Ziarah Agung Harapan

Selamat tinggal, Pulau Pinang! Gambar berkumpulan menutup Ziarah Agung Harapan. (Gambar: Penang Soccom)

Oleh Ivy Chai

PENANG — Ziarah Agung Harapan yang dianjurkan oleh Pejabat Evangelisasi Persekutuan Persidangan Uskup-Uskup Asia (FABC OE) telah diadakan di Light Hotel di sini dari 27-30 November 2025.

Seramai 900 peserta dari 32 negara menghadiri kongres selama empat hari ini, termasuk 10 kardinal, 104 uskup, 155 paderi, 74 rohaniwati, 8 diakon, dan 422 peserta awam. 

Seramai 32 orang daripada pasukan penganjur dan lebih 90 sukarelawan turut terlibat. Pengalaman ini merupakan satu perjalanan rohani yang dipenuhi iman, harapan, muzik, doa dan semangat komuniti.

Berjalan Bersama Sebagai Umat Asia

Ucaptama bertajuk ‘Berjalan Bersama Sebagai Umat Asia’ telah disampaikan pada hari kedua, 28 November, oleh Uskup Agung Simon Poh, Uskup Agung Kuching, Malaysia, yang juga Presiden Persidangan Uskup-Uskup Katolik Malaysia, dan bakal Pengerusi FABC OE. 

Uskup Agung Simon menekankan ‘Dokumen Bangkok FABC 50’ dan merenungkan kepelbagaian budaya di Malaysia: pendatang Cina membawa agama Buddha dari China, masyarakat India memperkenalkan agama Hindu dari India, masyarakat Melayu menerima Islam melalui pedagang Arab, dan kebanyakan masyarakat peribumi di Malaysia Timur adalah penganut Katolik atau Kristian. 

Campuran budaya dan iman ini menggambarkan Malaysia sebagai ‘Asia’ – sebuah negara yang “berjalan bersama demi keharmonian di bumi yang berbilang budaya dan agama”.
Uskup Agung Simon, memetik ‘Eklesia in Asia’, iaitu Seruan Apostolik oleh Paus John Paul II, dan memerhatikan bahawa umat Kristian mula-mula menanam ‘salib’ di Eropah pada milenium atau alaf pertama.

Alaf kedua menyaksikan pengembangan agama Kristian ke Afrika dan benua Amerika.

Pada alaf ketiga sekarang, tumpuan kini diberikan kepada kewujudan Gereja di Asia – sekarang.

Dokumen Bangkok mengisahkan perjalanan orang Majus untuk mencari raja yang baharu lahir di Israel. Perjalanan mereka dari Timur melambangkan Asia. 

Selepas berjumpa Yesus, mereka dipenuhi harapan dan “mereka melalui jalan lain”, yang melambangkan arah baharu bagi misi.

Ziarah Agung Harapan

Kongres ini membawa umat Katolik dari pelbagai komuniti di Asia untuk “berjalan bersama”, melihat dan mengenal pasti apa yang Roh Kudus ingin sampaikan kepada Gereja di Asia, sebuah Asia yang dapat mempersembahkan “pelbagai anugerah kepada Tuhan”. 

Uskup Agung Simon menjelaskan bahawa melalui pendekatan sinodal, iaitu ‘Lihat, Nilai, Bertindak’, kita ‘melihat’ kemunculan trend baharu di Asia sebagaimana dilaporkan dalam ‘Dokumen Bangkok FABC 50 #30-65’. Setiap krisis menimbulkan peluang di samping bahaya.

Melalui dialog antara agama dan dialog lain, kita ‘menilai’ dengan mendengar dan menanggapi (perbualan rohani). Misi kita melalui dialog menurut ‘Redemptoris Missio #55-57’ (1990) ialah untuk mewartakan Injil melalui perbuatan dan kehidupan yang memuliakan Yesus, menjadikan Yesus lebih dikenali, diiktiraf dan dikasihi

Akhirnya, kita ‘bertindak’. Uskup Agung Simon menggariskan 11 perkara sebagai “laluan baharu yang ditunjukkan oleh Roh (Kudus) kepada kita di Asia”.

1. FABC: Perjalanan daripada Dialog kepada Sinodaliti  

‘Sinodaliti’ berasal daripada perkataan Yunani ‘syn’ (bersama) dan ‘hodos’ (jalan/perjalanan). Ia bermaksud ‘berjalan bersama’. Sinodaliti menuntut para uskup, religius dan umat beriman awam untuk berjalan bersama, mendengar, menilai dan maju bersama.

2. Pembudayaan bagi Penginjilan

Gereja harus kekal setia pada Injil sambil berdialog dengan budaya. Melalui pembudayaan, Injil dihayati dalam budaya setempat dan pada masa yang sama memperkenalkan budaya-budaya ini ke dalam komuniti Gereja.

