Fr Agung kepada suami isteri: kukuhkan kehidupan perkahwinan anda

0
AKU CINTA PADA MU … Suami isteri mencuci kaki satu sama lain.

BAU – Pada 25 dan 26 Mei lalu, Keuskupan Agung Kuching dan Komisi Kehidupan Berkeluarga St Stephen Bau telah menganjurkan Seminar Keluarga dalam Bahasa Melayu.

Seminar keluarga kali ini diadakan dengan jayanya di Gereja St Patrick, Krokong, Bau. Seminar ini terbuka kepada semua jemaat Kristian dari paroki di Kuching, Bau, Serian, Padawan dan Lundu dan berjaya menarik sebanyak 650 penyertaan.

Empat ceramah telah disampaikan oleh penceramah yang dijemput khas dari Indonesia, iaitu Father Dr Bernadinus Agung Prihartana.

Dalam ceramah tersebut, beliau mengingatkan pasangan suami isteri tentang peranan mereka untuk mengukuhkan kehidupan perkahwinan agar berkekalan. Mereka juga diseru agar saling melafazkan ungkapan sayang serta menghargai pasangan masing-masing.

Semasa ceramah itu juga, mereka dipelawa untuk menari bersama pasangan masing-masing mengikuti alunan lagu-lagu tema yang dipersembahkan.

Acara kemuncak seminar adalah sesi pengampunan, di mana pasangan suami isteri atau ibu bapa serta anak-anak mencuci kaki satu sama lain sebagai tanda mereka saling mengasihi dan memaafkan.

Sesi ini amat menyentuh jiwa di mana mereka dapat merasakan cinta kasih yang semakin mendalam dan rasa amat dihargai.

Menurut seorang peserta, Margret Anchor, selepas seminar ini, beliau merasakan kasih sayang di antara keluarga beliau semakin erat.

Semua peserta sangat berpuas hati dengan penganjuran ceramah ini. Beberapa pasangan yang ditemui rasa bersyukur dan merasai kehadiran Tuhan dengan memberkati dan memperbaharui hubungan sesama ahli keluarga mereka.

Dengan kejayaan seminar keluarga kali ini, Micheal Junim selaku Penasihat Komisi Kehidupan Berkeluarga St Stephen, Bau berharap seminar ini akan diadakan lagi pada masa hadapan bagi membangunkan keluarga Kristian yang bahagia.

Prudentia Alias

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.