1,500 belia sertai Hari Belia St Ann 2019

0
Gambar kumpulan (Foto: St Ann’s Parish)

KOTA PADAWAN — Hari Belia St Ann 2019 (SAYD19) pada tahun ini telah diadakan pada 14-16 September lalu di Gereja St John De Brebeuf, Kampung Tematu, Zon Semeba.

Pada tahun ini, kira-kira 1,500 orang belia telah menyertai SAYD19. Selain daripada belia dari Paroki Santa Anna Kota Padawan, terdapat juga belia dari luar Paroki Santa Anna, antaranya dari St Stephen Bau, Krokong dan juga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Para peserta telah ditempatkan di rumah keluarga angkat dan sebanyak empat buah kampung telah mengambil bahagian, antaranya adalah kampung tuan rumah, Kampung Bumbok, Kampung Semeba dan Kampung Sudad.

Selama tiga hari dua malam peserta berkampung di Kampung Tematu, mereka telah disediakan dengan aktiviti yang sangat padat.

Sesi telematch (Foto: St Ann’s Parish)

Pada hari pertama, Misa Pembukaan SAYD19 telah dirayakan oleh Friar William Lee OFM selaku Rektor Gereja Katolik Paroki Santa Anna. Bersama beliau semasa Misa Pembukaan adalah Father Ramon SDB, Friar Don Don Ramerez OFM, Friar David Au OFM dan Diakon Cruzander Alex.

SAYD19 dirasmikan oleh Friar William dengan paluan gong sebanyak lima kali selepas tarian pembukaan yang dipersembahkan oleh belia Taman Duranda.

Acara pada hari pertama dimulakan dengan ceramah daripada wakil Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang membawa topik berkaitan dengan jenayah dan juga gejala dadah yang semakin berleluasa pada masa kini.

Selain daripada memberi ceramah, pihak PDRM juga membuka tapak pameran untuk kunjungan para peserta.

Penceramah kedua yang dijemput khas untuk SAYD19 adalah Fr Ramon. Beliau telah membawakan topik yang bertajuk ‘SERVE’.

Pada sebelah petang sebelum pembahagian keluarga angkat, peserta SAYD19 menyertai aktiviti sukaneka yang diadakan di padang Kampung Tematu.

Puji dan sembah (Foto: St Ann’s Parish)

Konsert pembukaan SAYD19 telah dipimpin oleh Koir BM St Ann dan juga FOC (Ministri Muzik ‘Family Of Christ’).

Pada hari kedua, iaitu pada hari Ahad, Misa Ahad bersama jemaat umum telah dirayakan oleh Friar Don Don Ramerez.

Sesi ceramah pada hari kedua diteruskan di mana Diakon Cruzander Alex telah membawa topik berkaitan pelayanan belia yang dihubungkaitkan dengan Hari Belia Sedunia.

Penceramah seterusnya adalah Friar Don Don Ramerez yang telah membawa topik berkaitan dengan penyembuhan dan bahaya mengguna khidmat dukun.

Salah seorang peserta menunjukkan bakat (Foto: St Ann)

Pada sebelah petang, aktiviti SAYD19 diteruskan dengan St Ann Got Talent. Slot St Ann Got Talent adalah satu aktiviti yang diadakan di mana belia dijemput untuk menunjukkan bakat yang ada dalam diri mereka. St Ann Got Talent telah mendapat 20 penyertaaan sama ada persembahan secara solo atau berkumpulan.

Aktiviti pada sebelah malam diteruskan dengan puji sembah dan diikuti dengan penyembuhan luka-luka batin dan malam kedua berakhir sekitar jam 10:30 malam.

Pada hari ketiga seawal jam 6:30 pagi, peserta telah mengikuti senamrobik yang dipimpin oleh belia dari Kampung Betung.

Kemudian pada jam 8 pagi, ceramah diteruskan oleh Friar David yang membawa topik tentang kesedaran penjagaan alam sekitar.

Misa Penutupan SAYD19 telah dirayakan oleh Friar David Au dan setelah Misa selesai, Ministri Belia Paroki (PYM) Santa Anna menyediakan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Friar William kepada kampung yang terlibat.

Friar William juga telah dijemput untuk membuat ucapan diikuti ucapan daripada Pengerusi Zon Semeba, Kpg Tematu, Michael Rawis, dan yang terakhir adalah ucapan daripada Friar Don Don Ramerez selaku penasihat rohani bagi belia Paroki Santa Anna.

Sekali lagi belia dari Taman Duranda mempersembahkan tarian sebelum pengumuman mengenai tuan rumah bagi SAYD20, iaitu Zon Simpok.

Pada keseluruhannya, SAYD19 telah dijayakan oleh semua belia dari taman dan zon yang berada di bawah naungan Paroki Santa Anna Kota Padawan.

Dominic Jilis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.