Paderi muda berhimpun: Poskad dari Melaka-Johor

Oleh Fr Stanley Goh

“Anda bukan adiwira. Anda bukan penyelamat dunia. Ada seseorang yang sudah pun melakukan itu, dan kamu melayan-Nya.”

MELAKA — Peringatan yang penuh makna ini disampaikan semasa salah satu sesi pada Perhimpunan Para Paderi Muda atau Young Priests’ Gathering (YPG) 2025 yang diadakan di Keuskupan Melaka-Johor dari 6 hingga 10 Oktober lalu.

Ia merupakan peringatan yang tepat buat kami para paderi, bukan sahaja untuk menumpukan perhatian kepada-Nya yang memanggil kami kepada cara hidup kami sekarang, tetapi juga untuk menyedari kelemahan dan kerentanan kami sebagai manusia. Namun bukan hanya kata-kata hikmah dan penghiburan kecil seperti ini yang menjadikan YPG satu program yang sangat bernilai bagi kami semua yang terlibat.

YPG merupakan acara tahunan yang menghimpunkan para paderi yang telah ditahbiskan selama lima tahun atau kurang daripada itu dari keuskupan di Malaysia, Singapura dan Brunei, untuk mengadakan pertemuan, seminar, acara doa dan persekutuan selama beberapa hari.

Pada tahun ini, penganjur dari Keuskupan Melaka-Johor membawa kami dalam satu ziarah dari Johor Bahru ke Melaka, melalui Kluang, di mana kami singgah di tempat-tempat ziarah dalam keuskupan tersebut dan merayakan Misa di pelbagai paroki yang kami lawati. Kemurahan hati dan layanan mesra semua keluarga serta umat paroki yang kami temui amat mengharukan, dan hal itu juga memberikan kami pandangan yang lebih mendalam tentang peranan paderi dalam kehidupan umat yang kami layani.

Satu lagi aspek yang sangat menyentuh hati dalam YPG ialah suasana persaudaraan dan semangat kebersamaan yang kami alami.
Peluang untuk berhimpun dengan paderi lain yang pernah juga melalui ‘sakit tumbesaran’ dalam pelayanan awal kepaderian memberi kami ruang untuk berkongsi sukacita dan cabaran tentang siapa kami dan apa yang kami buat.

Ia merupakan saat istimewa yang penuh rahmat kerana kami dapat saling memberi dan menerima dorongan dalam perjalanan kami sebagai paderi, dengan kesedaran bahawa kami mempunyai teman seperjalanan, walaupun kami bertugas di keuskupan dan paroki yang berbeza.

Antara kemuncak program ini bagi ramai di antara kami ialah inap desa dan aktiviti bersama umat Paroki St Mary di Ayer Salak, Melaka.
Peluang untuk tinggal bersama keluarga angkat dan berinteraksi dengan mereka, selain  melihat semangat paroki itu sewaktu kami berdoa dan makan bersama, memberi kami pandangan mendalam tentang kehidupan komuniti Katolik yang sangat erat di sana.

Kami meninggalkan Melaka dengan hati yang penuh rasa syukur atas orang yang kami temui dan pengalaman yang diperoleh, serta dengan semangat misi yang diperbaharui untuk membawa pulang segala yang diberikan oleh YPG kepada kami ke dalam kehidupan dan pelayanan kami.

Kami bersyukur kepada Tuhan atas anugerah panggilan kepaderian, dan juga atas anugerah semua orang yang menyokong para paderi melalui bantuan, kerja dan doa.

Fr Davie Entalai merenungkan bahawa “seluruh pengalaman YPG 2025 membawa saya untuk merenungkan panggilan agar tetap setia dalam doa dan menghargai anugerah iringan persaudaraan dalam kepaderian”.

Dengan sentimen yang sama, Fr Henry Jimbey berkata bahawa “YPG telah menjadi sesuatu yang benar-benar saya nantikan setiap tahun. Bagi saya, ia bukan sekadar satu lagi program; ia bagaikan hembusan udara segar yang amat diperlukan.

“Ia adalah peluang yang jarang untuk mengetepikan seketika tuntutan pelayanan yang berterusan, memperlahankan langkah, dan hanya hadir bersama Tuhan, bersama orang lain, dan bersama diri sendiri.

“Bertemu dengan paderi lain dari seluruh negara mengingatkan saya bahawa saya tidak keseorangan dalam perjalanan ini.
”Kisah mereka, kejujuran mereka, perjuangan mereka; semuanya mencabar saya, namun juga menyenangkan hati saya. 

“Ia membantu saya untuk menyesuaikan semula cara berfikir dan menimbang semula  pendekatan saya terhadap pelayanan, terutamanya ketika saya rasa terhimpit atau terlalu letih. ”Apa yang paling saya suka ialah bagaimana program ini mengizinkan saya untuk berehat – untuk ketawa, beristirahat, dan berkongsi makanan dan cerita dengan paderi lain yang benar-benar memahami suka duka pelayanan.”

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Young Priests gather in Melaka-Johor Diocese for YPG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.