3. Pelayanan Keluarga di Asia

Galakkan keluarga hidup saling hormat menghormati dan harmoni.  Hargai warga emas, sokong perkahwinan antara agama; bantu serap para pelarian dan satukan semula para pendatang; pupuk hubungan bimbingan merentasi  generasi dan memberi perhatian khusus kepada golongan rentan seperti warga emas, mereka yang berusia atau uzur, mereka yang berkabung, sakit,  berkeperluan khas, atau individu dan keluarga yang menghadapi krisis.

4. Agama-Agama Sekeliling

FABC mengaku bahawa umat Katolik Asia yang berbilang budaya dan agama hidup antara satu sama lain sebagai jiran. FABC 50 memperkenalkan istilah ‘Agama-agama Sekeliling’ sebagai perubahan paradigma dalam pendekatan Gereja terhadap agama-agama di Asia.

5. Kesaksian Senyap sebagai Pewartaan di Asia

Di kawasan Asia dengan kebebasan agama terhad, nilai Injil harus dihidupkan melalui tindakan, belas kasih, keadilan dan maruah manusia – iaitu menunjukkan kasih Kristus tanpa pendekatan secara langsung.

6. Menceritakan Kisah Yesus di Asia

Menggunakan penceritaan untuk mewartakan Yesus Kristus. Misi yang bermakna menghidupkan kisah-Nya dengan memupuk komuniti, belas kasih, persahabatan, keharmonian, niat baik, dan harapan.

7. Bisikkan Injil

Di Asia, kita harus belajar bersaksi dan ‘membisikkan’ Injil kepada satu sama lain. Kita harus menjalankan hidup kita berasaskan pengalaman peribadi bersama Yesus. Membisikkan mendekatkan kita kepada orang lain. 

Di Asia, menjadi jiran yang baik mewujudkan ruang untuk membahagikan Injil dengan senyap. Kita digalakkan untuk membentuk persahabatan, menghidupkan nilai-nilai Kristian, dan berkongsi kisah iman kita secara lemah lembut dengan orang di sekeliling kita.

8. Pendidikan, Kesihatan & Pembangunan Insan

Gereja memainkan peranan besar dalam pendidikan di Asia, melalui sekolah, hospital, percetakan, universiti, serta pembentukan hati nurani – dirumuskan sebagai ‘Head, Heart and Hands’ (Kepala, Hati dan Tangan).

9. Penjagaan Kediaman Umum & Kearifan Peribumi

Kerjasama dengan alam ciptaan menuntut kita menjadi pemelihara, bukan penguasa. Masyarakat peribumi telah mengamalkan kehidupan lestari selama berabad-abad. Kita perlu belajar daripada mereka dan mengambil tindakan nyata terhadap perubahan iklim.

10. Seruan bagi Dekad Penginjilan (2023-2033)

Menjelang 2033, ulang tahun 2,000 tahun bagi Kematian dan Kebangkitan Yesus serta kelahiran Gereja, kita bertanya: apakah hadiah kita kepada Tuhan? Masih ada lapan tahun lagi untuk bersedia menyambut peristiwa besar ini.

11. ASIA – Bumi Golongan Muda

Enam puluh peratus golongan muda dunia tinggal di Asia. Namun, kadar kelahiran menurun. Golongan muda menghadapi pengangguran, ketidaksamaan dan akses pendidikan serta kesihatan yang tidak sekata.

Migrasi desa-ke-bandar dan perubahan iklim memburukkan lagi keadaan bagi komuniti rentan. Dalam konteks ini, pendirian Gereja yang pro-kehidupan juga merangkumi sokongan kepada keluarga, perkahwinan dan kanak-kanak.

“Anda Adalah ‘Masa Kini’ Tuhan” 

Menurut ‘Dokumen Bangkok FABC 50 #71’, Misi Baharu di Asia termasuk:

– mengiringi pendatang, pelarian dan komuniti peribumi;

– memusatkan perhatian pada kesejahteraan keluarga;

– meluaskan peluang kepimpinan kepada wanita dalam Gereja;

– menangani isu berkaitan jantina;

– menyokong pelayanan belia;

– penggunaan teknologi digital yang berkesan;

– mempromosikan ekonomi yang inklusif;

– menjaga alam sekitar; dan

– membina jambatan dialog dan perdamaian.

Uskup Agung Simon mengakhiri ucaptamanya dengan petikan berikut:

Evangelii Gaudium n.49 (Paus Francis):

“Aku lebih menginginkan Gereja yang lebam, terluka dan kotor kerana ia telah keluar ke jalanan, bukannya Gereja yang tidak sihat kerana terkurung dan kerana berpaut pada keselamatannya sendiri…

“Saya tidak menginginkan Gereja yang hanya mahu berada di tengah-tengah, dan kemudian berakhir dengan terjerumus dalam jaringan ketaksuban dan prosedur.”  

Evangelii Nuntiandi #22 (1975):

“Pewartaan tulen tidak ada jika nama, ajaran, kehidupan, janji, kerajaan dan misteri Yesus dari Nazaret, Putera Allah, tidak diwartakan.”

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: The Great Pilgrimage of Hope

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.