Oleh Catherina Ra Flora
LUNDU — Kem Kanak-kanak (Kids’ Camp) telah berlangsung di Paroki Holy Spirit Lundu dengan penuh sukacita pada 18 Oktober lalu di Gereja St George Bokah.
Seramai 220 orang murid dan 84 orang guru Sekolah Minggu dari 20 buah gereja telah mengambil bahagian, menjadikan perhimpunan ini antara yang terbesar pada tahun ini. Program dimulakan dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Casimir Henry, sebagai sumber kekuatan rohani sebelum para peserta menyertai aktiviti seterusnya.
Sepanjang hari, murid-murid disajikan dengan pelbagai permainan, sesi nyanyian pujian, dan aktiviti berpasukan yang dirancang untuk menanam nilai kerjasama, kasih dan kegembiraan dalam Kristus. Suasana penuh tawa dan keriangan jelas terpancar pada wajah setiap peserta, menjadikan perjumpaan ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi ruang bagi mengalami kasih Tuhan secara lebih mendalam.
Kem Kanak-kanak ini sememangnya menjadi program yang paling dinanti-nantikan setiap tahun. Setiap zon membawa pengisian yang kreatif dan unik, menjadikan pengalaman murid-murid sentiasa segar serta memberi inspirasi. Aktiviti seperti ini diharapkan terus memupuk keinginan anak-anak Tuhan untuk mengenal, mengasihi dan melayani-Nya, sambil mengeratkan hubungan sesama rakan seiman.
Semoga kem ini terus menjadi wadah pembentukan iman kanak-kanak dalam komuniti gereja di paroki ini.













































