Tag Archives: BM

Ikrar terakhir Sister Jovita, komitmen sepanjang hayat

Uskup Agung John Ha menyarung cincin pada jari Sr Maria Jovita.
Uskup Agung John Ha menyarung cincin pada jari Sr Maria Jovita.

KUCHING – Dalam Misa Senja pada 30 Januari lalu, Sister Maria Jovita SSFS membuat ikrar terakhirnya bagi kehidupan religius, disaksikan oleh ahli-ahli keluarganya dan lebih seribu anggota paroki.

Sewaktu upacara melafazkan ikrar, Sr Jovita bertelud di hadapan Superior Jeneral Sister Flora Tingang SSFS dan Uskup Agung John Ha dan melafazkan tiga kaul iaitu kesucian, kemiskinan dan kepatuhan sehingga akhir hayatnya.  Continue reading Ikrar terakhir Sister Jovita, komitmen sepanjang hayat

Bangunan baharu Sacred Heart Chapel diberkati

MUKAH — Pada Sabtu, 13 Disember, Bishop Sibu, Bishop Joseph Hii Teck Kwong telah memberkati bangunan baharu Sacred Heart Chapel, Kampung Jebungan, Mukah.

Memandangkan pertambahan umat Kristian dan tempat beribat, bangunan Chapel Santa Angela Mericci yang semakin uzur, kerajaan negeri Sarawak telah memperuntukkan kewangan sebanyak RM27,000.00 sekitar tahun 1980an untuk membina sebuah chapel baharu yang dinamakan Sacred Heart Chapel.

Chapel tersebut telah diberkat serta dirasmi oleh Bishop Sibu, Bishop Dominic Su pada 14 Mac 1987.

Selepas lebih 25 tahun digunakan, bangunan chapel uzur lagi dan condong disebabkan pemendapan tanah. Oleh itu, pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja telah ditubuh bertujuan untuk membina chapel baharu.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk sumbangan kerajaan negeri Sarawak sebanyak RM450,000.00 untuk membina chapel baharu. Selain itu, derma dan sumbangan ikhlas daripada umat kristian Kampung Jebungan, Kampung Tega dan sekitar Mukah serta umat kristian daerah lain dan dari Bahagian lain juga diterima sehingga mampu membina bangunan chapel baharu.

Tapak Sacred Heart chapel telah diberkati oleh Bishop Sibu, Bishop Joseph Hii pada 14 April 2013.

Harapi Charles

Young Catholic Undergraduates Kem Singai

Bau — Pada 19-21 Ogos lalu, kumpulan ‘Young Catholic Undergraduates’ (YCU) di bawah naungan Jawatankuasa Pelajar Kristian, Exco Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Samarahan, telah menganjurkan Kem Singai di Catholic Memorial and Pilgrimage Centre (CMPC) atau Pusat Ziarah dan Peringatan Katolik di Singai, Bau.

YCU UiTM Kampus Samarahan juga merupakan sebahagian daripada jawatankuasa Kuching Campus Ministry (KCM) atau Ministri Kampus Kuching selain Gabungan Pelajar Kristian (GPK).

Kem Singai adalah aktiviti wajib YCU bagi setiap semester. Tema Kem Singai pada kali ini adalah ‘Set Our Hope On The Living God’ (1 Tim. 4:10) atau ‘Sandarkan Harapan Kita Kepada Tuhan Yang Hidup’.

Tujuan utama kem itu dijalankan adalah untuk merapatkan hubungan antara siswa-siswi Kristian di antara pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuching yang terdiri daripada pelbagai mazhab untuk berkongsi cinta kasih dalam mengasihi dan melayani Tuhan sebagai satu keluarga sejagat.

Kira-kira 180 peserta menyertai Kem Singai kali ini termasuk ahli jawatankuasa kem serta peserta dari UiTM Kampus Samarahan, Politeknik Kuching, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu dan beberapa institusi lain.

Penyerahan kepada Hati Kudus Yesus telah dilakukan semasa Kebaktian Pagi yang menjadi penekanan utama bagi semua peserta untuk menjadi satu dengan Yesus Kristus dan membenarkan diri dibentuk melalui Roh Kudus.

Penceramah jemputan Kem Singai adalah Qarl Teddy yang merupakan bekas ahli jawatankuasa YCU. Beliau bermula dengan ceramah pertama bertajuk ‘Belia: Waktu Harapan’ yang menekankan tentang persoalan hidup belia terutamanya dari sudut impian, cita-cita dan harapan mereka.

Ceramah keduanya yang bertajuk ‘Yesus Kristus: Harapan Kita Yang Terbaik’ mengajak peserta menjadikan Yesus Kristus sebagai sumber harapan mereka dengan meneladani Saint Paul.

Penyelaras peserta kem, Calvin Ohsey, amat berpuas hati dengan sambutan yang diterima kerana ia merupakan satu cabaran bagi jawatankuasa YCU untuk mengurus peserta yang agak ramai berbanding sebelumnya.

Selain itu, kem itu juga dapat meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi di kalangan peserta melalui Latihan Dalam Kumpulan yang berlangsung pada petang Sabtu.

Tambahan pula, ramai peserta merasai kehadiran Roh Kudus semasa aktiviti ‘Inner Healing’ (Penyembuhan Dalaman) yang dijalankan oleh Kumpulan Karismatik Bau melalui pimpinan Tommy Yap.

Selesai sesi tersebut, Konsert Kem Singai menjadi kemuncak pada hari berkenaan di mana peserta dapat mengalami cinta kasih Tuhan menerusi pujian dan penyembahan mereka.

Secara keseluruhannya, Kem Singai dapat menyedarkan peserta mengenai harapan yang tiada batasnya dalam hidup mereka apabila meletakkan Yesus Kristus sebagai sumber inspirasi.

Pada hari Ahad iaitu hari terakhir kem, Misa Kudus dirayakan di bawah pimpinan Father Joseph Chai.

Aktiviti terkhir iaitu pengumuman ‘Guardian Angel’ (Malaikat Penjaga) dan ‘Guardian Child’ (Anak Penjaga) (GA/GC) di antara peserta dengan ahli jawatankuasa (AJK) yang terlibat sepanjang kem itu bagi mengeratkan lagi tali kekeluargaan antara mereka. Masing-masing bertukar hadiah sambil berkenalan antara satu sama lain.

Kebanyakan peserta memperolehi pelbagai ilmu kerohanian berhubung dengan tema kem itu sendiri. Mereka juga faham mengenai pertumbuhan rohani dan berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam pelbagai aktiviti berkumpulan.

Aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan adalah kebaktian ‘Divine Office’, ‘Sing Along’, ‘Praise And Worship’, ‘Group Dynamic’, Senaman Rohani dan perkongsian dalam kumpulan.

Sepanjang kem itu diadakan, semua AJK dan peserta telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam menjayakan aktiviti selain menerima bantuan, sokongan dan kelulusan penuh daripada pihak pengurusan UiTM.

Rata-rata komen daripada borang maklum balas peserta Kem Singai berharap agar kem berkenaan dapat menarik lebih ramai siswa-siswi untuk mengikutinya kerana bagi mereka, ia bukan hanya sekadar memberikan kesedaran rohani kepada mereka malah juga dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan mengasihi Tuhan serta sesama dengan lebih ikhlas lagi.

YCU UiTM Samarahan

Published on 21 September 2011 @ 5:12 pm