Oleh Jawatankuasa Promosi Panggilan Keuskupan Kuching
SRI AMAN — Pada 16 Ogos lalu, Jawatankuasa Promosi Panggilan Keuskupan Agung Kuching menganjurkan ‘Vocation Roadshow 2025’ (Jerayawara Panggilan 2025) di Gereja Our Lady Queen Of Peace di sini sempena hari pesta paroki tersebut.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang jerayawara itu adalah pembukaan kaunter-kaunter oleh Kongregasi Sisters of St Francis of Sarawak (SSFS), Perkumpulan Order of Discalced Carmelites Secular (OCDS), Society of Jesus (Jesuits) dan kepaderian keuskupan.
Seramai 33 orang menyertai ceramah yang dimulakan dengan sesi nyanyian bersama dan diteruskan dengan sesi pengenalan tentang program ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Promosi Panggilan, iaitu Fr Robert Jissem.
Seterusnya, ceramah utama disampaikan oleh Brother Jaclay John dari Kongregasi Jesuits, iaitu tentang ‘Discernment’ atau Muhasabah Diri.
Ianya adalah suatu proses untuk memahami dorongan daripada Roh Kudus bagi menilai situasi dalam membuat pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh seseorang itu dan berusaha mencapai kebebasan batin untuk melayani Tuhan.
Muhasabah diri ialah proses belajar membaca perubahan gerakan dalam hati untuk menentukan mana yang datang daripada Tuhan dan mana yang datang daripada sumber lain.
Menurut Santo Ignatius, pembezaan roh adalah cara Tuhan berkomunikasi secara langsung dengan kita melalui hati, fikiran, jiwa, perasaan, pemikiran dan keinginan.
Namun begitu, tidak semua gerakan batin datang daripada Roh Kudus; sebaliknya ia juga boleh berasal daripada roh-roh negatif yang disebut sebagai “musuh sifat asli kemanusiaan”.
Kesedaran tentang keinginan terdalam itulah yang mendorong kita untuk lebih tekun dalam panggilan hidup, seperti yang tertulis dalam Markus 10:46-52: “Apa yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?”
Antara ciri muhasabah diri yang tulen ialah keterbukaan, keberanian, kemurahan hati, kebebasan batin, tabiat renungan doa terhadap pengalaman diri, serta mempunyai keutamaan yang jelas dan tidak mengelirukan sarana dengan tujuan.
Oleh itu, setiap keputusan haruslah dibawa dalam doa, dengan kesabaran dan keyakinan bahawa Tuhan akan menuntun kita ke arah yang benar.
Sesi diteruskan dengan perkongsian dalam empat kumpulan yang dipimpin oleh Fr Robert, Fr Andre Delimarta SDB, Br Winston dan Sr Rowena.
Setelah selesai, forum soal jawab diadakan bersama lima panel yang mewakili kongregasi masing-masing: Fr Robert (kepaderian keuskupan), OCDS, Sr Rowena (SSFS), Fr Andre (Salesians of Don Bosco) dan Br Winston (Society of Jesus).
Mereka berkongsi kisah panggilan dan kegiatan harian, selain menjawab persoalan daripada para peserta.
Program ini diakhiri dengan Benediction (Exposition of the Blessed Sacrament) yang dipimpin oleh Fr Andre.
Diharapkan agar melalui program seperti ini, lebih ramai umat, terutamanya golongan muda, akan terdorong untuk mendalami dan mendengar panggilan Tuhan dalam hidup mereka, serta berani melangkah ke hadapan dan menjawab panggilan tersebut dengan hati terbuka.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: The Whisper of the Spirit – A Holy Calling for the Young Faithful








,团长(右三),以及小军友们。(图:刘谊恒(Moses)-218x150.png)































