Young Catholic Undergraduates Kem Singai

0

Bau — Pada 19-21 Ogos lalu, kumpulan ‘Young Catholic Undergraduates’ (YCU) di bawah naungan Jawatankuasa Pelajar Kristian, Exco Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Samarahan, telah menganjurkan Kem Singai di Catholic Memorial and Pilgrimage Centre (CMPC) atau Pusat Ziarah dan Peringatan Katolik di Singai, Bau.

YCU UiTM Kampus Samarahan juga merupakan sebahagian daripada jawatankuasa Kuching Campus Ministry (KCM) atau Ministri Kampus Kuching selain Gabungan Pelajar Kristian (GPK).

Kem Singai adalah aktiviti wajib YCU bagi setiap semester. Tema Kem Singai pada kali ini adalah ‘Set Our Hope On The Living God’ (1 Tim. 4:10) atau ‘Sandarkan Harapan Kita Kepada Tuhan Yang Hidup’.

Tujuan utama kem itu dijalankan adalah untuk merapatkan hubungan antara siswa-siswi Kristian di antara pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuching yang terdiri daripada pelbagai mazhab untuk berkongsi cinta kasih dalam mengasihi dan melayani Tuhan sebagai satu keluarga sejagat.

Kira-kira 180 peserta menyertai Kem Singai kali ini termasuk ahli jawatankuasa kem serta peserta dari UiTM Kampus Samarahan, Politeknik Kuching, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu dan beberapa institusi lain.

Penyerahan kepada Hati Kudus Yesus telah dilakukan semasa Kebaktian Pagi yang menjadi penekanan utama bagi semua peserta untuk menjadi satu dengan Yesus Kristus dan membenarkan diri dibentuk melalui Roh Kudus.

Penceramah jemputan Kem Singai adalah Qarl Teddy yang merupakan bekas ahli jawatankuasa YCU. Beliau bermula dengan ceramah pertama bertajuk ‘Belia: Waktu Harapan’ yang menekankan tentang persoalan hidup belia terutamanya dari sudut impian, cita-cita dan harapan mereka.

Ceramah keduanya yang bertajuk ‘Yesus Kristus: Harapan Kita Yang Terbaik’ mengajak peserta menjadikan Yesus Kristus sebagai sumber harapan mereka dengan meneladani Saint Paul.

Penyelaras peserta kem, Calvin Ohsey, amat berpuas hati dengan sambutan yang diterima kerana ia merupakan satu cabaran bagi jawatankuasa YCU untuk mengurus peserta yang agak ramai berbanding sebelumnya.

Selain itu, kem itu juga dapat meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi di kalangan peserta melalui Latihan Dalam Kumpulan yang berlangsung pada petang Sabtu.

Tambahan pula, ramai peserta merasai kehadiran Roh Kudus semasa aktiviti ‘Inner Healing’ (Penyembuhan Dalaman) yang dijalankan oleh Kumpulan Karismatik Bau melalui pimpinan Tommy Yap.

Selesai sesi tersebut, Konsert Kem Singai menjadi kemuncak pada hari berkenaan di mana peserta dapat mengalami cinta kasih Tuhan menerusi pujian dan penyembahan mereka.

Secara keseluruhannya, Kem Singai dapat menyedarkan peserta mengenai harapan yang tiada batasnya dalam hidup mereka apabila meletakkan Yesus Kristus sebagai sumber inspirasi.

Pada hari Ahad iaitu hari terakhir kem, Misa Kudus dirayakan di bawah pimpinan Father Joseph Chai.

Aktiviti terkhir iaitu pengumuman ‘Guardian Angel’ (Malaikat Penjaga) dan ‘Guardian Child’ (Anak Penjaga) (GA/GC) di antara peserta dengan ahli jawatankuasa (AJK) yang terlibat sepanjang kem itu bagi mengeratkan lagi tali kekeluargaan antara mereka. Masing-masing bertukar hadiah sambil berkenalan antara satu sama lain.

Kebanyakan peserta memperolehi pelbagai ilmu kerohanian berhubung dengan tema kem itu sendiri. Mereka juga faham mengenai pertumbuhan rohani dan berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam pelbagai aktiviti berkumpulan.

Aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan adalah kebaktian ‘Divine Office’, ‘Sing Along’, ‘Praise And Worship’, ‘Group Dynamic’, Senaman Rohani dan perkongsian dalam kumpulan.

Sepanjang kem itu diadakan, semua AJK dan peserta telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam menjayakan aktiviti selain menerima bantuan, sokongan dan kelulusan penuh daripada pihak pengurusan UiTM.

Rata-rata komen daripada borang maklum balas peserta Kem Singai berharap agar kem berkenaan dapat menarik lebih ramai siswa-siswi untuk mengikutinya kerana bagi mereka, ia bukan hanya sekadar memberikan kesedaran rohani kepada mereka malah juga dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan mengasihi Tuhan serta sesama dengan lebih ikhlas lagi.

YCU UiTM Samarahan

Published on 21 September 2011 @ 5:12 pm

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.