Warga emas dihargai, harapan baharu disemai

Barisan tetamu kehormat bersama Uskup Agung Simon Poh (tengah), rektor Gereja St Ann, paderi dan ahli jawatankuasa SAFD. (Gambar: Media St Ann)

Oleh Umat St Ann

KOTA PADAWAN — Dalam semangat iman yang penuh kasih dan kesetiaan, Gereja St Ann telah memulakan sambutan Pesta Santa Anna (SAFD) dengan doa Novena selama sembilan hari, bermula pada 17 hingga 25 Julai. 

Novena, sebuah tradisi Katolik yang diwarisi turun-temurun, melambangkan ketekunan dalam doa dan pengharapan dalam hati umat. 

Ia menjadi ruang suci bagi umat untuk bersatu memohon perantaraan Santa Anna, ibu kepada Perawan Maria dan nenek kepada Yesus.

Setiap hari, doa Novena disusuli dengan perayaan Misa Kudus, untuk mempersembahkan niat khusus dan baik bagi keperluan peribadi mahupun kesejahteraan komuniti. 

Novena ini bukan sahaja memperdalam hubungan rohani umat dengan Tuhan, tetapi juga mempersiapkan hati dalam menyambut kemuncak perayaan yang penuh makna.

Misa Tridium:  Kesetiaan dan Perayaan Iman

Tridium, yang bermula pada 23 Julai, menjadi pelengkap rohani kepada doa Novena. 

Tiga malam berturut-turut disemarakkan dengan Misa Kudus, Adorasi Sakramen Maha Kudus, dan pelbagai bentuk penyembahan yang memperkukuh kesatuan komuniti.

Dalam Misa pertama yang dipimpin oleh Friar Joseph Lee, OFM, umat diajak merenung bahawa cabaran dunia moden – kesibukan dan kekeliruan hidup – boleh menjadi batu penghalang untuk mendengar suara hati dan suara Tuhan. 

Iman yang tidak disiram akan kering, seperti benih di tanah berbatu.

Misa Tridium kedua pada 24 Julai disertai dengan perarakan penuh semangat sambil membawa patung Santa Anna, diiringi setiap ministri dan zon gereja. 

Sepanduk yang diusung melambangkan kesatuan dan komitmen setiap bahagian dalam komuniti terhadap iman mereka.

Pada 25 Julai, Tridium terakhir disambut dengan penuh semarak – Novena, Misa Kudus, serta pembukaan rasmi Jualan SAFD dan Konsert Rohani. 

Perarakan Patung Santa Anna bersama setiap minitri dan zon.

Patung Santa Anna diarak dengan penuh kemuliaan, sementara belon helium dilepaskan oleh Rektor, Friar Don Don Romero Ramirez, OFM sebagai simbol pengharapan yang dinaikkan ke langit. 

Persembahan muzik rohani oleh JC1, yang diketuai saudara Dominic Charles, menyemarakkan suasana pujian.

Dalam ketiga-tiga Misa berkenaan, para Pelayan Bukan Lazim dan Ketua Sembahyang memperbaharui ikrar mereka. 

Rektor turut mengingatkan para pelayan Tuhan agar melayani dengan kesungguhan, penuh keikhlasan dan kesedaran akan tanggungjawab yang diamanahkan.

Hari Perayaan St Ann: Menghargai Warisan Iman

Kemuncak perayaan jatuh pada 26 Julai – hari pesta rasmi Santa Anna. 

Misa Agung yang dirayakan dengan penuh khidmat menjadi nadi utama sambutan, apabila umat diajak meneladani kesalehan, ketabahan dan kebijaksanaan Santa Anna.

Selesai Misa, suasana gereja bertukar menjadi pesta riang penuh warna-warni – gerai makanan, pertandingan bercerita Al-Kitab untuk kanak-kanak, pertandingan koir, serta pelbagai persembahan seni dan budaya yang mencerminkan kepelbagaian dan kekayaan warisan komuniti Katolik tempatan. 

Sebanyak 95 gerai dibuka oleh ministri dan kampung-kampung, memperlihatkan semangat muhibah yang tinggi.

Persembahan nyanyian malam turut menampilkan Friar David Au, OFM, yang menyemarakkan lagi malam penuh sukacita ini dengan iringan muzik dan pujian kepada Tuhan.

Misa Kesyukuran: Penutup yang Penuh Berkat

Persembahan Tarian Bidayuh sebelum Misa Kesyukuran.

Pada 27 Julai lalu, sambutan mencapai kemuncaknya dengan Misa Kesyukuran yang dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama para paderi St Ann, iaitu Friar Don Don, Friar Joseph, Friar Nelson Evarius OFM, Friar David dan Fr Lucas Ng. 

Misa ini menjadi saat suci di mana 294 Ketua Sembahyang memperbaharui ikrar pelayanan mereka, di samping pelantikan para pemimpin baharu. 

Dalam homilinya, Uskup Agung menekankan betapa berharganya kebijaksanaan dan pengalaman warga emas. 

Beliau berkongsi kenangan perjalanan panjang Gereja St Ann, bermula daripada St Ann Mission di atas bukit ke kawasan seperti Teng Bukap dan Kampung Timurang.

Beliau mengingatkan kita akan pesanan yang dikaitkan dengan semangat ajaran Paus  Leo XIV:
“Marilah kita memandang datuk nenek dan warga emas sebagai saksi harapan, yang mampu menerangi jalan bagi generasi baharu. Janganlah kita membiarkan mereka bersendirian, sebaliknya sertailah mereka dalam satu perjanjian kasih dan doa.”

Misa ini juga disusuli dengan perarakan para tetamu terhormat yang diiringi oleh penari tradisional untuk melawat gerai dan replika gereja daripada setiap zon. 

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada individu yang telah menyumbang dalam pembangunan gereja. 

Perjalanan Iman yang Hidup 

Pesta Santa Anna dan Santo Yoakim bukan sekadar perayaan tradisi, tetapi merupakan suatu perjalanan iman yang mendalam dan penuh kasih, kesatuan dan pengorbanan. 

Daripada doa pertama Novena hingga kepada pemberkatan terakhir dalam Misa Kesyukuran, semuanya menjadi persembahan yang indah kepada Tuhan Maha Kudus.

Segala usaha penganjuran yang diterajui oleh Friar Nelson bersama pasukan AJK SAFD dan pelibatan seluruh umat paroki – secara langsung mahupun tidak langsung – telah menyumbang kepada kejayaan rohani dan jasmani perayaan ini. 

Gereja Katolik St Ann terus menjadi lambang kekuatan iman, kesatuan komuniti, dan warisan rohani yang berakar kukuh dalam kasih Tuhan. 

Puji dan syukur kepada Tuhan. Santa Anna, doakanlah kami.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.