Membentuk iman anak-anak melalui Program Atrium

Stesen Jalan Salib

Oleh Paroki Sacred Heart 

KOTA SENTOSA — Pada Ahad, 15 Jun 2025, Paroki Sacred Heart Kota Sentosa telah menganjurkan sebuah program pembelajaran iman yang penuh makna khas bagi anak-anak Sekolah Hari Minggu. 

Bertempat di Immaculate Heart Centre, program ini menghimpunkan seramai 528 pelajar dari pelbagai komuniti, iaitu Sekolah Hari Minggu Sam Hap Hin (Sacred Heart), Gereja St Mark Batu Kawa, serta kampung-kampung di bawah naungan paroki seperti Kampung Sungai Empit, Kampung Bumbok, Kampung Semeba, Kampung Sudat dan Kampung Tematu.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai ajaran dan tradisi Gereja Katolik, khususnya berkaitan simbol-simbol suci, musim liturgi, serta peralatan yang digunakan dalam Misa Kudus. 

Dengan pendekatan interaktif dan berpusatkan pengalaman, peserta belajar sambil mengalami sendiri aspek-aspek penting dalam kehidupan iman Katolik melalui lapan stesen pembelajaran yang disusun secara sistematik dan kreatif.

Stesen Barangan Uskup memperkenalkan anak-anak kepada pelbagai kelengkapan khas seorang uskup, termasuk mitra (topi khas), tongkat gembala (crozier), cincin uskup, dan salib pektoral. 

Mereka belajar bahawa seorang uskup adalah gembala utama yang dipanggil untuk memimpin umat dalam keuskupan, dan setiap barangan tersebut melambangkan tanggungjawab serta peranannya sebagai wakil Kristus dalam Gereja tempatan.

Stesen Warna Liturgi memperkenalkan warna-warna yang digunakan dalam kasula dan kain altar mengikut musim liturgi. Warna seperti putih, ungu, hijau, merah dan merah jambu dijelaskan dengan makna rohaninya – putih untuk kesucian dan sukacita, ungu untuk penyesalan, hijau bagi harapan dan pertumbuhan, merah untuk Roh Kudus dan para martir, serta merah jambu sebagai lambang kegembiraan dalam penantian. 

Kanak-kanak sangat teruja apabila dapat menyentuh sendiri kain-kain liturgi yang sebenar.

Di Stesen Peralatan Misa, anak-anak diberi peluang melihat dan menyentuh peralatan suci yang digunakan semasa Misa seperti piala, patena, siborium, monstran, serta cruet untuk air dan wain. 

Pengalaman ini membantu mereka mengenali nama serta kegunaan setiap benda suci, sekaligus menumbuhkan rasa hormat yang lebih mendalam terhadap Ekaristi.

Stesen Jalan Salib membawa mereka menyusuri empat belas perhentian yang menceritakan penderitaan dan wafat Yesus Kristus. 

Dengan bantuan gambar, penceritaan yang sesuai dengan usia mereka, dan suasana renungan, anak-anak diajak merenungkan kasih pengorbanan Yesus serta membina empati terhadap penderitaan sesama.

Melalui Stesen Kalendar Liturgi, kanak-kanak mempelajari tentang susunan tahun Gereja, termasuk musim Adven, Krismas, Lent, Paska dan Masa Biasa.

Aktiviti ini disampaikan secara visual menggunakan roda liturgi berwarna-warni yang memudahkan pemahaman tentang bagaimana setiap musim mengarahkan umat kepada pertumbuhan rohani dan penghayatan misteri iman.

Salah satu stesen yang menyentuh hati ialah Stesen Pembasuhan Kaki, yang memperingati peristiwa Yesus membasuh kaki murid-murid-Nya sebagai lambang kerendahan hati dan pelayanan. 

Melalui aktiviti lakonan dan penjelasan, anak-anak diajar bahawa menjadi pengikut Kristus bermaksud melayani dengan penuh kasih, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Tuhan sendiri.

Di Stesen Perjamuan Terakhir, anak-anak diajak menghayati saat Yesus mengadakan Ekaristi pertama bersama para rasul. 

Dengan menggunakan simbol roti dan anggur, mereka belajar bahawa setiap kali Misa Kudus dirayakan, kita mengenang dan menghadirkan semula kasih pengorbanan Yesus yang memberikan tubuh dan darah-Nya demi keselamatan manusia.

Akhir sekali, dalam Stesen Pakaian Biara, anak-anak diperkenalkan kepada pelbagai jenis pakaian religius yang dipakai oleh para biarawan dan biarawati.

Mereka diberi pemahaman bahawa pakaian ini melambangkan janji hidup yang dipersembahkan kepada Tuhan – ketaatan, kemurnian dan kemiskinan – serta panggilan khas untuk melayani dalam doa dan kehidupan komuniti.

Beberapa anak juga berpeluang mencuba jubah simbolik, menjadikan pengalaman ini lebih menarik dan bermakna.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.