“Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal…” (Yohanes 14:2)
Kata-kata ini bergema dalam sanubari ketika saya menyaksikan sendiri kemegahan Gereja St Peter pada hari pemberkatannya yang pasti akan dikenang.
Suatu pemandangan yang sangat menakjubkan dan bersaksi sebagai rumah ibadat kepada Tuhan, yang bukan sahaja berdiri sebagai mercu keajaiban seni bina tetapi jelmaan daripada iman dan kepercayaan umat dalam komuniti Katolik di Kuching dan komuniti dari luar.
Majlis perasmian berkenaan bukan sekadar satu upacara; ia merupakan curahan perpaduan yang dirayakan dengan penuh kesyukuran, dan membuktikan komitmen kita yang tidak berbelah bahagi kepada Tuhan.
Ketika berjalan dalam ruang suci ini, saya tidak dapat menahan perasaan terharu berbaur emosi namun sangat kagum, juga perasaan sukacita penuh kehormatan yang meresapi sekeliling.
Pada hari tersebut, kita meraikan lebih daripada sebuah gereja; kita meraikan impian yang tercetus daripada ketekunan doa dan hasil dari kerja keras.
Pembinaan bangunan keramat ini merupakan pencapaian luar biasa yang menelan kos sebanyak RM38 juta, dan saya sangat terinspirasi ketika mengetahui ia didirikan tanpa meninggalkan tunggakan bayaran.
Segala usaha bersama, semangat kemurahan hati, dan dedikasi umat yang saya saksikan sungguh mengagumkan – seakan mukjizat.
Bagi saya, ia adalah ganjaran iman yang mendalam di atas komitmen bersepadu dan dilanjutkan dengan kehendak Ilahi dalam cara yang sering kita terlepas pandang.
Gereja besar ini memancarkan harapan kepada komuniti kita.
Seperti mana ucapan Fr Vincent Chin, perjalanan untuk merealisasikan visi ini bukan sahaja menguatkan imannya tetapi juga sebagai pengikat ketahanan dalam kalangan umat beriman.
Gereja ini adalah bukti nyata cinta kasih dan perpaduan yang terkandung dalam komuniti Katolik kita.
Dengan berdirinya saya di sana ketika itu, saya dapat rasakan gema daripada generasi terdahulu, sekarang dan akan datang dalam menguatkan penyatuan iman kita kepada Tuhan.
Saya mengaitkan gereja ini sebagai Rumah Kasih (Love).
Merenungkan akronim LOVE, saya melihat inti pati nyata demi memperkasakan kehidupan kita hari ini.
L – Legacy: Gereja suci ini sudah pasti akan menjadi bukti berkekalan bagi iman kita yang menjadi warisan buat generasi akan datang.
O – Outreach: Gereja St Peter juga mengalu-alukan kedatangan penziarah dengan menyantuni mereka yang mengidamkan ketenangan dan keselesaan berkomuniti.
V – Vision: Keindahan ruangan ini mengingatkan kita bahawa perkara besar telah terbit daripada benih harapan (visi) yang ditanam dalam lubuk hati kita.
E – Empowerment: Gereja ini memperkasakan semua kita untuk bertumbuh kuat dalam iman, mengingatkan bahawa kita tidak bersendirian dalam menempuh perjalanan hidup ini.
Ketika saya merenung kepentingan gereja bersejarah ini buat komuniti Katolik dan warisan budaya Kuching, saya menyedari bahawa ia jauh lebih daripada sekadar tempat ibadat.
Ia adalah mercu tanda budaya yang mencerminkan perpaduan masyarakat majmuk Sarawak – cerminan keharmonian antara pelbagai etnik dan tradisi yang membentuk identiti kita.
Semangat ‘Sarawak Boleh’ begitu terasa dalam setiap sudut ruang ini.
Gereja St Peter, Padungan, Kuching mencuit kita untuk mengimbau kembali detik dan kenangan peristiwa penting dalam hidup kita semasa merayakan pembaptisan, perkahwinan dan perpisahan.
Upacara keramat ini bukan sekadar penyatuan dalam berkeluarga; bahkan mengikat masyarakat secara keseluruhan, memupuk semangat sebagai hak bersama sampai bila-bila baik masa suka mahupun duka.
Di dunia yang serba pantas ini, gereja seharusnya berfungsi sebagai kuasa rohani yang asas, mengembalikan kita ke akar umbi membina berhubungan antara satu dengan yang lain secara lebih bermakna.
Melihat ke masa hadapan, saya membayangkan Gereja St Peter sebagai pusat dinamik yang akan terus berkembang bagi memenuhi keperluan rohani dan budaya masyarakat kita.
Di luar daripada ibadat tradisional, saya melihat potensi gereja ini dalam menyemarakkan landskap Kuching melalui dialog antara agama dan projek komuniti.
Potensi untuk menganjurkan acara kebudayaan, konsert muzik dan pameran seni yang meraikan warisan unik kita sungguh tiada batas.
Dengan menggabungkan pemupukan rohani dan penghargaan budaya, Gereja St Peter pastinya akan menjadi nadi kepada perjalanan iman paroki serta identiti Kuching yang berwarna-warni dan harmoni dalam kepelbagaian.
Saya sangat terharu, bukan sahaja dengan kemegahan Gereja St Peter ini tetapi ia telah menimbulkan harapan akan cinta kasih kepada harta milik bersama yang luar biasa.
Ini lebih daripada sekadar gereja.
Ianya adalah tempat perlindungan bagi jiwa-jiwa kita, cahaya yang menyinari hubungan suci kita dengan Ilahi, dan rumah bagi generasi demi generasi.
Semoga ruang kudus ini terus berkembang sebagai bukti iman dan perpaduan komuniti Katolik, selain kasih dan keharmonian kita sebagai rakyat Sarawak.
Amin.
Esthery
29th Jun 2025
Ahad
Versi Bahasa Inggeris: St Peter’s Church: A Personal Reflection