Garis Panduan untuk Membuka Semula Gereja/Pejabat Paroki

0
Uskup Agung Simon Poh

Sementara kita bersiap-sedia untuk membuka semula pejabat gereja dan lambat-laun bangunan gereja kita selepas PKP berakhir pada 9 Jun atau selepas itu…

KUCHING — Uskup Agung Simon Poh telah mengeluarkan garis panduan berikut bagi gereja/pejabat paroki untuk dipatuhi apabila ia dibuka semula nanti.

Beliau berkata: “Pada 12 Mei 2020, negara kita Malaysia telah membuka sektor perniagaan
tertentu. Keizinan juga sudah diberikan bagi pembukaan pejabat gereja. Kita perlu berwaspada dan tidak bersikap sambil lewa dalam mendepani situasi COVID-19.

“Walaupun kakitangan pejabat paroki dan katekis kita baharu sahaja kembali bertugas secara bergilir di pejabat paroki masingmasing, saya ingin merayu kepada semua orang Katolik untuk menggunakan telefon, WhatsApp atau emel bagi mengemukakan permintaan kepada pejabat paroki mereka, dan tidak memandu ke pejabat untuk berjumpa sendiri dengan kakitangan. Ini akan meminimumkan titik kontak fizikal dan mengurangkan risiko bagi wabak COVID-19.

“Saya juga ingin berkongsi dengan anda mengenai apa yang akan dijangkakan bagi Misa dan ibadat pasca PKP di gereja-gereja Katolik. Penjarakan sosial sudah tentu akan menjadi norma baharu sehingga vaksin COVID-19 dapat diperolehi atau umat manusia sudah memperolehi ‘kekebalan kawanan” (herd immunity). Maka itu, apabila gereja dibenarkan untuk dibuka, jumlah jemaat yang datang ke gereja akan dikurangkan dengan ketara bagi setiap Misa kerana keperluan untuk mengamalkan penjarakan sosial sejauh satu meter di antara satu sama lain. Kita perlu membiasakan diri dengan pemakaian penutup hidung dan mulut di khalayak ramai selain pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki bangunan gereja. Kami telah membeli termometer dahi infra-merah bagi tujuan ini.

“Jika anda dianggap berada dalam kategori ‘berisiko’—warga emas atau mempunyai penyakit kronik yang sedia ada (kencing manis, hipertensi, bekas pesakit kanser, masalah jantung, atau malah jika anda rasa tidak selesa terdedah di khalayak ramai, ketahuilah bahawa saya telah mengizinkan anda untuk tidak menunaikan kewajipan menghadiri Misa Kudus pada Hari Minggu sehingga diberitahu lagi nanti. Dalam kata-kata lain, ia bukan dosa jika anda tidak dapat hadir secara fizikal untuk menyertai Misa pada Hari Minggu. Saya ingin menggalakkan anda untuk terus menyertai Misa menerusi strim secara langsung dari rumah anda dengan doa Komuni Rohani.

“Demikian juga, saya juga ingin menasihatkan ibu bapa untuk tidak membawa anak-anak kecil ke gereja kerana ia pasti sukar bagi mereka untuk mengamalkan penjarakan sosial dan mengelak daripada menyentuh wajah mereka dan benda di sekeliling mereka. Jaga keselamatan anda untuk keluarga anda, orang tersayang dan layan Tuhan dalam jiran anda.

“Saya menggalakkan semua orang Katolik untuk memahami dan bersabar dengan situasi semasa pada waktu perhimpunan di gereja masih digantung bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan mencegah gelombang dalam masa terdekat. Ia adalah pengorbanan dan usaha kolektif ini, yang dibuat sama-sama oleh semua orang dari semua agama, yang akan lambat-laun memastikan masyarakat kita dan terutamanya gereja-gereja kita menjadi persekitaran yang selamat untuk beribadah.”

  1. Cuci tangan anda dengan betul
  2. Amalkan penjarakan yang selamat
  3. Sentiasa memakai penutup hidung dan mulut
  4. Elak daripada menyentuh muka anda—mata, hidung dan mulut
  5. Buat apa sahaja yang dapat dibuat dalam talian dan jangan berjumpa secara peribadi
  6. Bekerja bersama semua orang yang berniat baik untuk mengatasi COVID-19
  7. Tunjukkan kebaikan hati, bertimbang rasa dan beri bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan
  8. Terutama sekali, berdoa, sentiasa percaya dan yakin kepada Allah

“Demikianlah hendaknya terangmu bercahaya di depan orang, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik dan memuliakan Bapamu yang di syurga” (Matius 5:16).

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Guidelines for Re-opening of Parish Office/Church

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.