Penubuhan UNIFOR Bukti Kerajaan Sarawak Pastikan Keterangkuman Sosial Tanpa Kira Kaum & Agama

LIMBANG — Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak sejak tahun 2017 membuktikan Kerajaan Sarawak sangat serius dan komited untuk memastikan impian keterangkuman sosial, perpaduan dan kebajikan rakyat Sarawak tercapai tanpa mengira kaum dan agama.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, UNIFOR telah memberi dana bantuan sebanyak RM475 juta kepada rumah ibadat agama-agama lain di Sarawak, termasuk Buddha, Kristian, Tao, Baha’i, Sikh dan Hindu berasaskan prinsip inklusiviti sosial.

Menurutnya, projek-projek ini termasuk projek bina baru, baik pulih, ubah suai, penyelenggaraan, dan/atau pembelian alat kelengkapan serta alat-alat keagamaan untuk rumah ibadat agama-agama lain.

“Selain itu, bantuan dana UNIFOR berjumlah RM90 juta juga diberikan kepada sekolah-sekolah mubaligh di Sarawak sejak tahun 2021. Maksudnya, RM565 juta telah diperuntukkan kepada UNIFOR oleh kerajaan Sarawak.

“Bantuan kewangan untuk rumah ibadat agama-agama lain dan sekolah mubaligh mencerminkan dedikasi Kerajaan Sarawak dalam mempromosikan keterangkuman sosial serta memastikan bangunan mereka berada dalam keadaan yang selesa dan selamat untuk digunakan promosi keterangkuman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di sini pada Rabu.

Premier Sarawak menambah, mlai tahun ini, UNIFOR telah berganding bahu dengan Juruukur Bahan dari Jabatan Kerja Raya Sarawak untuk memperkukuhkan kepakaran teknikal UNIFOR dalam penilaian permohonan geran.

Katanya, ini khususnya dalam pengesahan jumlah geran yang diminta berbanding skop kerja projek yang dicadangkan.

“Inisiatif ini memastikan bahawa jumlah permohonan adalah telus, munasabah dan selaras dengan keperluan sebenar rumah ibadat,” jelasnya.

Majlis yang disambut secara tahunan ini turut dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Ke-17) Peringkat Sarawak Tahun 2025, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau serta tetamu yang lain.

UKAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.