Harapan tidak mengecewakan: Belia bersatu masa depan Gereja

Para peserta belia SAYD 2025 bersama rektor dan para paderi bergambar beramai-ramai di Gereja St Ann, Kota Padawan (Gambar: St Ann Media)

Oleh Gwyneta Olivia Brandah

KOTA PADAWAN — Dengan semangat kesatuan dan berlandaskan tema ‘Harapan Tidak Mengecewakan’ (Roma 5:5), Hari Belia St Ann (SAYD 2025) kembali meraikan iman dan semangat belia. 

Program tahunan di bawah bimbingan para paderi dan Ministri Belia Gereja Paroki St Ann ini telah menghimpunkan seramai 1,577 belia di Gereja St Ann di sini. SAYD tahun ini diketuai oleh Zon Taman selaku tuan rumah, dengan penyertaan belia bukan sahaja dari Paroki St Ann tetapi juga dari paroki sekitar Keuskupan Agung Kuching serta wakil belia dari Dalat, Sibu, Bintulu dan Miri.

SAYD 2025 bermula pada 12 September dengan pendaftaran peserta pada tengah hari. Pada sebelah petang, suasana rohani tercipta melalui adorasi senyap, jalan salib, dan doa Taizé yang dipimpin oleh para paderi dan belia sendiri. Ia menjadi titik permulaan penuh makna, membawa peserta kepada renungan iman, kesatuan hati, dan pengalaman peribadi bersama Kristus.

Hari kedua dimulakan dengan Misa Pembukaan yang dirayakan oleh Yang Mulia Uskup Agung Simon Poh, diiringi para belia dalam baju rasmi SAYD 2025 dan AJK berpakaian tradisional. Gimik perasmian disemarakkan dengan penyalaan Obor Harapan, manakala lagu tema SAYD ‘Hope Does Not Disappoint/Harapan Tidak Mengecewakan’ ciptaan Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM turut dilancarkan. 

Sesi diteruskan dengan taklimat belia, ice-breaking dan drama SAYD oleh Zon Simpok. Pada sebelah petang, Friar Nelson memberi formasi iman bertemakan ‘Berakar, Bertumbuh, Berbuah’, diikuti dengan sesi Friar Don Don Romero Ramerez, OFM tentang ‘Harapan dan Kasih Allah’. Pada sebelah malamnya, peserta diraikan dalam ‘Heritage Night’ dengan persembahan budaya pelbagai etnik, sebelum diakhiri dengan Konsert Rohani oleh belia dan umat Zon Penrissen.

Hari ketiga dimulai dengan Misa Kudus, diikuti program ‘Pilgrims of Hope ‘ Ziarah Harapan’. Para peserta dihantar ke sembilan pusat ziarah paroki, termasuk St Ann, St Joachim (Batu 12), St Francis Xavier (Kpg Seratau), Dewan Sinjok, St Mary Magdalene (Kpg Jambu), St Maximilian Kolbe (Kpg Bayur), St Matthew (Kpg Bunuk), Holy Family (Kpg Punau) dan St Michael (Teng Bukap). 

Di setiap lokasi, mereka mengikuti kelas katekis,’Perbualan dalam Roh’ (Conversation in Spirit), serta sukaneka yang memperkukuh persaudaraan. Pada malamnya, para peserta disatukan dalam Sesi Penyembuhan untuk mengalami penyembuhan batin melalui doa, sebelum menutup dengan nyanyian ‘Selamat Malam Bapa’.

Hari terakhir dimulakan dengan Misa Penutupan, yang diwarnai dengan gimik lima wakil pelbagai umur yang menyampaikan harapan mereka bagi masa depan Gereja. Selepas itu, penyerahan Obor Harapan dilaksanakan, tanda membawa pulang cahaya Kristus ke komuniti masing-masing. 

Penganjur turut memberi penghargaan kepada Zon Teng Bukap kerana menghantar jumlah belia tertinggi. Kemuncak penutupan adalah pengumuman bahawa Zon Simpok akan menjadi tuan rumah SAYD 2026, yang disambut dengan sorakan penuh semangat.

SAYD 2025 menutup tirainya dengan doa penutupan dan foto bersama, seterusnya meninggalkan kenangan indah yang membawa berkat, kesatuan dan semangat baharu untuk melangkah menuju SAYD 2026 di Zon Simpok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.