Muda-mudi diingatkan agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran

0
Lebih 200 belia yang menghadiri program seminar Retreat Awal di Gereja St Patrick.

SERIAN — Program seminar Retreat Awal bertemakan “Engkau Berharga Bagiku” telah diadakan di Gereja St Patrick Kampung Tangga Mawang dan dihadiri lebih 200 peserta berumur antara 11-25 tahun serta guru pengiring dari beberapa buah kampung.

Seminar tersebut dianjurkan oleh Persatuan Guru-Guru Sekolah Minggu Gereja St Patrick Tangga dengan kerjasama Pergerakan Belia Katolik (SCYM) Gereja St Patrick Tangga dan dikendalikan oleh Kongregasi Carmelitae Sancti Eliae (CSE) yang diketuai Romo Vincent Irwan Widjaja dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Program yang berlangsung pada 2-4 Ogos (tiga hari) itu mendapat sokongan penuh daripada Jawatankuasa Sekolah Minggu Peringkat Kampung (JSSPK) serta Jawatankuasa Majlis Pastoral Paroki St Theresa, Serian.

Seperti yang sedia maklum, Retreat Awal merupakan suatu sarana untuk lebih hidup dalam Roh serta bersiap-sedia untuk menerima pencurahan Roh Kudus dan dibaptis dalam Roh Kudus.

Selain itu, ia bertujuan mendekatkan kita kepada Allah supaya kasihNya menyertai kita, dan tentu sahaja kita mengenal Allah kita sendiri iaitu Yesus Kristus.

Dengan adanya program sebegini, peserta dapat mengalami kasih Tuhan yang membawa kepada pertaubatan serta menguatkan dan mempereratkan lagi tali persaudaraan sesama kita.

Selain itu, program itu telah memberi manfaat kepada pelajar Komuni Suci Pertama di mana mereka diberi maklumat sebagai persiapan untuk menjalani kehidupan sesudah menerima Sakramen Ekaristi.

Antara intipati menarik dalam program tersebut adalah Adorasi, Puji dan Sembah, Pencurahan Roh Kudus dan banyak lagi. Rata-rata para peserta serta guru pengiring sungguh gembira kerana dapat mengalami sendiri belas kasih Tuhan Yesus dan berharap agar program sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan.

Pada penghujung program, tetamu jemputan YB Tuan John Ak Ilus (ADUN N23 Bukit Semuja), Jenner Menggu (Pengerusi JSSPK), Dennis Sung (Pengerusi Majlis Paroki St Theresa Serian), dan Wilson Banyui (Setiausaha Majlis Paroki St Theresa Serian) turut menghadiri Misa Penutupan.

Dalam ucapannya YB John Ilus mengingatkan semua peserta agar sentiasa bersedia menghadapi apa jua cabaran yang boleh menggugat keimanan dan menjauhkan mereka daripada Tuhan. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur program di atas kelancaran perjalanan program yang telah diadakan.

Shelton Ak Simon Mogan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.