Masyarakat Katolik ada peranan untuk membina negara bangsa

0
Fr Dr Clarence Devadass addressing participants at the Nation Building seminar. (photo: Stephanie Chua)
Fr Dr Clarence Devadass menyampaikan ucapan kepada peserta di seminar Membina Negara Bangsa. (Foto: Stephanie Chua)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Sebuah seminar mengenai Membina Negara Bangsa telah dianjurkan oleh Pelayanan Kesedaran Politik dan Sosial (SAPAM) Gereja Blessed Sacrament di dewan BSC pada 15 Februari lalu, yang menarik lebih 100 orang peserta.

Penceramah utama bagi seminar itu adalah Fr Dr Clarence Devadass, seorang pakar teologi moral, Konsultor Majlis Kepausan bagi Dialog Antara Agama, dan Setiausaha Eksekutif bagi Permasalahan Teologi dalam Persekutuan Persidangan Uskup-Uskup Asia.

Dalam ucapan pembukaannya, Fr Felix Au, selaku Penasihat SAPAM, menyentuh tentang usaha merangka Akta-akta Kongres pada Ogos 2012.

Semakan semula dijalankan lima tahun kemudian pada Ogos 2017, dengan pelan tindakan untuk menggalakkan politik sebagai panggilan untuk berkhidmat demi kebaikan bersama, dan memperkasakan jemaat untk melibatkan diri menerusi kegiatan politik yang bertanggungjawab. 

Keputusan politik ada impak ke atas kehidupan kita.

Ceramah Fr Clarence disampaikan dalam dua bahagian: Bahagian 1 – Visi Sosial Kristian: Prinsip dan Perspektif Katolik, dan Bahagian 2 – Membina Negara Bangsa di Malaysia: Mengamalkan Ajaran Sosial Katolik dalam Konteks Pelbagai Agama di Malaysia.

Beliau memberitahu beliau sering ditanya: “Adakah Yesus memiliki sisi politik?”

Jawapan beliau ialah “dalam beberapa segi”, kerana Yesus mengambil berat tentang kehidupan orang ramai, tetapi tidak sepenuhnya.

Ajaran Sosial Katolik – Prinsip dan Perspektif Katolik

Fr Clarence menjelaskan ajaran sosial gereja merangumi beberapa doktrin, yang diperjelaskan menurut tafsiran gereja mengenai peristiwa yang berlalu dalam sejarah, dengan bantuan Roh Kudus.

Ia bersifat pelbagai disiplin, dan sentiasa berubah, sentiasa bertujuan untuk kebaikan seluruh alam semesta, tanpa mengira usia, etnik, agama atau kerakyatan.

Asas Ajaran Sosial Katolik adalah teologi Katolik (teologi moral) yang bukan sahaja mengenai perkara-perkara yang betul atau salah, tetapi juga tentang kehidupan yang betul dengan orang lain.

Teologi Katolik merangkumi antropologi, sosiologi, psikologi, ekonomi, politik dan falsafah.

Ia berpunca daripada penciptaan kepada pemilihan seperti yang dapat dilihat dari Adam dan Hawa (individu), Abraham (suku kaum), bangsa Israel (negara bangsa) dan tanah suci (kerajaan).

Ajaran sosial Katolik memberi tumpuan kepada tujuh tema utama: 

  1. Kehidupan dan maruh manusia – semua kehidupan adalah suci.
  2. Kebaikan bersama – menggalakkan kesejahteraan orang di dalam keluarga, komuniti dan masyarakat.
  3. Hak dan tanggungjawab – hak asasi kepada kehidupan.
  4. Pilihan untuk orang miskin dan lemah – keperluan orang miskin dan lemah akan menjadi ukuran.
  5. Martabat pekerjaan dan hak pekerja – untuk dilindungi dan dihormati.
  6. Solidariti – kita adalah satu keluarga manusia. 
  7. Menjaga ciptaan Allah – segalanya yang ada di bumi adalah pemberian Allah kepada semua orang.
Peserta dengan Fr Clarence Devadass (duduk dalam hitam), Fr Felix Au (di sebelah kiri) dan Simon Siah (di sebelah kanan). (Foto: Stephanie Chua)

Membina Negara Bangsa Mengamalkan Ajaran Sosial Katolik

Di Malaysia, kita dapat melihat adunan pelbagai budaya, kecairan bahasa-bahasa, pertemuan kehebatan kulinari, pergaulan antara masyarakat, kebebasan untuk bergerak, perkahwinan antara agama dan antara budaya, dan sebagainya.

Untuk mula membina negara bangsa, kita perlu menyedari, walaupun orang Katolik membentuk hanya kira-kira lima peratus daripada populasi Malaysia (1.15 juta orang Katolik), ia seharusnya jelas daripada semua ajaran ini bahawa orang Katolik ada peranan untuk dimainkan dalam membentuk masyarakat, yang merupakan lebih daripada sekadar “berdoa, bayar dan patuh”.

Doa-doa, kata Fr Clarence, “mengilhamkan tindakan, dan tindakan mendorong kita untuk berdoa”. Kedua-duanya beriringan, maka itu membina negara bangsa adalah jalan kepada kekudusan.

Apakah yang dapat dilakukan oleh orang Katolik? 

Fr Clarence berpendapat bahawa kita perlu menunjukkan bahawa kita dapat hidup dalam keharmonian dan keamanan selain menjaga penciptaan dengan bekerja untuk orang lain.

Semua kita adalah penziarah yang sedang melakukan perjalanan, berjalan menuju satu arah .. ke arah Allah. Beliau mengesyorkan tindakan berikut:

  • Ubah pola pemikiran kita – pembabitan kita dalam “kebaikan umum” masyarakat merupakan bahagian yang amat penting dalam kepercayaan Katolik. 
  • Dalami ajaran-ajaran Gereja – kita perlu mendalami kepercayaan kita kepada Yesus dan ajaran Gereja.
  • Sokongan komuniti – beri sumbangan bersama ahli-ahli politik.
  • Fahami misi Gereja – untuk menjadi cahaya dunia dan garam bumi. 

Ia adalah kewajipan semua warga negara untuk menyumbang kepada usaha membina negara bangsa, dan menuntut kebenaran, keadilan, solidariti dan kebebasan bagi semua. Kita perlu merangka semula naratif rakyat yang baharu, dan tidak tunduk kepada naratif ahli politik.

“Kita memerlukan naratif baharu, kita memerlukan naratif rakyat,” kata Fr Clarence ketika merumuskan ceramah beliau.

Simon Siah, seorang peguam, menamatkan seminar dengan tip-tip bagi cara untuk berdialog dengan wakil-wakil rakyat, dibantu oleh bengkel amali.

(Terjemahan) 


Berita dalam Bahasa Inggeris: Catholics have a role to play in Nation Building

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.