Paroki St Ann siapkan umat sambut kedatangan Kristus

Para AJK Ministri Pembentukan Iman Paroki St Ann. (Gambar: Francis Bin Puni)

Oleh Umat Paroki St Ann

KOTA PADAWAN — Tarikh 22 November 2025 menjadi hari yang penuh makna bagi umat Katolik di sekitar Kota Padawan apabila Ministri Pembentukan Iman Paroki St Ann menganjurkan Rekoleksi Adven untuk membantu umat mempersiapkan diri secara rohani dalam menyambut Musim Adven. Seramai 905 umat mengambil bahagian dalam rekoleksi ini, mencerminkan kerinduan yang mendalam untuk memperkukuhkan iman dan memperbaharui kehidupan rohani menjelang perayaan kelahiran Yesus Kristus.

Program dimulakan dengan Perayaan Ekaristi Kudus pada jam 7:00 pagi. Selepas Misa, para peserta dijamu dengan sarapan pagi yang disediakan oleh Liga Wanita. Suasana seterusnya menjadi lebih meriah dan mesra melalui sesi nyanyian bersama yang dikendalikan oleh Ministri Belia Paroki. Kebersamaan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama umat, malah membantu menyediakan hati dan fikiran para peserta untuk menerima pengisian rohani sepanjang program rekoleksi.

Ceramah pertama telah disampaikan oleh Friar Don Don Romero Rameraz, OFM, yang menjelaskan makna simbolik lilin-lilin Adven. Setiap nyalaan lilin mengajak umat merenungkan perjalanan penantian bagi kehadiran Yesus Kristus. 

Sesi Pertama: Ceramah dari Fr Don Don Romero Rameraz, OFM. (Gambar: Francis Bin Puni)

Lilin ungu pada minggu pertama melambangkan harapan, mengingatkan umat akan janji keselamatan yang telah diwartakan oleh para nabi. 

Minggu Adven kedua pula menekankan kesetiaan dan kasih melalui lilin ungu yang dikenali sebagai Lilin Betlehem. 

Sementara itu, minggu ketiga menyaksikan nyalaan lilin merah jambu sebagai tanda sukacita, selaras dengan khabar gembira yang diwartakan dalam Injil Lukas. 

Pada minggu keempat, lilin ungu sekali lagi dinyalakan sebagai lambang pendamaian, yang mengingatkan umat akan kemuliaan Tuhan sebagai Pemilik seluruh alam semesta.

Selepas sesi rehat singkat, ceramah kedua disampaikan oleh Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM, yang mengajak umat memahami Adven sebagai masa kedatangan dan penantian yang penuh pengharapan. Beliau menegaskan bahawa umat manusia hanyalah penziarah dalam perjalanan iman, dan tempoh empat minggu sebelum Krismas merupakan masa yang sangat berharga untuk mempersiapkan diri, bukan sahaja dari segi rohani, tetapi juga dalam hubungan sesama manusia serta cara menjalankan kehidupan seharian. 

Krismas, menurut beliau, bukan sekadar memperingati kelahiran Yesus, tetapi merupakan satu panggilan kepada pembaharuan hidup agar setiap umat memberi ruang kepada Tuhan untuk berkarya dalam perjalanan iman masing-masing.

Rekoleksi ini turut mengingatkan umat bahawa simbol empat lilin Adven membawa makna kehidupan, penantian dengan penuh kerendahan hati, pertaubatan yang tulus, serta harapan yang mendalam dan sukacita sejati. 

Kasih Tuhan dikurniakan kepada setiap insan tanpa mengira latar belakang, dan kelahiran Yesus membawa kesan yang besar serta berterusan dalam kehidupan umat beriman. 

Rekoleksi Adven ini berakhir pada jam 12:00 tengah hari dengan doa berkat penutupan. Para peserta bersurai dengan hati yang penuh sukacita dan semangat yang diperbaharui. 

Puji Tuhan atas kelancaran penganjuran rekoleksi ini. Semoga setiap peserta memperoleh manfaat rohani dan semakin bersedia menyambut kedatangan Kristus dengan hati terbuka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.