
Oleh Jennifer Lahei
MIRI — PADA suatu malam di bulan September 2004, Fr Sylvester Ding dan Epoi Ajun telah datang ke rumah saya dan menyampaikan hasrat Fr Ding yang hendak merayakan Misa Kudus di Permyjaya, Miri, kerana beliau berasa simpati melihat kesusahan umat untuk menghadiri Misa.
Dua puluh tahun lalu, Permyjaya tidak semaju hari ini, dan pengangkutan jalan raya tidak menyenangkan.
Keesokan harinya, saya terus menyediakan peralatan untuk merealisasikan hasrat Fr Ding.
Sukarelawan muda-mudi membantu mengedarkan risalah kepada umat, yang tinggal di sekitar kawasan Permyjaya dan Senadin, mengenai Misa Kudus Hari Minggu yang diadakan di rumah Epoi.
Kami yang lain menyediakan teduhan kanvas dan duduk beralaskan kanvas di depan rumah.
Semakin ramai umat mengetahui tentang kewujudan rumah sembayang ini, dan semakin ramai juga umat yang datang untuk menghadiri Misa Hari Minggu.
Kami mengubah suai tempat itu menjadi lebih besar bagi mencukupi kehadiran umat yang semakin bertambah dan juga membuat sengkuap (awning) di sekeliling rumah.
Kami juga mengumpul dana untuk membeli kerusi, kipas dan kelengkapan yang perlu demi keselesaan umat.
Begitulah permulaan sederhana sebuah gereja di rumah ini, yang digelar ‘Gereja Cowboy’ oleh umat.
Kami tidak berputus asa dan senantiasa berusaha meminta tanah kosong untuk membina sebuah gereja sempurna, dan pembinaan gereja baharu akhirnya bermula pada 2022.
Gereja Katolik Roh Kudus telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, dan diberkati oleh Uskup Richard Ng pada 1 April 2025.
Misa Pemberkatan bermula pada jam 9:00 pagi dan berakhir kira-kira jam 11:30 pagi.
Kira-kira 3,000 umat Katolik dan juga beberapa orang paderi dari Keuskupan Miri telah menghadiri Misa tersebut.
Pada kesempatan ini, Uskup Richard mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembinaan gereja ini, terutamanya Lee bagi pihak kerajaan, dan UNIFOR yang telah mengagihkan dana sebanyak RM2.2 juta untuk membina gereja baharu ini.
Namun begitu, kami juga berharap pembinaan fasa kedua dapat dimulakan secepat mungkin.
Fasa kedua akan melibatkan blok bilik darjah bagi kelas Sekolah Minggu, bilik mesyuarat serta bilik bagi aktiviti kerohanian.
Misa Pemberkatan ini diakhiri dengan jamuan kesyukuran yang disediakan oleh umat.
Selepas penantian selama 20 tahun, kami mendapat sebuah gereja yang begitu indah seperti yang kelihatan pada hari ini.
Gereja Katolik Roh Kudus kini dibuka kepada orang ramai, dan Misa di gereja ini diadakan setiap hari Ahad pada jam 8:00 pagi dalam Bahasa Malaysia.