Oleh Sr Susan Dulang SSFS (Sisters of St Francis of Sarawak)
Menjadi Barisan Hadapan Tuhan Semasa COVID-19
SEMASA wabak COVID-19 pada tahun 2020 apabila seluruh Malaysia berada dalam keadaan berkurung dengan sekatan pergerakan, saya menerima lebih daripada seribu mesej WhatsApp dan panggilan yang meminta pelbagai bentuk bantuan. Khususnya, mereka memohon keperluan asas harian seperti makanan.
Sesungguhnya, ia merupakan berkat Tuhan yang melimpah apabila bekalan makanan mencurah masuk, terutamanya daripada warga Korea yang bekerja di Singapura. Benarlah firman Tuhan, “Dia memberikan rezeki kepada orang yang takut akan-Nya; Dia mengingati perjanjian-Nya selama-lamanya” (Mazmur 111:5).
Dari segi bantuan emosi dan rohani, hampir setiap minggu saya berada di rumah mayat untuk mewakili keluarga yang kehilangan orang tersayang dan membuat urusan pengebumian.
Para petugas kesihatan lengkap dengan peralatan pelindung diri (PPE) untuk mengendalikan jenazah, manakala saya pula diperlengkapkan dengan Pelindungan Tuhan untuk berdoa dan menyelaraskan pengebumian. Di tengah-tengah kesukaran, kami terus menjadi cahaya harapan buat mereka yang dipercayakan kepada jagaan kami.
Semua adalah Saudara dan Saudari – Pekerja Asing Tanpa Permit atau Dokumen
Pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja atau dokumen sah berada dalam keadaan yang sangat terdedah. Ada yang memasuki negara melalui jalan tidak rasmi (jalan tikus), manakala yang lain mungkin dipaksa masuk.
Dalam sesetengah keadaan, permit asal mungkin pernah diberikan tetapi tamat tempoh tanpa diperbaharui, menyebabkan mereka kehilangan status sah. Mereka sering ditemui di ladang kelapa sawit dan kilang-kilang.
Peningkatan bilangan pekerja tanpa permit atau dokumen sah ini bukan sahaja mendedahkan mereka kepada eksploitasi oleh majikan tetapi juga oleh pihak penguatkuasa.
Apabila pekerja asing ini tinggal terlalu lama dan berkahwin dengan warga Malaysia, ia menimbulkan masalah sosial. Bukan sahaja mereka tidak dapat merasmikan perkahwinan secara sah; apabila mereka dikurniakan anak, anak-anak mereka juga tidak dapat memperoleh dokumen sah.
Akibatnya, mereka tidak dapat menikmati hak atau keistimewaan sebagai warga negara. Mereka dinafikan pendidikan.
Apabila dewasa, mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Mendapatkan rawatan perubatan juga boleh menjadi sangat mahal. Apabila mereka dewasa dan berkahwin pula, masalah ini berulang lagi.
Dalam usaha saya untuk menghayati Sabda Bahagia, “berbahagialah orang yang miskin di hadapan Tuhan, kerana merekalah empunya Kerajaan Syurga”, mereka mengajar saya tentang kerendahan hati dan kebergantungan pada pertolongan Tuhan. Kadang-kadang saya merujuk atau menghubungkan mereka kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau bantuan profesional untuk melindungi hak dan martabat mereka sebagai manusia.
Keadilan Bagi Golongan ‘Tanpa Negara’ – Menuntut Kewarganegaraan
Saudara dan saudari kita yang tinggal jauh dari bandar, di kawasan pedalaman berhampiran sempadan, kekurangan banyak perkara dalam kehidupan. Sebagai contoh, pendidikan, penjagaan kesihatan, dan lain-lain.
Perjalanan ke pekan atau bandar berhampiran sangat jauh; pengangkutan awam pula jarang dan agak mahal.
Di Sarawak, di mana ramai masih tinggal berhampiran sempadan Indonesia atau kawasan yang sangat terpencil – perjalanan boleh mengambil masa dua hingga tiga hari kerana keadaan jalan yang teruk dan paras air sungai yang tidak menentu – mereka kadang-kadang terperangkap di sesuatu tempat.
Selain itu, apabila mereka mendapat anak, mereka tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka, dan apabila anak-anak ini membesar dan berkahwin, anak mereka pula menjadi tidak berdokumen.
Maka, anak-anak itu membesar sebagai golongan tanpa negara walaupun kedua ibu bapa adalah rakyat Sarawak. Anak-anak ini tidak dapat mengakses pendidikan formal kerana mereka tidak dapat membuktikan kewarganegaraan mereka.
Kami kadang-kadang mengajar mereka pengetahuan asas sambil memohon kewarganegaraan bagi pihak mereka. Di sesetengah sekolah kampung, guru besar membenarkan mereka belajar hingga umur tertentu, tetapi mereka tidak boleh meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Bersama NGO dan peguam, kami cuba mengumpul apa-apa dokumen yang dapat membantu dalam proses permohonan.
Permohonan atau rayuan kewarganegaraan adalah proses yang sukar, panjang dan memenatkan. Namun, kita tidak harus berputus asa kerana bagi Tuhan, tiada yang mustahil.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Life as a Religious Sister















































