
Oleh Ivy Chai
KUCHING — Presbiterium Keuskupan Agung Kuching menyambut seorang paderi baharu, Fr Casimir Henrry Anak Umar, selepas Misa Pentahbisan beliau pada 1 September 2025 di Katedral St Joseph.
Pentahbisan beliau sebagai diakon telah diadakan di Gereja St Stephen, Bau, pada 19 Januari tahun ini.
Dilahirkan pada 2 April 1983 kepada mendiang Benedict Umar Anak Ngoyiang dan Mary Jitim Anak Nyayoh, Fr Casimir Henrry adalah anak kesembilan daripada 10 adik-beradik.
Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan, dan sudah bersiap sedia untuk hari ini sejak 2015, selepas beliau menyertai seminari untuk Tahun Inisiasi di Kota Kinabalu, Sabah.
Misa Pentahbisan Kepaderian ini dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama Uskup Agung Emeritus Peter Chung dan Uskup Agung Emeritus John Ha, Msgr William Sabang serta para paderi dari Keuskupan Agung Kuching, selain para paderi pelawat yang datang dari tempat lain di Malaysia untuk menyertai perayaan ini.
Katedral penuh sesak dengan jemaat tempatan, termasuk komuniti kampung Fr Casimir Henrry dari Bau, dan enam orang adik-beradiknya yang masih hidup. Misa itu juga distrimkan secara langsung.
Setelah Penumpangan Tangan dan Doa Pentahbisan, paderi yang baru ditahbis dibantu oleh Fr Adrian Kho untuk memakai stola dan ‘chasuble’ (kasu bela atau jubah kecil).
Fr Casimir kemudian berlutut di hadapan Uskup Agung Simon Poh yang mengurapi tangannya dengan minyak Krisma Suci sambil berkata: “Tuhan Yesus Kristus, yang diurapi oleh Bapa dengan Roh Kudus dan kuasa, menjaga dan memelihara kamu, agar kamu dapat menguduskan umat Kristian dan mempersembahkan korban kepada Tuhan.”
Uskup Agung Simon kemudian meletakkan paten dan piala ke dalam tangan paderi yang baru ditahbis, sebelum beliau berdiri dan memberikan ciuman kedamaian tanda persaudaraan, diikuti oleh semua paderi yang hadir.
Panggilan Daripada Gembala Baik Sendiri
Dalam ucapan beliau, Uskup Agung Simon mengucapkan terima kasih kepada Tuhan atas “anugerah seorang paderi baharu”, dan menggambarkan kepaderian Fr Casimir Henrry yang baru ditahbis sebagai “panggilan daripada Gembala Baik sendiri”.
Beliau mengingatkan paderi yang baru ditahbis itu untuk “sentiasa ingat bahawa panggilan kepaderian tidak pernah tentang diri kita. Panggilan kepaderian ini adalah undangan untuk menawarkan diri kita sepenuhnya dan dengan sepenuh hati untuk melayani Yesus dalam umat-Nya”.
Uskup Agung Simon memberi penghormatan kepada mendiang ibu bapa Fr Casimir Henrry atas “anugerah seorang paderi kepada Keuskupan Agung Kuching”.
Uskup Agung kemudian memberikan Sijil Pentahbisan dan kunci sebuah kereta, yang ditaja oleh Paroki St Stephen, Bau, kepada Fr Casimir, diikuti dengan hadiah kepada adik-beradik Fr Casimir.
Ucapan oleh Fr Casimir Henrry Umar
Fr Casimir Henrry memulakan ucapan beliau dengan berkata, “Ia adalah melalui rahmat dan kasih setia Tuhan yang berterusan bahawa kita dapat merayakan kesempatan ini bersama pada hari ini.”
Ia adalah hari yang penuh “rasa syukur dan sukacita yang mendalam – hari yang menandakan satu pencapaian dalam perjalanan rohani saya. Saya merasa terharu dengan panggilan-Nya”.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Uskup Agung, pengajar seminari, para paderi, religius, Tuhan dan semua orang dalam hidupnya atas kehadiran, kasih dan sokongan mereka, paderi baharu itu berdoa agar beliau dapat “melayani dengan hati yang penuh kasih, kerendahan hati dan semangat bagi Injil”.
Pada akhir Misa, Uskup Agung Simon Poh menjemput kedua-dua Uskup Agung Emeritus untuk sama-sama memberkati paderi yang baru ditahbis, dan jemaat.
Fr Casimir Henrry Umar kini melayan di Gereja Holy Spirit, Lundu, sebagai paderi pembantu kepada rektor, Fr Adrian Kho.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Archdiocese of Kuching welcomes the Gift of a new Priest








,团长(右三),以及小军友们。(图:刘谊恒(Moses)-218x150.png)































