
Oleh Sheron Michael
MIRI — Pelancaran Awal (Soft Launch) Radio Katolik Miri (RKM) di St Francis Centre, Jalan Brighton, di sini mencatatkan satu sejarah baharu bagi Gereja Katolik di Keuskupan Miri.
Buat pertama kalinya, sebuah platform radio rohani diwujudkan secara rasmi untuk menyatukan umat secara dalam talian (online) dan media digital, sekali gus membuka lembaran baharu dalam misi Gereja untuk menyebarkan Khabar Gembira dengan cara yang lebih kreatif dan relevan.
Dalam temu ramah bersama Uskup Miri, Rt Rev Richard Ng, beliau menegaskan bahawa RKM dengan tagline ‘Wartakan Injil Kristus’ merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan penginjilan pada era moden.
Menurut beliau, kehadiran RKM bukan sahaja memperkenalkan media baharu kepada umat, tetapi menjadi satu jawapan kepada keperluan umat Katolik masa kini yang kian bergantung pada media digital sebagai sumber rohani.
“Radio Katolik Miri bukan sekadar sebuah stesen radio, tetapi wadah penginjilan yang membawa harapan, pengajaran iman, dan suara Gereja kepada umat di mana sahaja mereka berada,” ujar beliau.

Majlis pelancaran yang ringkas namun bermakna ini turut dihadiri oleh para paderi, ahli-ahli Majlis Pastarol Paroki (PPC) Katedral St Joseph, Miri dan PPC St Dominic and The Rosary, wakil ministri, serta pasukan sukarelawan RKM yang terlibat secara langsung dalam pembangunan studio dan kandungan RKM sejak peringkat awal.
Menurut Uskup Richard, inspirasi untuk menubuhkan radio dalam talian ini lahir selepas beliau melihat kejayaan radio online Katolik, iaitu Kekitaanfm milik Keuskupan Keningau, yang dilihat sangat relevan dengan keperluan masa kini.
“Inspirasi ini tercetus apabila saya melawat stesen radio dalam talian Keuskupan Keningau. Dalam hati saya, ini memang satu projek yang baik dan sesuai dengan Keuskupan Miri kerana keuskupan kita banyak paroki di kawasan pedalaman.
“Mencetak satu surat khabar atau majalah tidak sesuai pada masa kini kerana itu sudah ketinggalan. Jadi, saya rasa radio internet adalah medium yang paling sesuai dan versatil atau serba boleh untuk kita gunakan,” jelas beliau.
Beliau juga menjelaskan bahawa RKM bakal menjadi platform yang memupuk kesatuan, renungan rohani, serta perkongsian kasih Tuhan, seiring dengan visi keuskupan untuk memperkembangkan misi penginjilan secara kreatif dan relevan.
“Antaranya, kita boleh membuat ‘retreat’, ‘spiritual talk’ dengan menjemput paderi-paderi atau religius yang pakar dari negara lain atau Indonesia dan Semenanjung Malaysia yang boleh memberi input atau ajaran.
“Kita boleh rakam dan siarkan pada musim Adven atau Lent ajaran-ajaran yang dapat mendalamkan iman kita.
“Malah kita boleh minta cadangan dari pendengar tentang program yang mereka mahu, tip-tip atau nasihat yang boleh membantu kita meningkatkan kualiti siaran,” ujarnya.
Mengakhiri temu ramah, Uskup Richard menyeru umat di semua paroki Keuskupan Miri untuk menyokong sepenuhnya inisiatif ini.
“Saya mengajak semua umat agar membuka hati kepada karya baharu ini, mendengar, berkongsi, dan mendoakan agar Radio Katolik Miri terus berkembang demi kemuliaan Tuhan,” kata beliau.
Dengan pelancaran ini, RKM kini bersedia menjadi saluran suara Gereja bagi masyarakat Miri dan seterusnya, membawa cahaya Kristus kepada lebih ramai umat melalui siaran digital.
Sebagai permulaan, RMK bersiaran secara langsung pada Isnin hingga Sabtu dari jam 6.00 petang hingga jam 9.00 malam menerusi saluran facebook dan YouTube.











































