Seminar ‘Kesatuan Ilahi’ perkukuh iman umat St Ann

Penyampaian cenderahati oleh Rektor Fr Don Don bersama Pengerusi PPC, dan Pengerusi Penganjur Seminar kepada Diakon Prof Dr. Sherman Kuek. (Gambar: St Ann Media)

Oleh Umat St Ann

KOTA PADAWAN — Setelah setahun penantian, Jawatankuasa Pembentukan Iman Paroki St Ann menganjurkan seminar bertemakan ’Allah Menebus Dunia Kita’ dengan Sesi Keempat: Kesatuan Ilahi I di Gereja St Ann pada 26 hingga 30 Ogos lalu.

Seminar dimulakan dengan Misa Kudus pada malam Selasa, yang dirayakan oleh Rektor Gereja St Ann, Friar Don Don Romero Ramerez, OFM bersama Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM dan Friar Joseph Lee, OFM. 

Seramai 913 umat hadir untuk mengambil bahagian. Sebelum ceramah dimulakan, umat sama-sama menyertai ’Sing Along’. 

Dalam ceramah pertama, Diakon Prof. Dr Sherman Kuek, OFS mengimbas kembali isi seminar ketiga, iaitu sejarah Israel, sebelum memperkenalkan topik pertama mengenai ’Gereja dalam Perjanjian Terakhir’.  Beliau menekankan empat tanda utama Gereja yang didirikan oleh Yesus, iaitu: Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik.

Pada malam Rabu, sesi kedua dimulakan dengan Misa Kudus. Dalam ceramahnya, Dr Sherman menerangkan mengenai Tahun Liturgi dan Kalendar Liturgi. Beliau menjelaskan bahawa setiap warna liturgikal membawa makna tersendiri, dan umat dipanggil untuk mengamalkan kehidupan yang bersifat liturgikal. Malah, hiasan gereja yang berubah mengikut musim liturgi atau perayaan santo pelindung tertentu juga mempunyai makna mendalam.

Pada hari ketiga seminar, selepas Misa Kudus, Dr Sherman menyampaikan sesi ketiga dengan topik ’Hal-hal Terakhir’. Beliau menegaskan bahawa kehidupan di dunia ini adalah satu perjalanan pengudusan; pilihan harian mempengaruhi masa hadapan kita yang kekal. 

Beliau mengajak umat untuk merenungkan empat hal terakhir dalam hidup manusia: kematian, penghakiman, syurga dan neraka. “Adakah kita benar-benar bersedia menghadapi kematian dan berdiri di hadapan penghakiman Tuhan?” tanya beliau kepada peserta.

Sesi keempat pada Jumaat diteruskan selepas Misa dengan topik ’Pengakuan Iman’. Dr Sherman menegaskan bahawa iman Katolik dinyatakan secara jelas melalui pengakuan iman. Beliau mengutip kata-kata Santo Ambrose: “Pengakuan iman ini adalah meterai rohani, renungan hati kita, dan penjaga yang sentiasa hadir; tidak dapat dinafikan bahawa ia merupakan harta jiwa kita.”

Pada hari terakhir, Sabtu, 30 Ogos, dua sesi ceramah telah disampaikan. Topik kelima membicarakan ‘Sakramen-Sakramen Gereja’. Setelah Misa Pagi, Dr Sherman menerangkan tujuh sakramen Gereja Katolik Yang Suci: Pembaptisan, Penguatan, Ekaristi, Pengakuan Dosa dan Pertaubatan, Pengurapan Orang Sakit, Kepaderian, dan Perkahwinan. Beliau menjelaskan bahawa ketujuh-tujuh sakramen ini dibahagikan kepada tiga kelompok: Sakramen Inisiasi, Sakramen Penyembuhan, dan Sakramen Perkhidmatan.

Dalam sesi keenam, beliau memberikan penjelasan lebih mendalam, khususnya mengenai Sakramen Pembaptisan dan Penguatan. Penerangan ini memperkayakan pemahaman umat tentang makna dan kesan kedua-dua sakramen tersebut. Seminar turut memberi ruang kepada sesi soal jawab bersama hadirin, yang berlangsung dengan penuh keterbukaan.

Pada penutupan seminar, Friar Don Don selaku Paderi Paroki menyampaikan penghargaan setinggi-tingginya kepada Dr Sherman atas sumbangan beliau dalam memperkukuh iman serta meningkatkan kesedaran rohani umat di paroki ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.