
Oleh Ivy Chai
KUCHING — Perasmian Gereja St Peter yang baharu di Padungan telah berlangsung pada 28 Jun 2025.
Ia adalah acara pertama dalam sambutan selama seminggu bagi merayakan pemberkatan Gereja St Peter dalam Misa Kudus pada 29 Jun.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Uskup Agung Dato Simon Poh, disaksikan oleh para kenamaan kerajaan, pemimpin agama, para dermawan dan umat paroki.
Pengarah Perbena Emas, Encik James Ling, iaitu kontraktor utama bagi projek bangunan tersebut, menyerahkan Sijil Siap Kerja kepada Uskup Agung Simon sebagai tanda meraikan siapnya pembinaan gereja bernilai RM38 juta itu.
Majlis diteruskan dengan acara pemotongan reben bagi merasmikan pembukaan gereja baharu tersebut.
Rektor paroki, Fr Vincent Chin, kemudian membuka pintu gereja dan mengiringi para kenamaan serta tetamu jemputan masuk ke dalam gereja yang dibina dalam gaya neo-gothik klasik.
Rumah Ibadat Ikonik
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, membacakan mesej beliau yang menggambarkan Gereja St Peter sebagai “mercu tanda yang menonjol dan membanggakan di tengah-tengah bandar raya Kuching yang indah”, sebuah “rumah ibadat ikonik” serta “simbol wawasan, ketabahan dan iman yang mendalam”.
Uggah kemudian menyampaikan cek bernilai RM1 juta daripada kerajaan Sarawak (menjadikan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM3 juta) melalui UNIFOR untuk tabung pembangunan gereja tersebut.

Gereja Ziarah
Uskup Agung Simon mengakui beliau berasa “teruja kerana Gereja Katolik St Peter yang baharu kini berdiri megah di tengah-tengah bandar raya Kuching, satu bukti kebanggaan yang benar-benar mengukuhkan tradisi seni bina Gereja”.
Gereja ini telah diiktiraf sebagai Gereja Ziarah sempena Tahun Jubli Harapan 2025.
Para penziarah dan pengunjung bebas memasuki pintu gereja, yang sentiasa terbuka, untuk berdoa dan merenung, mengalami kerahiman Tuhan serta merasai harapan, sukacita, kedamaian dan kasih.
Gereja ini mengambil masa lima tahun untuk disiapkan, dan terletak secara strategik di antara mercu tanda keagamaan utama di Kuching.
Sebanyak sejuta keping kaca berwarna telah dipasang dengan teliti untuk membuat panel dan tingkap kaca, yang menceritakan kisah harapan serta kehidupan Tuhan kita, Yesus Kristus.
Mengukuhkan Tradisi, Menerima Perubahan
Sebuah buku meja kopi bertajuk ‘‘Anchoring Tradition, Embracing Change’ telah dilancarkan bagi memperingati pemberkatan gereja tersebut.

Buku ini menceritakan tentang sejarah Gereja St Peter, sebagai bukti keteguhan iman dan ketabahan yang tidak pernah luntur.
Daripada permulaan yang sederhana pada 1937 di bawah pimpinan Msgr Aloysius Hopfgartner, hinggalah kepada era kebangkitan semula di bawah pimpinan Fr Vincent Chin, gereja ini terus berkembang untuk memenuhi keperluan rohani para umatnya.
Menurut Fr Vincent, “Reka bentuk tempat suci ini dipandu oleh prinsip mengukuhkan tradisi dan menerima perubahan.”
Beliau mengaitkannya dengan cadangan Uskup Emeritus John Ha bagi sebuah “gereja bergaya gothik tradisional, simbol warisan Katolik yang abadi”.
Ini akan memberikan keseimbangan yang “berakar pada masa lalu, terbuka kepada masa depan”.
Mengenang kembali gereja baharu tersebut, Fr Vincent berkata ia sarat dengan sejarah, bermula dengan altar chapel harian yang pertama kali digunakan semasa pemberkatan Gereja St Peter pada 1949.
Beliau menyifatkan gereja ini sebagai seni bina neo-gothik dalam reka bentuk gereja kontemporari, dan juga menggambarkannya sebagai “gereja yang benar-benar dibina di Sarawak”.
Beliau berkata “Tuhan, yang telah memberkati kita melalui projek ini, terus memberkati kita ketika kita melangkah maju sebagai Penziarah Harapan.”
Uskup Agung Dato Simon Poh mengucapkan terima kasih kepada semua atas kehadiran dan sumbangan mereka, dan berkata, “Segala yang kita lakukan bukan untuk diri kita sendiri,” dan memetik Efesus 3:19-21, yang menekankan kasih Kristus yang tidak terjangkau akal, kuasa Tuhan yang tidak bersempadan, dan kemuliaan abadi yang diberikan kepada Tuhan.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Official Opening of new St Peter’s Church: Anchoring Tradition, Embracing Change