Misa Krisma: Paderi perlukan doa untuk jadi gembala baik dan hamba setia Tuhan

SATU… Uskup Agung Simon Poh (tengah, barisan hadapan) bersama para paderi selepas Misa Krisma, 17 Mac 2026. (Gambar: SJC Media)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Keuskupan Agung Kuching mengadakan Misa Krisma tahunannya lebih awal pada tahun ini, iaitu pada 17 Mac, untuk diselaraskan dengan rekoleksi para paderi dan pelancaran Ulang Tahun ke-50 Keuskupan Agung Katolik di Malaysia Timur pada 18 Mac.

Misa Krisma itu, yang secara tradisi dirayakan oleh uskup bersama para paderi di seluruh keuskupannya, telah diadakan di Katedral St Joseph, Kuching.

Dalam homili beliau, Uskup Agung Simon Poh menyeru “semua umat Katolik untuk mendoakan saya dan para paderi supaya kami menjadi gembala yang baik dan hamba Tuhan yang setia dalam melayani anda semua”. 

Beliau berkata, “Para paderi telah diberikan tugasan suci untuk melaksanakan sakramen, membaptis, menguatkan, memberikan Komuni Kudus, melepaskan dosa, memberkati perkahwinan, mengurapi orang sakit, dan juga mengebumikan orang mati.”

Komitmen Kepada Pelayanan Kepaderian dan Pemberkatan Minyak Suci

Pembaharuan Janji Kepaderian diadakan selepas homili Uskup Agung Simon. 

Pemberkatan Minyak Suci dilaksanakan mengikut turutan, dengan Minyak Orang Sakit diberkati pada akhir Doa Ekaristi, sebelum Doksologi. 

Pemberkatan Minyak Katekumen dan pengudusan Minyak Krisma pula dilakukan setelah doa selepas Komuni. 

Semua paderi yang turut merayakan Misa dijemput menghulurkan tangan kanan mereka ke arah Minyak Krisma semasa doa pengudusan.

Uskup Agung Simon menjelaskan sebab pemberkatan Minyak Suci dilakukan pada bahagian-bahagian tertentu dalam Misa. 

Pemberkatan Minyak Orang Sakit pada akhir Doa Ekaristi “merupakan satu undangan kepada semua yang sakit dan menderita agar kita datang untuk mengambil bahagian dalam penderitaan Kristus. Dia bersama kita dalam kesakitan dan penderitaan kita”. 

Minyak Orang Sakit membawa penyembuhan rohani, mental dan kadang-kala juga jasmani atau fizikal.

Pemberkatan Minyak Katekumen dan pengudusan Minyak Krisma dilakukan selepas doa Komuni kerana pada waktu itu, umat diutuskan untuk menjalankan misi. 

Minyak bagi para katekumen menguatkan kita, manakala Minyak Krisma melengkapkan kita dengan karunia Roh Kudus untuk karya Tuhan.

Penghargaan Kepada Para Paderi

Uskup Agung Simon menyatakan harapan beliau agar minyak-minyak yang dibawa pulang oleh para rektor paroki akan sampai ke semua kampung, termasuk kampung terpencil … hingga ke hujung sempadan Keuskupan Agung Kuching. 

“Kita adalah umat yang dipilih oleh Tuhan, umat yang dikuduskan. Kita diutus.”

Beliau mengucapkan terima kasih kepada para paderi, khususnya atas komitmen mereka terhadap “panggilan orang sakit”, kerana mereka sentiasa bersedia untuk mengurapi orang sakit, serta berjanji untuk meneruskan usaha agar tiada sesiapa meninggal dunia sebelum menerima sakramen.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Chrism Mass: Priests need prayers to be good pastors and faithful servants of the Lord

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.