Dari Sintang ke Kuching: Persahabatan iman merentas sempadan

Foto Alumni KAYA dan Orang Muda Katolik (OMK) Paroki Katedral Sintang bersama Romo Ardianus Diri dan Romo Leo Rigby.

Oleh Karen Bulan

KUCHING, 9 Disember 2025 — Seramai 16 Orang Muda Katolik (OMK) bersama dua orang paderi dari Paroki Katedral Sintang, Kalimantan Barat, Indonesia telah mengunjungi belia dari Keuskupan Agung Kuching pada bulan Disember 2025. 

Jawatankuasa Utama Alumni KAYA telah menganjurkan program ‘Friends, Faith, Fellowship’ (3F) dan menjemput anggota dari kumpulan belia di bawah naungan paroki St Joseph Katedral, Kuching. 

Antara kumpulan belia yang terlibat adalah Empowered Ministry, Flame Youth Ministry, belia dari Gereja Our Lady Star of The Sea, Alumni KAYA yang lain dan belia aktif paroki. 

“Porta Sancta” di Gereja St Peter, Kuching

Objektif utama program ini adalah untuk membina persaudaraan serantau yang bermakna, antara belia dari Keuskupan Agung Kuching dan belia dari Paroki Katedral Sintang melalui perkongsian iman iaitu dengan soalan renungan, ‘Apakah harapan anda sepanjang musim Adven?’, jamuan persaudaraan, nyanyian bersama dan perkongsian budaya yang melibatkan interaksi, identiti dan tradisi serantau (Malaysia-Indonesia). 

Mereka juga berpeluang untuk melawat Galeri Sejarah Keuskupan Agung Kuching dan merayakan Misa Harian di Holy Family Chapel, ACCPC. Misa tersebut  dirayakan oleh Romo Ardianus Diri dan Romo Leo Rigby.

Berikut merupakan maklum balas dari OMK Paroki Katedral Sintang:

AKAYA, sebagai teman baru, dengan senang hati menemani kami menjelajahi setiap sudut indah Kota Kuching. Meski baru bertemu, kedekatan kami terasa seperti persahabatan yang sudah terjalin selama satu dekad. – Angela Febriana

Pengalaman saya bersama AKAYA sangat berkesan. Terima kasih atas sambutan hangat dan pengalaman berkeliling Kuching. Semoga kita dapat berjumpa kembali di lain waktu. – Edo Oberlando

Kamu mesti baca dengan nada berpantun,
“Petik delima di waktu siang,
Disimpan kemas di dalam peti.
Ke Kuching bersama OMK memang seronok dan senang,
Mengeratkan silaturahim, penuh gelak tawa dan memori di hati.” – Sovia Cen

Melalui program 3F, kita dapat melihat bagaimana persahabatan yang diasaskan pada iman mampu menyatukan belia walaupun dipisahkan oleh jarak dan budaya. 

Walaupun masa bersama agak singkat, persaudaraan yang terjalin terasa begitu bermakna. Dalam semangat Adven yang penuh pengharapan, pertemuan ini mengingatkan kita bahawa OMK dipanggil untuk berjalan bersama dalam sinodaliti, saling menyemangati dan membawa kasih Tuhan ke mana sahaja kita pergi. 

Persahabatan ini diharap akan terus berkembang dan menjadi permulaan kepada lebih banyak pertemuan dan kolaborasi akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.