujarnya.

Dokumen ‘Ad resurgendum cum Christo’, satu panduan “berhubung pengebumian orang yang sudah meninggal dunia dan pemeliharaan abu dalam kes pembakaran” yang dikeluarkan oleh Kongregasi Doktrin Kepercayaan apd 15 Ogos 2016, menyebut bahawa walaupun Gereja mengutamakan pengebumian di tanah perkuburan, ia tidak ada bantahan doktrin terhadap amalan pembakaran.

“Pembakaran mayat tidak menjejaskan jiwa si mati, ia juga tidak menghalang Allah, Yang Maha Kuasa, daripada membangkitkan mayat orang mati kepada kehidupan baharu,” kata panduan itu.

Sebaliknya Gereja lebih bimbang mengenai cara yang betul untuk mengendalikan mayat.

“Pada masa lalu peraturan atau garis panduan tidak ada, dan orang hanya membuang abu,” jelas Fr Chin.

Dokumen itu mengetengahkan tiga perkara: pertama, abu tidak boleh ditabur sesuka hati di mana sahaja; kedua, abu tidak boleh dibahagikan; dan ketiga, abu tidak dibenarkan untuk disimpan di rumah.

Amalan menabur abu ke alam semula jadi merupakan satu amalan Buddha, tegasnya.

“Pengikut Buddha percaya apabila mereka mati, mereka memasuki keadaan kosong. Abu tidak lagi penting, dan oleh itu anda boleh buat apa sahaja yang anda suka dengannya,” katanya.

“Bagaimanapun, bagi kita, orang Katolik, apabila seseorang itu dibakar, abu itu masih abu seseorang, sama seperti mayat seseorang yang dikebumikan di dalam tanah. Jadi Gereja menekankan bahawa penghormatan yang betul kepada abu mesti diberikan,” ujarnya.

Mengenai larangan Gereja kepada penyimpanan abu di rumah, Fr Chin berkata, “Anak anda mungkin menghormati anda dan oleh itu, mereka pasti mahu menyimpan bekas abu dengan baik. Namun bagi generasi seterusnya yang tidak mengenali anda, kebarangkalian abu itu tidak dijaga dengan baik adalah tinggi.”

Salah satu sebab untuk membina kolumbarium ialah gereja tempatan masih belum ada tempat yang baik bagi orang Katolik yang memilih pembakaran. Oleh kerana itu, abu mereka terpaksa disimpan di kolumbarium orang Buddha.

“Ini bukan satu gambaran yang baik mengenai Gereja,” katanya. “Jika kita membenarkan pembakaran mayat, kita mesti juga ada tempat yang baik untuk mereka juga.”

Ditanya mengenai prosedu untuk mendapatkan ‘niche; yang diingini di kolumbariuam baharu, Fr Chin berkata anggota paroki boleh memberi sumbangan khusus. Sumbangan itu akan digunakan untuk membina kolumbarium, manakala lebihan akan digunakan untuk membina gereja paroki baharu.

“Sebagai penghargaan bagi sumbangan itu, kami menawarkan penderma ruang dalam kolumbarium. Mereka tidak memiliki ruang itu. Segalanya masih dimiliki gereja,” katanya.

Peraturan seperti itu dibuat supaya, jika pada masa depan kolumbarium itu perlu dipindahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan lebih penting, atau kerajaan tiba-tiba mahu mengambil balik tanah di mana kolumbarium itu berada, gereja tidak perlu meminta kebenaran daripada setiap keluarga yang mempunyai ahli yang disimpan di kolumbarium itu.

“Apabila keadaan yang tidak dijangkakan seperti itu timbul, kami akan memindahkan seluruh kolumbarium ke tempat baharu atas perbelanjaan sendiri,” kata Fr Chin.

“Keluarga mungkin memilih untuk membawa balik bekas abu atau terus membiarkan gereja menyimpannya untuk mereka tanpa bayaran tambahan,” katanya. “Penempatan bekas abu adalah tetap seperti tanah perkuburan.”

Dua jenis ‘niche’ ditawarkan, untuk pasangan suami isteri dan orang perseorangan. Sumbangan bagi ‘niche’ perseorangan adalah antara RM5K – 8K, manakala sumbangan bagi pasangan suami isteri adalah dari RM8K – RM13K, bergantung kepada aras. ‘Niche’ tersebut mempunyai enam aras. Kolumbarium dua tingkat itu dapat menempatkan kira-kira 5,000 orang. Mereka yang berminat untuk mendapatkan ruang perlu menghubungi Fr Vincent Chin secara peribadi di pejabatnya.

Seluruh jumlah kontrak bagi projek itu adalah RM4.028 juta. Paroki sangat bersyukur kepada Yayasan Kemanusiaan yang diketuai Dr Jeffrey Goh, yang dengan murah hati menaja RM3.666 juta untuk projek pembinaan itu. Pembinaan kolumbarium dijangka siap pada Disember 2018.

Audrey Yu (Terjemahan)

Baca dalam Bahasa Inggeris


Today’s Catholic Vol.29 No.10 January 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *