
Oleh Sheron Michael
MIRI — Hari Patron Santo Dominic yang diraikan pada awal Ogos lalu oleh warga Paroki St Dominic & The Rosary (SDRC) di Taman Tunku di sini telah berlangsung dalam suasana meriah dan penuh berkat. Pada tahun ini, sambutan bagi hari tersebut, yang meraikan santo penaung Gereja SDRC, bermula dari 6 hingga 10 Ogos lalu dengan pengisian pelbagai program kerohanian, sosial dan kebudayaan yang menghimpunkan umat beriman serta komuniti setempat.
Kemuncak perayaan adalah pada 9 Ogos dengan kehadiran Uskup Miri, Rt Rev. Richard Ng, yang merayakan Misa Senja bagi Hari Minggu Biasa ke-19, Tahun C, dan seterusnya meluangkan masa menyantuni para pengunjung di tapak Pesta Paroki. Terdahulu dalam homilinya, Uskup Richard menekankan bahawa Tuhan sentiasa setia pada janji-Nya. Namun persoalannya, sejauh manakah kesetiaan umat kepada Tuhan dalam kehidupan seharian? “Semoga kita menjadi seperti hamba-hamba setia dalam Injil pada hari ini, yang tetap melaksanakan pekerjaan yang diamanahkan walaupun semasa tuan mereka tiada,” jelas beliau.
Dalam huraian beliau bagi bacaan pertama daripada Kitab Kebijaksanaan, Uskup Richard memberitahu ia mengisahkan tentang kesetiaan Tuhan membebaskan bangsa Israel daripada Mesir, mengikat perjanjian di Sinai, serta memimpin mereka menuju Tanah Perjanjian. Sejarah itu, tegas beliau, menjadi sumber harapan bahawa Tuhan tidak pernah mungkir janji walaupun umat sering diuji.
Dalam bacaan kedua, beliau turut menekankan iman Abraham dan Sarah dalam Surat kepada jemaat Ibrani sebagai satu teladan, walaupun janji Tuhan tampak mustahil, mereka tetap percaya. “Seperti Abraham dan Sarah, umat Kristian hari ini dipanggil untuk percaya walaupun hanya melihat sedikit tanda Kerajaan Tuhan di dunia,” katanya.
Mengulas bacaan Injil pula, beliau menjelaskan perumpamaan Yesus yang mengajak umat agar berjaga-jaga, kerana hamba yang setia akan diberi ganjaran, manakala yang lalai akan dihukum. Kedatangan Tuhan, ujar beliau, umpama pencuri yang datang pada waktu malam yang tidak disangka-sangka. Oleh itu, persiapan terbaik ialah hidup setiap hari dalam iman, kasih dan harapan.
Uskup Richard menyeru umat agar melaksanakan peranan mereka dengan penuh kesetiaan, khususnya dalam menghulurkan kasih kepada golongan yang miskin, kesepian dan terpinggir. “Dengan cara ini, kita mewartakan Injil Kasih sambil menantikan kedatangan Kristus yang kedua kali dengan penuh harapan,” ujarnya.
Pada Misa yang sama, seramai 40 jemaat dari paroki ini telah menerima Sakramen Penguatan. Turut hadir Rektor Paroki, Fr Kevin Chundi, dan Fr Francis Kuleh Usat.
Sementara itu, sambutan Hari Patron Santo Dominic pada tahun ini diperkaya dengan pelbagai aktiviti sepanjang minggu, termasuk Adorasi, ‘SDRC Parish Fair’, Pertandingan Ratu Kebaya Ibu Sejati, pameran, sukaneka, persembahan artis jemputan, seminar panggilan, dan gotong-royong membersih gereja.
Hari terakhir sambutan Hari Patron itu menyaksikan ratusan warga paroki bersama-sama dengan masyarakat berbilang kaum dan agama menyertai St Dominic Run 3.0, sekali gus membuktikan sukan mampu menjadi wadah perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan rakyat di negeri ini. Sokongan terhadap sambutan Hari Patron pada kali ini lebih bermakna lagi dengan kehadiran Ahli Parlimen Sibuti merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato Lukanisman Awang Sauni, yang hadir bagi merasmikan acara sukaneka pada 9 Ogos.
Turut memberi sokongan ialah Ahli Parlimen Miri, YB Tuan Chiew Choon Man, yang telah merasmi dan melepaskan peserta St Dominic Run 3.0 pada 6:30 pagi, 10 Ogos. Beliau turut menyertai larian kategori 5-Km Fun/Family Run.
Dengan gabungan aspek rohani, sosial, kebudayaan dan komuniti, Hari Patron Santo Dominic 2025 bukan sahaja mengukuhkan iman umat, tetapi juga memperkukuh semangat persaudaraan dan keterlibatan masyarakat berbilang kaum dan agama. Malah sambutan ini sekali lagi membuktikan bahawa Santo Dominic terus menjadi inspirasi kepada umat di Paroki St Dominic & The Rosary, Taman Tunku.