Oleh Timothy T. Thomas
SRI AMAN — Pada 27 September 2025, Paroki Our Lady Queen of Peace di sini telah menganjurkan program Hari Pengajian (Study Day) yang bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengah hari.
Program tersebut disertai guru-guru adat dan ahli-ahli Ministri Keluarga, dengan membawa tema ‘Pengetahuan Asas Perkahwinan dalam Gereja Katolik’.
Sebagai inisiatif yang pertama kali dilaksanakan, program ini bertujuan untuk memperkasa para pembimbing pastoral dengan landasan pengetahuan asas yang kukuh berkaitan Sakramen Perkahwinan menurut ajaran Gereja Katolik.
Matlamat jangka panjangnya adalah untuk membantu para peserta agar dapat menangani pelbagai permasalahan asas yang sering dihadapi oleh umat, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu perkahwinan, dari sudut doktrin mahupun pastoral.
Seramai 27 orang peserta telah mengambil bahagian dalam program ini.
Fr Henry Jimbey telah diberi tanggungjawab menjalankan sesi utama, yang merangkumi pembentangan kandungan teologi serta garis panduan pastoral berkaitan perkahwinan.
Beliau turut memimpin sesi soal jawab, yang berlangsung dalam suasana yang amat dinamik dan membina.
Para peserta menunjukkan keterlibatan yang tinggi, dengan mengemukakan pelbagai persoalan kritikal yang mencerminkan keprihatinan serta kesungguhan mereka dalam mendalami peranan masing-masing sebagai pemimpin komuniti iman.
Maklum balas yang diterima daripada para peserta amat positif.
Rata-ratanya melahirkan rasa kesyukuran dan penghargaan yang mendalam terhadap inisiatif ini, serta menyuarakan hasrat agar program seumpama ini dijadikan acara berkala sebagai medan pengayaan ilmu dan pemantapan pelayanan pastoral.
Acara ditutup dengan penuh khusyuk melalui perayaan Misa Kudus, dan diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang menjadi ruang persekutuan serta penghargaan atas komitmen para peserta.
Semoga program sebegini menjadi pencetus kepada lahirnya barisan pembimbing pastoral yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berwibawa dalam mendampingi umat dengan hikmah dan kasih Kristiani.









,团长(右三),以及小军友们。(图:刘谊恒(Moses)-218x150.png)


































