Kem Muda Mudi 2025: Bertemu, Bersahabat, Beriman

Foto berkumpulan.

Oleh Sheron Michael

MIRI — Kem Muda Mudi anjuran Ministri Muda Mudi Gereja St Dominic and the Rosary, Taman Tunku, di sini pada awal bulan ini telah menjadi wadah pertemuan bagi belia Katolik yang membuahkan berkat persahabatan dan inspirasi iman. Kem itu, yang berlangsung pada 1 dan 2 Ogos lalu, ternyata menyatukan para peserta dalam doa, pembelajaran dan juga perkongsian pengalaman yang sukar dilupakan.

Sejak pendaftaran pada petang Jumaat, suasana mesra dapat dirasakan apabila para fasilitator dan urus setia menyambut kedatangan peserta dengan kemesraan, seterusnya diikuti jamuan makan malam yang menjadi detik awal bagi mereka untuk mengenali satu sama lain dalam suasana santai. Seperti lazimnya, acara pembukaan berlangsung penuh ceria dengan aktiviti ‘ice-breaking’ yang menghidupkan suasana dengan gelak tawa dan sorakan yang mewarnai dewan, sekali gus menghapuskan rasa kekok antara peserta yang datang daripada pelbagai latar belakang.

Setelah itu, suasana berubah hening dan penuh syukur apabila semua belia dipimpin dalam nyanyian pujian dan penyembahan. Detik ini menjadi permulaan rohani yang menyentuh hati dan mempersiapkan setiap jiwa bagi pengisian program seterusnya.

Slot pertama bertajuk ‘Self Discovery (I Am a Gift)’ atau ‘Aku Adalah Anugerah’, membuka ruang bagi peserta untuk menyedari keunikan masing-masing sebagai anugerah Tuhan. Melalui perbincangan kumpulan, mereka diajak untuk melihat nilai diri daripada perspektif iman.

Hari kedua diteruskan dengan slot penting, iaitu ‘Youth: Future of The Church’, yang menekankan bahawa belia bukan sekadar pewaris, tetapi juga pemimpin Gereja pada masa kini dan akan datang. Perkongsian dalam kumpulan kecil bersama fasilitator memperdalamkan kesedaran akan cabaran dan tanggungjawab mereka.

Selain sesi rohani, kem turut dipenuhi dengan aktiviti luar dan permainan yang menceriakan. Setiap aktiviti dirancang bukan sahaja untuk hiburan, tetapi juga untuk membina kerjasama, keberanian, dan semangat kekeluargaan dalam kalangan muda mudi Katolik. Malam kedua diisi dengan Misa Senja, sebelum acara kemuncak Malam Persahabatan. Suasana meriah dengan persembahan kumpulan, nyanyian bersama, dan perkongsian bakat kreatif peserta menambah warna kepada perhimpunan itu.

Memuji Tuhan.

Penutupan kem diraikan dengan semangat gembira namun penuh makna. Para peserta bukan sahaja pulang dengan kenangan indah, tetapi juga dengan kesedaran baharu akan peranan mereka dalam pelayanan dan kehidupan beriman. Harapan paroki, semoga Kem Muda Mudi SDRC 2025 menjadi pembakar semangat kepada generasi muda untuk terus berkembang dalam iman, menjadi pemimpin yang berani, dan saksi kasih Kristus di dunia ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.