“Firman-Mu Pelita Hidupku” (Mzm 119:105)

Oleh Kelly Damien

SRI AMAN — BULAN Julai disambut dengan penuh semangat rohani oleh warga Paroki Our Lady Queen of Peace, Sri Aman, menerusi Pelancaran Bulan Al-Kitab pada 1 Julai 2025.

Majlis pelancaran itu, yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Guru-Guru Adat, berlangsung di gereja paroki dengan suasana yang khusyuk dan penuh penghayatan.

Program dimulakan dengan Misa Harian yang dikendalikan oleh Fr Henry Jimbey dan renungan Sabda Tuhan.

Ia diikuti dengan pelancaran simbolik sebagai tanda umat dipanggil untuk mendalami, mencintai, dan menghidupkan Firman Tuhan dalam kehidupan seharian.

Kehadiran umat daripada pelbagai peringkat usia menyerlahkan semangat kesatuan dan cinta akan Sabda Tuhan.

Pelbagai Aktiviti Sepanjang Bulan Alkitab

Sepanjang bulan Julai, pelbagai aktiviti dirancang dan dilaksanakan bagi memupuk budaya membaca serta menghayati Al-Kitab sebagai sebahagian daripada kehidupan harian umat.
Antaranya ialah:

  • Pembacaan Al-Kitab Harian: Umat digalakkan membaca satu petikan Al-Kitab setiap hari secara peribadi atau bersama keluarga;
  • Pertandingan Sekolah Minggu: Pelbagai pertandingan dianjurkan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja Sekolah Minggu, termasuk kuiz Al-Kitab, hafalan ayat-ayat pilihan, dan persembahan kreatif bertemakan Firman Tuhan;
  • Pembacaan Al-Kitab Sebelum Misa: Pelajar Kelas Adat mengambil bahagian dalam pembacaan Al-Kitab sebelum Misa Kudus setiap Hari Minggu, untuk menanamkan rasa tanggungjawab dan penghayatan sejak usia muda;
  • Jam Doa Kudus (Holy Hour): Sesi doa dan adorasi diadakan khusus sepanjang Bulan Al-Kitab, dengan mengajak umat untuk bersekutu lebih mendalam dengan Kristus melalui meditasi Firman-Nya;
  • Kelas Ikonografi (Iconography Class): Program pembelajaran seni ikonografi yang menghubungkan seni rohani dengan penghayatan Firman Tuhan;
  • Kelas Katekese (Catechesis Class): Sesi pengajaran iman bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang menekankan kefahaman Al-Kitab dan penerapan ajarannya dalam kehidupan harian; dan
  • Renungan dan Perkongsian: Beberapa sesi renungan dan perkongsian iman turut diadakan dalam komuniti kecil, memberi ruang kepada umat untuk berkongsi pengalaman dan inspirasi daripada Sabda Tuhan.

Refleksi & Harapan

Penglibatan aktif belia dan kanak-kanak dalam program ini amat membanggakan.
Ia membuktikan bahawa pewartaan Firman bukan hanya tanggungjawab golongan tertentu, tetapi amanah bersama seluruh umat – tua dan muda.

Platform renungan dan perkongsian harus diteruskan secara konsisten dan kreatif, agar Firman Tuhan tidak sekadar dibaca, tetapi sungguh-sungguh dihidupkan dalam amalan.
Semoga sepanjang Bulan Al-Kitab ini, umat OLQP akan semakin mendalam dalam penghayatan rohani, menjadikan pembacaan Al-Kitab bukan sahaja sebagai santapan rohani, tetapi sebagai sumber kekuatan, pedoman dan cahaya yang menerangi jalan hidup dalam Kristus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.