Program ‘Outreach’ Sungai Jaong perkukuh iman, semangat pelayanan

KENANGAN… Program ‘outreach’ diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenangan. (Gambar: Christina)

Oleh Fiona anak Raphael

SARATOK — Pada 22 September lepas, satu program ‘outreach’ anjuran Marian Guild St Ignatius berjaya diadakan di Rumah Panjang Sungai Jaong, Ulu Roban, dengan penglibatan ahli ministri, beberapa umat dari Gereja St Ignatius serta komuniti setempat. 

Program ini bertujuan memperkukuh iman, meningkatkan pengetahuan rohani dan pelayanan, serta mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat.

Antara pengisian utama program ialah sesi ‘puji dan sembah’ di mana peserta bersatu menyanyikan lagu rohani dan berdoa sambil memuji dan memuliakan Tuhan. 

Peserta turut disajikan dengan ceramah oleh Pengerusi Marian Guid St Ignatius, Dorris Manjan, mengenai penubuhan ministri Marian Guild yang memberi pemahaman tentang matlamat serta peranan ministri tersebut dalam gereja. 

Selain itu, peserta juga diberi pendedahan tentang pengetahuan asas liturgi, sekali gus menambah ilmu dalam aspek ibadat dan perayaan untuk mengendalikan Misa.

Bagi memupuk semangat kebersamaan, pelbagai aktiviti sukaneka diadakan, yang mendapat sambutan meriah daripada semua lapisan usia. 

Di samping itu, penganjur juga ada mengadakan sesi penyerahan ‘food basket’ kepada keluarga yang kurang berkemampuan di rumah panjang berkenaan. 

Acara diakhiri dengan fellowship yang membolehkan peserta beramah mesra sambil menjalin persahabatan baharu.

Secara keseluruhannya, program ‘outreach’ ke Sungai Jaong bukan sahaja mencapai objektif penganjuran, malah memberi pengalaman bermakna kepada peserta dalam aspek kerohanian dan persaudaraan. 

Program seumpama ini diharap dapat diteruskan agar semangat pelayanan dan iman umat Katolik di sekitar Saratok sentiasa berkembang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.