By (Terjemahan)
Seorang katekis paroki pernah meminta kanak-kanak yang agak nakal di kelas Sekolah Minggu untuk melukis. Dia perlu memberi mereka aktiviti supaya mereka sibuk.
Seorang budak kecil mula melukis sesuatu di atas kertas putih. Guru itu dengan lembut bertanya kepadanya, “Apa yang kamu lukis?” Budak itu menjawab, “Saya sedang melukis Tuhan.”
“Tetapi tiada siapa yang tahu rupa Tuhan,” balas gurunya dengan hairan. Budak itu menjawab dengan yakin, “Sebentar lagi mereka akan tahu.”
Kanak-kanak mempunyai kebolehan untuk melihat apa yang sering terlepas pandang oleh orang lain.
Sementara orang dewasa berdebat dan menganalisis, kanak-kanak sering mengenali kebenaran dengan kejelasan yang mengejutkan kita.
Kisah ringkas ini menggambarkan inti bacaan pada hari ini: perbezaan antara melihat dengan mata dan melihat dengan hati.
Dalam Injil, Yesus mengisytiharkan, “Akulah terang dunia.” Dengan menyembuhkan seorang lelaki yang buta sejak lahir, Yesus menyingkapkan diri-Nya sebagai Terang yang mengusir bukan sahaja kegelapan fizikal tetapi juga kegelapan yang lebih dalam, iaitu kebutaan rohani – kebutaan terhadap kebenaran, rahmat dan kehadiran Tuhan.
Apabila para murid, kerana kejahilan dan kebutaan terhadap kebenaran, bertanya dosa siapakah yang menyebabkan lelaki itu buta, Yesus membetulkan cara pemikiran mereka yang sempit dengan berkata, “Bukan dia atau ibu bapanya yang berdosa; dia dilahirkan buta supaya pekerjaan Tuhan dinyatakan melalui dirinya.”
Yesus menggunakan kebutaan fizikal lelaki ini untuk membawa perubahan daripada kebutaan rohani kepada penglihatan rohani, bukan sahaja kepada para murid-Nya tetapi juga kepada para pembaca Injil Yohanes, termasuk kita.
Apakah penglihatan yang sebenar?
Dalam Bacaan Pertama, Samuel diutus untuk mencari dan mengurapi seorang raja. Ketika nabi itu melihat anak-anak lelaki Isai yang kuat dan mengagumkan, dia sudah membuat keputusan dalam fikirannya siapa yang akan menjadi raja.
Namun Tuhan membetulkannya dan dengan jelas menyatakan, “Tuhan tidak melihat seperti manusia melihat: manusia melihat rupa luaran, tetapi Tuhan melihat hati.”
Penglihatan yang sebenar tidak berdasarkan penampilan luaran, tetapi pada keadaan hati di dalam. Dengan cara yang sama, secara luaran lelaki yang buta secara fizikal itu dipandang oleh masyarakat sebagai seorang pendosa atau beban, tetapi secara batin, dia seorang manusia bermaruah yang harus dihormati.
Dalam peristiwa yang diceritakan oleh Yohanes ini, lelaki buta itu menjadi tempat di mana kemuliaan Tuhan dinyatakan.
Tuhan melihat kemungkinan di mana orang lain melihat kecacatan. Tuhan melihat misi di mana orang lain melihat dosa.
Untuk melaksanakan penyembuhan itu, Yesus menyuruh lelaki tersebut pergi membasuh diri di Kolam Siloam, yang bermaksud “Diutus”.
Orang yang dahulu buta itu boleh dikatakan menjadi seperti seorang rasul yang diutus untuk membasuh, diutus untuk taat, dan diutus untuk menjadi saksi.
Pembasuhan ini mengingatkan kita akan pembaptisan, di mana Kristus, Terang itu, menerangi kegelapan kita. Lelaki itu pergi, membasuh diri, dan dapat melihat semula. Ketaatan membuka matanya.
Ironinya, orang Farisi – mereka yang yakin dengan pengetahuan agama mereka – tetap buta. Mereka berulang kali menyoal siasat lelaki yang telah disembuhkan itu kerana tidak mampu menerima tanda yang jelas di hadapan mereka.
Mereka menuduh Yesus sebagai seorang pendosa dan memandang rendah lelaki itu sebagai tidak berpengetahuan. Namun lelaki yang dahulu buta itu melihat dengan lebih jelas daripada mereka.
Langkah demi langkah, imannya bertumbuh: mula-mula dia memanggil Yesus “orang yang bernama Yesus”, kemudian “seorang nabi”, dan akhirnya dia menyembah-Nya sebagai Tuhan.
Sementara itu, para pemimpin yang terpelajar menolak terang itu kerana ia menggugat kepastian mereka.
Lelaki yang telah disembuhkan itu bercakap dengan kesederhanaan yang jujur kepada orang Farisi yang angkuh, “Jika orang ini bukan daripada Tuhan, Dia tidak dapat melakukan apa-apa.”
Dia menyatakan kebenaran yang jelas bahawa Tuhan mendengar mereka yang melakukan kehendak-Nya. Kejelasan kata-katanya menyingkapkan kekaburan para pemimpin itu.
Seperti yang kemudian dinyatakan oleh Yesus, Dia datang supaya “mereka yang tidak melihat dapat melihat dan mereka yang melihat menjadi buta”.
Tragedi yang sebenar bukanlah kebutaan fizikal, tetapi keengganan kita untuk mengaku bahawa kita memerlukan terang. Pada asasnya ini adalah panggilan untuk berfikiran terbuka dan bukannya berfikiran tertutup.
Santo Paulus dalam Bacaan Kedua menggesa kita supaya hidup seperti anak-anak terang, kerana kesan terang itu kelihatan dalam segala kebaikan, hidup yang benar, dan kebenaran. Terang menyingkapkan apa yang tersembunyi, tetapi juga mengubah.
Dia seterusnya berkata, “Segala sesuatu yang disingkapkan oleh terang akan menjadi nyata, dan apa yang menjadi nyata itu sendiri menjadi terang.”
Berjalan dalam terang bererti membiarkan Kristus menerangi prasangka kita, kesombongan kita, dan dosa-dosa tersembunyi kita. Ia juga bererti mengakui bahawa kita juga boleh menjadi buta.
Soalan untuk kita adalah mudah tetapi menyentuh jiwa: Adakah kita mahu melihat dengan hati dan bukan hanya dengan mata?
Adakah kita bersedia membiarkan Kristus menyentuh tanah liat kemanusiaan kita dan mengutus kita untuk membasuh? Seperti Samuel, adakah kita akan belajar melihat seperti Tuhan melihat – hati, bukan mata?
Seperti lelaki yang dahulu buta itu, adakah kita akan bertumbuh dalam iman dan keberanian untuk menjadi saksi kepada kebenaran, walaupun orang lain menolak kebenaran itu?
Sebagai penutup, memetik kata-kata Santo Paulus hari ini: “Bangunlah daripada tidurmu, bangkitlah daripada antara orang mati, dan Kristus akan menyinari kamu.”
Semoga kita mempunyai kerendahan hati untuk mengakui kebutaan kita dan keberanian untuk melangkah ke dalam terang-Nya yang gemilang, supaya dengan diterangi oleh-Nya, kita juga menjadi terang bagi dunia.






































