Oleh Friar Nelson Evarinus Sipalan OFM
KUCHING —Dalam dunia sibuk yang semakin bergerak pantas, kesenyapan adalah sesuatu yang radikal dan jarang berlaku. Namun dari 12 hingga 16 Mei 2025, 51 paderi dari Keuskupan Agung Kuching serta Keuskupan Miri dan Keuskupan Sibu memilih untuk jeda seketika – dengan meninggalkan paroki mereka, tanggungjawab mereka, dan kebisingan – untuk mencari sesuatu yang lebih mendalam: suara Tuhan dalam keheningan.
Di Kolej St Peter, mereka telah memasuki Retreat Tahunan Para Paderi di bawah tema yang diambil daripada Roma 12:2: “Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi hendaklah kamu diubah oleh pembaharuan akal budimu…”
Ia lebih daripada sekadar jeda. Ia adalah satu ziarah dalaman. Retreat hati.
Selama lima hari, rentak kehidupan berubah. Doa-doa awal pagi menyelinap ke dalam saat-saat kontemplasi yang tenang. Wajah-wajah yang dikenali – rakan sekerja di ladang anggur – berkongsi makanan bukan hanya sebagai rakan sekerja, tetapi juga sebagai saudara. Tidak perlu tergesa-gesa, tidak perlu ikut jadual, hanya satu kemunculan rahmat yang lemah lembut.
Guru retreat, Friar Mathew Purayidathi OFM Conventual memberikan bimbingan dengan kebijaksanaan dan kelembutan, mengajak ke dalam keheningan, ke dalam Kitab Suci, dan ke dalam diri sendiri. Dan dalam ruang suci itu, para paderi diingatkan tentang siapa mereka – bukan mula-mula sebagai pentadbir atau penyelesai masalah, tetapi sebagai anak-anak yang dikasihi oleh Tuhan.
Salah satu tema utama retreat itu adalah karunia dan misteri kehidupan selibat (membujang). Jauh daripada menjadi satu penafian, kehidupan selibat diterokai sebagai satu pengesahan radikal – jawapan ‘ya’ yang mendalam dan penuh sukacita kepada kasih. Melalui lensa Kitab Suci, khususnya Matius 19 dan 1 Korintus 7, para paderi menyelami pelbagai lapisannya: kenabian, misionari, kerohanian, dan karismatik.
Seperti yang direnungkan oleh seorang paderi, “Kehidupan selibat bukanlah tentang apa yang kita korbankan – ia adalah tentang kepada siapa kita menyerahkan diri. Ia bukanlah satu beban; ia adalah kasih membara yang menggerakkan segalanya yang kita lakukan.”
Dalam dunia yang sering salah faham tentang kepaderian, hari-hari retreat ini menjadi peluang untuk menuntut semula identiti dengan tenang. Kehidupan selibat, mereka diingatkan, bukanlah kekosongan – ia adalah kepenuhan. Ia bukanlah pengasingan yang dingin – ia adalah komuni (kesatuan) yang menyala dengan Kristus dan umat-Nya.
Semakin lama retreat itu berlangsung, satu lagi seruan yang kuat bergema menerusi hati mereka: seruan untuk mewartakan Kristus dan Injil.
Tetapi bukan sekadar dengan kata-kata.
Dengan ilham daripada kehidupan St Francis dari Assisi – yang pernah berkata, “Sampaikanlah Injil pada setiap waktu. Jika perlu, gunakanlah kata-kata” – para paderi dicabar untuk menjadi homili yang hidup.
Setiap Misa, setiap perbuatan daripada kebaikan hati, setiap pengakuan dosa yang didengar atau katil sakit yang dilawat boleh menjadi khutbah yang lebih nyaring daripada sebarang kata-kata.
Seorang paderi mengungkapkannya dengan indah: “Kita bukan hanya penyampai Firman – kita dituntut untuk menjadi Firman, yang ditulis dalam daging dan darah untuk dibaca oleh orang lain.”
Kejujuran yang menyegarkan juga ada sepanjang retreat. Tekanan daripada pelayanan (ministri) boleh memberikan kesan – bukan hanya secara rohani, tetapi juga secara jasmani. Konsep “kerohanian fisio” (physio-spirituality) diperkenalkan sebagai undangan untuk menjaga diri pada keseluruhannya. Tubuh dan jiwa, roh dan kekuatan. Kerana seorang paderi yang letih lesu tidak dapat menuang daripada cawan yang kosong.
Mereka digalakkan untuk kembali kepada asas: rehat, kesenyapan, pengakuan dosa, bimbingan rohani. Seperti taman yang memerlukan tanah baik, jiwa juga perlu diurus dengan lemah lembut dan konsisten. Kelesuan upaya (burnout) adalah nyata – tetapi begitu juga dengan rahmat hidup santai yang memulihkan hidup.
Namun demikian, dalam keheningan sekalipun terdapat sukacita.
Gelak ketawa di sekeliling meja. Perbualan mendalam hingga larut malam. Rasa seakan-akan menemukan semula persaudaraan. Retreat itu bukan sahaja memperbaharui individu – ia menghidupkan semula persaudaraan kepaderian. Dalam satu sama lain, mereka menemukan cerminan kepada sukacita dan kesusahan mereka sendiri, selain kelegaan untuk mengetahui: saya tidak sendirian.
Apabila retreat hampir berakhir, para paderi tidak pulang dengan strategi hebat atau pelan rumit. Mereka pulang dengan sesuatu yang lebih mendalam: hati yang diperbaharui, pengertian yang lebih jelas tentang tujuan, dan api yang tenang untuk terus maju.
Kerana kadang-kadang, pelayanan paling penting bermula bukan dengan tindakan, tetapi dengan keheningan.
Dan daripada keheningan itu, bisikan Tuhan dapat didengar semula: “Pergilah dan berehat seketika.”
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: ‘Come Away and Rest Awhile’: 51 Priests from Kuching, Miri, and Sibu reignite their spirit at Annual Retreat