Oleh Sumbangan
KOTA PADAWAN — Taklimat kepada semua ketua gerai bagi perayaan Hari Pesta St Ann (SAFD) 2025 telah diadakan dengan jayanya pada 26 Julai lalu di Dewan Paroki St Ann.
Seramai 95 ketua gerai hadir dalam sesi penting ini untuk mendengar penerangan dan penjelasan mengenai pengurusan gerai sepanjang berlangsungnya pesta tersebut.
Taklimat diketuai oleh Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM, selaku paderi Paroki St Ann, yang turut dihadiri oleh Patrick Anyain, Pengerusi Jawatankuasa Induk SAFD 2025.
Dalam ucapannya, Friar Nelson menekankan semangat kesatuan dan pelayanan dalam menganjurkan pesta iman ini.
Beliau mengingatkan bahawa setiap ketua gerai bukan sekadar pengurus jualan, tetapi juga pelayan komuniti yang membawa sukacita dan harapan kepada umat dan pengunjung.
Patrick pula memberi penerangan menyeluruh mengenai garis panduan operasi gerai, termasuk aspek kebersihan, keselamatan, kitar semula dan kepatuhan kepada jadual yang telah ditetapkan.
Cabutan nombor gerai turut diadakan dalam sesi ini bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam penempatan semua gerai.
Suasana semasa cabutan berlangsung dengan penuh keterujaan dan semangat kekitaan.
Taklimat ini menjadi titik permulaan kepada persiapan rapi menjelang Hari Pesta St Ann yang berlangsung pada 27 Julai lalu.
Segala perancangan dan kerjasama ini telah membuahkan satu sambutan yang penuh berkat dan kejayaan demi kemuliaan Tuhan.