Perayaan Ulang Tahun Ke-70 (1948–2018) Penubuhan Perkumpulan ‘Discalced Carmelite Nuns’ di Kuching

0
Pelawat berjumpa dengan biarawati Carmel.

KUCHING — Perkumpulan ‘Discalced Carmelite Nuns’ di Kuching meraikan tahun ke-70 penubuhannya dengan Misa Kesyukuran pada 22 Disember lalu di chapel mereka bersama ratusan rakan dan jemaat yang melimpahi chapel.

Kehadiran Biarawati Carmel di Kuching merupakan keinginan yang disuarakan oleh mendiang Monsignor Aloysius Hopfgartner, Prefek Apostolik Kuching ketika itu, kepada Biarawati Carmel di Jesselton, Borneo Utara, ketika itu (sekarang Kota Kinabalu, Sabah), untuk menubuhkan sebuah biara baharu di Kuching. Apabila Biara Carmel Hati Maria Yang Tak Bernoda, iaitu asas bagi Perkumpulan ‘Discalced Carmelite Nuns’ di Kuching, wujud pada 19 Disember 1948, hasrat beliau pun termakbul.

Memetik kenyataan Monsignor Aloysius Hopfgartner yang menginginkan penubuhan Perkumpulan Biarawati Carmel di Kuching: “Saya telah menubuhkan biara Carmel ini dan saya ingin ia menjadi umpama ‘penjana rohani’ bagi gereja di bumi tercinta ini, saya berdoa agar ia membekalkan rahmat syurgawi – tenaga rohani kepada Gereja untuk tugasan penginjilan yang besar di kalangan manusia dari semua kaum dan bahasa di bumi ini.”

Kepada ini, Uskup Agung Emeritus Dato Sri Peter Chung menambah dalam perutusan buku cenderamata kecil Carmel, “Apa yang dia maksudkan ialah biara baharu ini akan memperolehi tenaga rohani yang melimpah – rahmat dan berkat Allah menerusi kehidupan konsekrasi, doa dan pengorbanan Biarawati Carmel kerana membawa tugasan penginjilan yang besar ini kepada manusia di mana-mana sahaja di bumi ini. Saya menganggapnya sebagai satu pesan nabiah besar yang direalisasikan di dalam gereja tempatan kita.”

Misa Kesyukuran dipimpin oleh Uskup Agung Simon Poh dan dirayakan bersama Uskup Agung Emeritus Dato John Ha, Uskup Agung Emeritus Dato Sri Peter Chung, Monsignor Mario Codamo, kaunselor dari Nunsiatur Apostolik Vatikan di Malaysia serta paderi tempatan lain.

Monsignor Mario Codamo menyampaikan Pemberkatan Apostolik dari Pope Francis bagi Perkumpulan Biarawati Carmel dan semua jemaat yang menghadiri Misa pada hari yang menggembirakan itu.

Biarawati yang hadir menyanyikan Te Deum untuk memuji dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah bagi menamatkan perayaan Misa. Selepas Misa, jemaat melawat biarawati tersebut di ruang tamu biara sambil menikmati hidangan ringan di luar chapel.

Cynthia Lim (Terjemahan)


Berita yang sama dalam Bahasa Inggeris: Discalced Carmelite Nuns in Kuching Celebrate their 70th Anniversary


Today’s Catholic Vol.30 No.10 January 2019

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.