Perpaduan dalam Tuhan Gayu Guru Gerai Nyamai! Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan!

Misa disambut oleh ketiga-tiga Paderi St Ann Kota Padawan, Fr Don Don Romero Ramerez OFM, Fr Joseph Lee OFM, dan Fr Nelson Evarinus Sipalan OFM. (Gambar: St Ann Media)

Oleh Umat St Ann

KOTA PADAWAN — Setiap hujung bulan Mei dan awal bulan Jun, masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak menyambut dua perayaan yang penuh makna iaitu Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan. Perayaan ini bukan sekadar warisan budaya, malah ia juga menjadi kesempatan bagi umat Katolik untuk memuliakan Tuhan dalam semangat syukur dan perpaduan.

Gereja Katolik St Ann Kota Padawan turut menyambut perayaan ini dengan penuh sukacita melalui Misa Kesyukuran Pra-Gawai Kaamatan yang diadakan pada Sabtu, 24 Mei 2025. Misa ini dipimpin bersama oleh ketiga-tiga paderi paroki iaitu Fr Don Don Romero Ramerez OFM, Fr Joseph Lee OFM, dan Fr Nelson Evarinus Sipalan OFM.

Dalam homilinya, para umat diajak merenung makna rohani yang mendalam melalui kisah sepuluh pesakit kusta yang disembuhkan oleh Yesus. Walaupun semua sepuluh disembuhkan, hanya seorang Samaria yang kembali kepada Yesus untuk mengucapkan terima kasih.

Tindakan pesakit kusta ini menyampaikan mesej penting: iman yang tulus dan kepatuhan kepada perintah Tuhan membuka jalan kepada penyembuhan dan rahmat. Namun lebih daripada itu, hanya rasa syukur yang tulus menjadikan penyembuhan itu lengkap dalam hubungan dengan Tuhan. Rasa syukur bukan sekadar ucapan, tetapi pengakuan dan pemuliaan terhadap kasih Allah yang menyeluruh dan kasih yang merentasi batas bangsa, latar belakang, dan budaya.

Fr Don Don Romero Ramerez OFM dalam renungannya turut menekankan bahawa setiap etnik dan budaya adalah cerminan keindahan ciptaan Tuhan. Pelbagai pakaian tradisional yang dikenakan oleh umat dalam Misa Kesyukuran menjadi lambang kepada kepelbagaian dalam kesatuan. Ibarat pelbagai warna dalam satu kain tenunan, begitulah juga umat Tuhan berbeza, namun bersatu dalam satu tubuh Kristus.

Perayaan ini menjadi wadah untuk menghargai akar budaya masing-masing, sambil mengingat bahawa kita semua disatukan oleh iman kepada Yesus Kristus. Dalam kasih Tuhan, tiada sempadan atau diskriminasi, semua dijemput untuk menikmati anugerah keselamatan dan rahmat-Nya.

Misa Kesyukuran Pra-Gawai Kaamatan ini bukan sahaja menjadi manifestasi penghormatan terhadap tradisi dan budaya, tetapi juga menzahirkan semangat perpaduan dalam komuniti gereja. Ia menjadi ruang di mana umat dari pelbagai latar belakang datang bersama untuk berdoa, merayakan, dan bersyukur, sekaligus memperbaharui komitmen mereka untuk hidup dalam kasih dan keharmonian.

Seperti pesan yang dibawa oleh pesakit kusta dalam Injil, kesyukuran dan iman sejati harus diterjemahkan dalam tindakan. Perpaduan bukan hanya dalam perayaan, tetapi juga dalam kehidupan seharian – dengan saling menghormati, menyokong, dan mengasihi sebagai satu keluarga dalam Tuhan. Selamat Hari Gawai dan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan! Tuhan memberkati kita semua dalam perpaduan dan kasih!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.