Oleh Seminarian Devson Konsung
Gara-gara ‘cabaran’ seorang sahabat, keinginan untuk tahu dan mencuba, saya ‘termasuk’ seminari. Begitulah yang saya boleh simpulkan bagaimana panggilan saya bermula.
Sebelum saya menyertai seminari pada tahun 2020, saya bukan seorang yang kerap ke gereja, jarang aktif dalam aktiviti gereja, dan ada masanya, saya tidak ke gereja pada hari Ahad.
Pada pertengahan 2017, saya berhenti kerja sebagai juruteknik bahagian perkapalan di Kota Kinabalu, dan kemudian bekerja dengan abang ipar saya dalam bahagian percetakan baju di Keningau. Segalanya bermula di sini.
Apabila saya memulakan kerja di Keningau, segalanya menjadi ‘relax’ dan kurang tekanan. Ini kerana saya tingal bersama orang tua saya dan mempunyai kewangan yang stabil.
Semenjak saya bekerja di Keningau, rutin harian saya ‘lebih kurang’ sama. Kerja ‘office hour’, petang bersenam dan malam berehat. Tetapi, sekitar tahun 2018, rutin harian saya berubah apabila saya mula bermain ‘PUBG’ dan ‘mobile legend’ di ‘hand phone’.
Saya akan bekerja seperti biasa pada siang hari, bersenam pada waktu petang, dan bermain ‘game’ pada waktu malam. Kebiasaanya, saya dan kawan-kawan saya akan bermain hingga jam 1 atau 3 subuh.
Aktiviti bermain ‘game’ ini, kami akan lakukan dalam tiga atau empat kali seminggu. Kebiasaannya kami lima orang yang akan bermain ‘game’, tetapi kadang-kala, kami hanya berempat.
Tempat kami bermain ‘game’ juga biasanya di rumah salah seorang antara kami. Antara kami berlima, hanya seorang yang sudah berkahwin, dua lagi sedang bersekolah, dan dua lagi bekerja, termasuk saya.
Pada suatu masa, kawan saya yang telah berkahwin (Dell) berkata kepada empat kami yang lain, “Bagus lagi kamu cuba pergi itu seminar, panggilan menjadi paderi, daripada main ‘game’ saja, macam tiada arah hidup sudah.”
Selepas sahaja dia selesai berkata demikian, kami empat orang terus ketawa kerana tiada di antara kami pernah terfikir begitu. Kami hanya menganggap itu sebagai gurauan dan tidak pernah mengambil serius pasal hal ini.
Sejak itu, seminar panggilan menjadi paderi menjadi bahan jenaka kami dan sering kami sebut-sebut.
Suatu hari, tiba-tiba terlintas di fikiran saya, “Apa salahnya saya cuba, bukan ‘confirm’ pun saya jadi paderi, sekurang-kurangnya saya ada pengalaman ikut ini program.”
Saya akhirnya mengambil keputusan untuk mengikuti program seminar tersebut.
Disingkatkan, apabila saya memutuskan untuk mengikuti program tersebut, saya telah mengambil borang pendaftaran enam bulan awal sebelum tarikh penutup. Tetapi apabila saya menghantar borang itu, saya telah lewat empat hari.
Walaubagaimanapun, saya bernasib baik kerana saya mengenali salah seorang seminarian yang sedang menguruskan pendaftaran untuk diosis Keningau, kerana mereka pada asalnya enggan menerima borang yang lewat dihantar kerana jumlah penyertaan yang banyak dan ruang penginapan yang terhad.
Semasa program seminar panggilan tersebut, saya tidak mengetahui bahawa setiap peserta akan ditemuduga untuk menentukan siapa yang layak memasuki rumah pembentukan (formation house/seminary).
Saya juga sejujurnya rasa menyesal menyertai program ini kerana untuk pertama kali dalam hidup saya, saya mengikuti program tanpa seorang kawan. Kebiasaanya, saya akan mengikuti program gereja kerana ajakan kawan.
Oleh itu, saya merasakan bahwa itulah yang pertama dan yang terakhir saya mengikuti program tersebut, tetapi, semasa Misa penutup program seminar panggilan itu, seorang paderi akan mengumumkan siapa yang terpilih untuk menyertai rumah pembentukan, dan tanpa saya sangka, saya telah terpilih walaupun tiada persediaan.
Selepas sahaja program itu selesai, banyak benda yang saya risaukan. Bagaimana saya hendak beritahu keluarga saya, bagaimana dengan pekerjaan saya, dan sebagainya.
Tambahan pula kami hanya diberi masa dua minggu untuk persediaan sebelum memasuki rumah pembentukan.
Oleh itu, disebabkan masa yang sangat singkat untuk persediaan, saya memutuskan untuk menolak daripada menyertai rumah pembentukan, tetapi saya berubah fikiran pada akhirnya kerana ingin tahu dan ingin mencuba.
Justeru, disebabkan oleh keinginan untuk tahu, mencuba dan cabaran seorang kawan, saya sudah berada di seminari selama lima tahun.