Oleh Umat St Ann
KOTA PADAWAN — Dalam semangat kesyukuran dan kasih persaudaraan, komuniti Katolik St Ann Kota Padawan telah bersatu hati menyambut Pesta Gawai Kaamatan 2025 dalam suasana yang penuh meriah, rohani, dan sarat dengan nilai budaya. Sambutan yang berlangsung pada 24 Mei 2025 (Sabtu) ini bukan sahaja meraikan hasil tuaian dan warisan budaya, tetapi juga menzahirkan kesatuan dalam keimanan kepada Tuhan.
Sejurus selepas Misa, acara diteruskan dengan perasmian Kampung Kebudayaan St Ann Kota Padawan. Para tetamu terhormat diiringi dengan tarian tradisional ke Pondok Perasmian, disambut dengan pukulan gong sebanyak tujuh kali selepas simbolik menuai padi. Upacara ini dilengkapi dengan ucapan oleh Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (PPC), En Judas Ligon, dan Rektor St Ann, Fr Don Don Ramero Ramerez, OFM yang menekankan bahawa perayaan ini adalah tanda kesatuan umat dalam keindahan budaya yang dianugerahkan Tuhan.
Kemuncak acara ialah lawatan ke enam rumah kebudayaan yang dihias indah oleh lima zon paroki dan satu rumah khas oleh KDCA (Kadazan Dusun Cultural Association). Antara rumah yang dipamerkan termasuk:
• Rumah Orang Ulu/Melanau (Zon Siburan)
• Rumah Iban (Zon Taman)
• Rumah Biatah (Zon Simpok)
• Rumah Bau (Zon Penrissen)
• Rumah Bidayuh Serian (Zon Teng Bukap)
• Rumah Kadazan dan Dusun Sabah (KDCA)
Setiap rumah bukan sekadar memperagakan keunikan seni bina dan budaya masing-masing, tetapi juga menghidangkan makanan tradisional yang penuh dengan rasa dan membangkitkan rasa syukur atas limpahan rezeki. Ini menjadi bukti bahawa dalam kepelbagaian budaya, umat St Ann tetap bersatu dalam satu semangat: syukur kepada Tuhan.
Acara diteruskan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan nyanyian lagu-lagu rohani dalam bahasa etnik, serta acara kemuncak iaitu Pertandingan Kumang dan Keling. Tahun ini menyaksikan penyertaan istimewa dalam kategori Keling, di mana para lelaki menampilkan keperibadian budaya masing-masing dengan penuh semangat, menambah seri pesta dan menonjolkan keberanian mengekspresikan warisan dalam iman.
Pesta ini dikoordinasikan dengan penuh dedikasi oleh Fr Nelson Evarinus Sipalan OFM bersama Pengerusi Program, Saudara Patrik Anyain, serta seluruh umat paroki yang telah berusaha tanpa jemu – baik secara langsung mahupun di belakang tabir. Kerjasama, semangat pelayanan dan kesatuan umat terserlah dalam setiap aspek penganjuran, dari persiapan rumah kebudayaan hingga ke pentas persembahan.
Dengan iringan berkat Tuhan, Pesta Gawai Kaamatan St. Ann Kota Padawan 2025 bukan sekadar sebuah perayaan budaya, tetapi perayaan iman, kasih dan perpaduan. Ia mengajar kita untuk sentiasa mensyukuri segala yang kita miliki – dari tanah yang subur, keluarga yang penyayang, hingga komuniti yang saling menyokong dalam Kristus.
Gayu Guru Gerai Nyamai! Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan!
Syukur kepada Tuhan atas anugerah hidup, budaya dan iman. Semoga kita terus bersatu dalam kasih dan pelayanan.