Uskup Agung lantik 403 pemimpin umat Bidayuh dan Iban

TIDAK CELA… Uskup Agung Simon menyampaikan homili beliau tentang ciri seorang pimpin Katolik berdasarkan 1 Timotius 3:2-4.

KUCHING — Pada pagi 17 Januari 2026, Uskup Agung Simon Poh telah melantik dan mengutuskan 403 umat di Paroki St Theresa untuk menjadi pemimpin umat di gereja kampung masing-masing. 

Mereka ini terdiri daripada masyarakat Iban dan Bidayuh. Tempoh perkhidmatan mereka ialah selama tiga tahun. 

Di dalam homilinya, uskup agung ada menyentuh tentang ciri-ciri seorang pemimpin umat berpandukan kepada nasihat Rasul Paulus kepada Timotius, iaitu seorang pemimpin umat “haruslah tidak bercela. Dia harus beristeri seorang sahaja, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dihormati, meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dan berkebolehan mengajar. Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang. Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya supaya bersikap taat dan hormat” (1 Timotius 3: 2-4).

Selain daripada itu, uskup agung juga mengucapkan syabas kepada semua pemimpin umat yang hadir kerana sudi menyahut panggilan Tuhan untuk menjadi pemimpin umat  serta rela meluangkan masa, tenaga dan bakat mereka untuk melayani Tuhan di ladang-Nya. 

Uskup agung juga berterima kasih di atas sumbangan mereka untuk menjaga kerohanian umat di tempat masing-masing. 

Beliau mengingatkan mereka bahawa mereka hanyalah membantu paderi dan bukannya mengambil alih tugas paderi.

Sebelum pelantikan dan pengutusan, semua pemimpin umat diwajibkan untuk menghadiri sesi ceramah selama setengah hari. 

Ia terbahagi kepada dua, iaitu dalam bahasa Bidayuh Serian dan bahasa Iban. 

Ia sengaja dilakukan untuk memudahkan pihak paroki menangani isu-isu tertentu dalam kedua-dua kumpulan etnik tersebut. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.