“Gratia cum omnibus”: Rahmat bersama semua

Uskup Agung Emeritus Dato’ Sri Peter Chung Hoan Ting menyambut Ulang Tahun Pentahbisan Keuskupan Ke-50 pada 15 November 2020.

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Uskup Agung Emeritus Dato’ Sri Peter Chung Hoan Ting menyambut Ulang Tahun Pentahbisan Keuskupan Ke-50 pada 15 November 2020.

Situasi pandemik COVID-19 sekarang telah memusnahkan semua harapan Keuskupan Agung Kuching untuk meraikan saat bersejarah ini dengan majlis yang sewajarnya bagi seorang tokoh umpama datuk yang sangat disayangi. Presbiterium hanya dapat memanjatkan doa-doa kesyukuran dan menyampaikan sebuah kek ulang tahun kepada beliau. Sering digambarkan sebagai seorang datuk kepada umat Allah, Gembala Tuhan ini juga merupakan seorang pengarah rohani, paderi, pendengar pengakuan dosa peribadi dan tempat mengadu, bapa, dan banyak lagi, kepada jemaat beliau.

Dilahirkan pada 10 September 1928 di Wilayah Hubei, China, Peter yang muda memasuki seminari kecil keuskupan di Vikariat Lauhekou pada 1940. Pada 1947, beliau memasuki Seminari Utama Wilayah di Hankow, tetapi pada 1949, sewaktu pemberontakan komunis, seluruh seminari mula-mula dipindahkan ke Hong Kong dan kemudian ke Macau.

Selepas graduasi beliau dari seminari pada 1954, beliau tiba di Kuching dan menjadi paderi pertama yang ditahbis di bumi Sarawak pada 26 September 1954 oleh Uskup John Vos yang telah menjemput beliau untuk datang. Selepas berkhidmat selama sembilan tahun di pelbagai bahagian di Sarawak, Fr Peter Chung telah dihantar untuk belajar Hukum Kanonik di Rom dan memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam Hukum pada 1966.

Beliau menjadi Delegat Vikar Miri dan berkhidmat sebagai paderi di Brunei, apabila beliau dilantik untuk berkhidmat di Sabah. Gereja di sana ketika itu mengalami penindasan oleh kerajaan negeri. Pada 15 November 1970, Fr Peter Chung dilantik sebagai Uskup Koadjutor Kota Kinabalu. Pergolakan di Sabah berlaku selama lima tahun.

USKUP-USKUP… Pentahbisan Uskup Peter Chung (dengan tongkat uskup) di Gereja Hati Kudus, Kota Kinabalu, Sabah, pada 1970.

Uskup Peter Chung seterusnya dipindah balik untuk memikul tanggungjawab di Vikariat Kuching pada 1975 ekoran kematian Uskup Karl Reiterer. Fr Lawrence Chua, yang menjadi warga tempatan pertama ditahbiskan sebagai paderi pada 1964, ditugaskan untuk menyambut beliau di lapangan terbang lama Kuching dan seterusnya menjadi Vikar Jeneral beliau.

Beliau menjadi Uskup Agung Kuching pertama yang mewujudkan Wilayah Eklesia Malaysia Timur pada 1976. Beliau bersara sebagai Uskup Agung Kuching pada 22 Jun 2003, dan menyerahkan tanggungjawab kepada Uskup Agung John Ha. 

Uskup Agung Simon Poh menggantikan Uskup Agung Emeritus John Ha apabila beliau meletak jawatan pada 4 Mac 2017.

Uskup Agung Emeritus Peter Chung akan direkodkan di dalam riwayat Gereja di rantau ini sebagai paderi tunggal yang pernah berkhidmat di Brunei, Sabah dan Sarawak.

Beliau memilih tema “Kerana kasih Kristus mendesak kita maju ke depan” (2 Korintus 5:14) untuk perayaan harijadi beliau yang ke-90 pada 2018. Kehidupan beliau telah diberkati dengan umur panjang dan kesihatan yang baik dan ia ternyata satu perjalanan demi kasih Kristus.

Beliau menghabiskan tahun-tahun persaraan beliau di Rumah Persaraan Chapel Bonda Maria untuk para paderi, dan masih melayani Gereja secara aktif dengan merayakan Misa, mendengar pengakuan dosa, kaunseling dan memberi ajaran agama. Pintu beliau sentiasa terbuka bagi mereka yang mahu mendapatkan bantuan beliau. Beliau tidak percaya kepada percutian jauh dari Kuching, dan menjalani kehidupan sederhana dan berdisiplin yang dipenuhi doa, kerja dan berjalan-jalan.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: A journey for the Love of Christ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.