
Oleh Herry Sabar Anak Gus
TENG BUKAP — Program ‘Christmas Carol by Candlelight’, yang berlangsung di Gereja St Michael, Teng Bukap, pada 20 Disember 2025, telah diadakan dengan penuh kemeriahan dalam suasana kerohanian yang mendalam. Ia menghimpunkan komuniti setempat dalam semangat persiapan untuk menyambut Hari Natal.
Program dimulakan dengan Misa Senja Minggu Adven Ke-4 pada jam 7:00 malam yang memberi ruang kepada umat untuk membuat persiapan rohani sebelum memasuki musim Krismas. Suasana gereja yang diterangi cahaya lilin menambahkan lagi ketenangan serta penghayatan makna kelahiran Yesus Kristus.
Selepas Misa, hadirin diraikan dengan jamuan makan malam sebelum acara rasmi diteruskan. Majlis turut diserikan dengan ucapan perasmian oleh Rektor Gereja St Ann, Friar Don Don Ramerez OFM, yang menekankan kepentingan kebersamaan, kasih dan perpaduan dalam kehidupan beriman.
Acara kemudiannya dimeriahkan dengan persembahan khas daripada belia Zon St Michael, Teng Bukap, diikuti persembahan koir oleh Ministri Belia Katolik (CYM) dari gereja-gereja kampung, yang mempersembahkan lagu-lagu Krismas serta nyanyian rohani. Nyanyian ini bukan sahaja menghiburkan, malah membawa mesej kedamaian dan harapan kepada jemaat yang hadir.
Program diteruskan dengan sesi karaoke lagu Krismas dan lagu rohani, yang menyaksikan pelibatan aktif komuniti dalam suasana santai dan penuh kekeluargaan.
Program berakhir sekitar jam 10:30 malam dengan rasa syukur atas kelancaran penganjuran.
Penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk barisan Jawatankuasa Gereja St Michael, CYM, belia, koir serta seluruh komuniti yang memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program ini.
Program ‘Christmas Carol by Candlelight’ ini diharapkan dapat terus menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan komuniti serta menyemai semangat kasih, damai dan perpaduan sejajar dengan makna sebenar perayaan Krismas.








































