Pengurapan pembaptisan: Panggilan untuk menjadi umat Tuhan yang imamat, kenabian dan rajawi

Uskup Agung Simon Poh bersama Uskup Agung Emeritus John Ha dan para paderi lain selepas Misa Krisma (tidak ada dalam gambar - Uskup Agung Emeritus Peter Chung), Katedral St Joseph, 27 Mac 2024. (Gambar: Danison Manium)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Misa Krisma, yang menurut tradisi dirayakan oleh uskup setiap keuskupan bersama para paderinya dari seluruh keuskupan, dirayakan pada 27 Mac lepas di Katedral St Joseph.

Dalam Misa itu, minyak suci bagi krisma, orang sakit dan katekumen telah diberkati. Minyak krisma dan minyak katekumen digunakan bagi Sakramen Pembaptisan dan Sakramen Kepaderian, manakala minyak orang sakit digunakan bagi pengurapan orang sakit. Para paderi dari Keuskupan Agung Kuching turut memperbaharui komitmen yang mereka buat pada waktu pentahbisan mereka.

Para paderi memperbaharui ikrar pentahbisan mereka dalam Misa Krisma.

Uskup Agung Kuching Simon Poh menyeru kepada jemaat “yang berhimpun sebagai satu umat yang mengelilingi altar Tuhan” untuk memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan di atas “panggilan-Nya bagi setiap daripada kita untuk menjadi umat Tuhan”. Bacaan daripada Kitab Yesaya mengesahkan pengurapan Roh Kudus.

Perkataan Greek bagi pengurapan adalah krisma, dan sebab itulah perkataan krisma digunakan bagi pembaharuan janji kepaderian yang dibuat pada waktu pentadbisan dan pemberkatan minyak sereta konsekrasi krisma.

Uskup Agung Simon berkata Misa Krisma sentiasa diadakan sekitar Trihari Paska dan meraikan jalinan erat di antara uskup dengan para paderinya, dan dengan komuniti yang percaya. Beliau mempelawa jemaat untuk berdoa baginya dan para paderinya selain “berdoa bagi diri kita sendiri”.

Makna Minyak

Minyak yang diberkati dalam Misa Krisma oleh uskup digunakan secara eksklusif bagi sakramen-sakramen dan hanya oleh para paderi sahaja.

Minyak katekumen digunakan bagi pembaptisan untuk memberikan kebijaksanaan dan kekuatan kepada mereka yang membuat persediaan untuk menjadi orang Katolik.

Minyak orang sakit digunakan untuk mengurapi orang sakit. Ia menyediakan penawar kepada orang sakit bagi penyakit rohani dan juga penyakit jasmani, yang memberikan kekuatan rohani untuk menanggung penderitaan selain menerima pengampunan bagi dosa-dosa mereka. Dengan rahmat Tuhan, mereka yang diurapi kadang-kadang menyembuhkan penyakit fizikal seperti yang dikongsikan oleh segelintir orang.

Minyak krisma mengambil namanya daripada Kristus, “Ia yang diurapi Tuhan”. Ia digunakan dalam Sakramen Penguatan. Pada waktu pentahbisan paderi, krisma digunakan untuk mengurapi tangan paderi yang akan melaksanakan konsekrasi roti dan wain.

Makna Pengurapan 

Pengurapan ada misi serampang tiga mata: panggilan pembaptisan untuk menjadi Umat Tuhan yang imamat, kenabian dan rajawi.

“Misa Krisma pada malam ini merupakan satu perayaan yang meraikan identiti kita sebagai Umat Pilihan Tuhan. Uskup, paderi dan umat awam berhimpun bersama-sama di sini sebagai satu jemaat yang percaya dan dalam satu perjalanan sinod. Kita berjalan bersama,” kata Uskup Agung Simon kepada jemaat.

Prelatus itu mengucapkan terima kasih kepada semua paderi yang menabur bakti di 12 paroki dalam Keuskupan Agung Kuching, dari Saratok, Betong, Sri Aman, Bunan, Tebedu, Sematan, Lundu selain kawasan di Bahagian Kuching dan sekitarnya kerana kehadiran dan khidmat mereka kepada komuniti mereka.

Pelancaran Al-Kitab Versi Borneo – Kitab-Kitab Deuterokanonikal 

Satu pelancaran simbolik bagi Firman Tuhan yang baharu diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia berlangsung selepas Sr Susan Dulang, SSFS dan Dr Helen Tan menyampaikan Kitab Suci Deuterokanonika, yang mengiringi Al-Kitab Versi Borneo, kepada Uskup Agung Simon Poh.

Uskup Agung Simon Poh (tengah) menunjukkan Kitab-Kitab Deuterokanonikal yang beliau terima daripada Dr Helen Tan (kiri) dan Sister Susan Dulang (kanan).

Al-Kitab Versi Borneo (Jilid 1) yang mengandungi 66 Kitab dari Perjanjian Lama dan Perjanjian Baharu dilancarkan pada tahun 2018. Kitab-Kitab Deuterokanonikal (Jilid 2) dilancarkan di Mesyuarat Persidangan Uskup Katolik Malaysia-Singapura-Brunei pada January 2024. Dengan Jilid 1 dan Jilid 2, Al-Kitab BM Katolik kini sudah lengkap.

Uskup Agung Simon mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan yang terlibat dengan penterjemahannya, yang diketuai oleh Uskup Richard Ng dan Uskup Agung Emeritus John Ha, dengan konsultor Al-Kitab Kristian, penterjemah dari keuskupan-keuskupan seluruh Malaysia dan ramai lagi yang telah bekerja tanpa mengenal erti lelah untuk melengkapkan Kitab-Kitab Deuterokanonikal. “Kami berterimakasih kepada Fr Lazarus Swinie, Sr Susan, Dr Helen yang ada bersama kita pada malam ini,” katanya sambil memperakui kehadiran mereka.

Uskup Agung Simon Poh (kanan) menyampaikan set minyak kudus kepada Father Nicholas Ng (kiri) selaku Rektor Katedral St Joseph.

Misa Krisma berakhir dengan penyampaian set minyak kudus oleh Uskup Agung Simon Poh kepada 12 rektor paroki dan rektor seminari, untuk digunakan dalam Misa Malam Paska. Beliau kemudian memberikan pemberkatan terakhir ke atas jemaat. 

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Baptismal anointing: A calling to be priestly, prophetic and kingly People of God

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.