Paus lantik uskup agung AS untuk ketuai akademi diplomat Vatikan

0
Archbishop Joseph S. Marino (Photo: CNS)

KOTA VATIKAN — Pope Francis melantik seorang uskup agung dari Amerika Syarikat yang berkhidmat sebagai seorang nunsio (duta) untuk mengetuai akademi diplomatik Vatikan.

Vatikan mengumumkan pada 11 Oktober lalu bahawa Uskup Agung Joseph S. Marino, seorang anak jati Birmingham, Alabama, yang berusia 66 tahun, telah dilantik untuk menjadi presiden Akademi Eklesiastikal Pontifikal.

Beliau merupakan prelat gereja kedua dari AS yang mengetuai sekolah yang berpangkalan di Rom itu, yang ditubuhkan lebih 300 tahun lalu; Kardinal AS Justin Rigali menjadi presiden akademi itu dari 1985 hingga 1989.

Pada awal 2013, Pope Benedict XVI telah melantik Marino untuk menjadi nunsio pertama Vatikan ke Malaysia: Vatikan dan Malaysia mengumumkan penubuhan hubungan diplomatik sepenuhnya pada 2011. Jawatan itu turut merangkumi perkhidmatan sebagai nunsio kepada Timor Leste dan wakil delegasi apostolik di Brunei.

Sebelum itu, uskup agung AS itu menjadi nunsio ke Bangladesh sejak 2008.

Dilahirkan pada 1953, beliu lulus dari Sekolah Tinggi John Carrolle di Birmingham pada 1871 dan memperolehi ijazah dari Universiti Scranton di Pennsylvania dan Universiti Gregorian Pontifikal di Rom.

Sebagai seorang seminarian di Kolej Amerika Utara Pontifikal di Rom, beliau menghabiskan musim panas pada 1976 sebagai sukarelawan untuk St Teresa Kolkata dan perkumpulan beliau, Misionari-Misionari Kasih, dengan menjaga pesakit kanser lelaki dan membantu biarawati-biarawati tersebut dalam kerja mereka di kampung-kampung miskin.

Pada 2017, beliau memberitahu star2.com, sebuah saluran dalam talian di Malaysia, bahawa pengalaman itu “membantu membentuk empati saya terhadap golongan yang memerlukan bantuan, terutamanya prejudis sosial, kesepian dan penolakan. Golongan yang paling miskin di kalangan orang miskin sewajarnya menikmati kasih sayang dan penjagaan dan kita harus mendekati dan membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik”.

Beliau berkata pengalaman beliau di Kolkata “mengajar saya tentang semangat keterbukaan dan belaskasihan”.

Selepas pentahbisan kepada kepaderian pada 1979, beliau kerkhidmatan sebagai seorang paderi bersekutu di Katedral St Paul, Birmingham, dari 1980 hingga 1984, sebelum beliau memasuki akademi untuk diplomat di Rom.

Beliau bertindak sebagai seorang diplomat yang berpangkalan di nunsiatur di London dan bekerja di Sekretariat Negara Vatikan dari 1997 hingga 2004.

Beliau menjadi anggota delegasi Vatikan yang diutus oleh St John Paul II ke Belgrade pada 1999 sewaktu konflik Kosovo dalam satu usaha damai, dan beliau merupakan sebahagian daripada delegasi kepausan yang diutus pada 2003 untuk berjumpa dengan Presiden AS George W. Bush bagi menyampaikan rayuan paus bagi keamanan sebelum peperangan bermula di Iraq.

Marino menggantikan Uskup Agung Itali Giampiero Gloder, 61, yang akan menjadi nunsio kepausan ke Cuba, selepas beliau mengetuai akademi berkenaan sejak 2013.

Akademi tersebut melatih paderi – yang dipilih dari seluruh dunia oleh Sekretariat Negara – untuk menjadi diplomat Vatikan dan pendoa yang akan berbakti kepada paus dan Gereja. Mereka memperolehi ijazah graduan dalam undang-undang gereja (canon law), mempelajari bahasa-bahasa dan menghadiri kursus-kursus mengenai sejarah dan amalan diplomasi Vatikan, undang-undang antarabangsa, dokumen kepausan dan hal-ehwal semasa.

CNS (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope names US archbishop to head Vatican academy for diplomats

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.