Lawatan musim Lent ke rumah Friends-In-Need

Lawatan Rumah FIN Pertama (9 Mac 2025)

Oleh Julia Shim

KUCHING — Setiap tahun, musim Lent memberi peringatan kepada umat beriman untuk merenung, bertaubat, berdoa, berpuasa dan bersedekah, dan dengan berbuat demikian, membantu memperdalam kerohanian dan iman mereka. 

Persatuan St Vincent de Paul, Majlis St Joseph (SSVP SJC), melalui program musim Lent tahunan mereka, berharap untuk membawa pengalaman bersama Tuhan yang menderita kepada para peserta.

Seperti pada tahun-tahun lepas, SSVP SJC menganjurkan lawatan ke rumah golongan yang mereka panggil Friends-In-Need (FIN). Selain itu, program pada tahun ini juga termasuk lawatan ke Rumah Cheshire bagi golongan kurang upaya, yang akan dilaporkan secara berasingan.

Pada tahun ini, tiga lawatan ke rumah FIN dianjurkan pada 9, 16 dan 23 Mac lalu.

Melalui kerjasama dengan pemimpin dan fasilitator Upacara Inisiasi Kristian bagi Orang Dewasa (RCIA) Paroki St Joseph, seramai 40 katekumen dan enam fasilitator, bersama beberapa umat, ahli keluarga dan rakan mereka, menyertai tiga lawatan tersebut ke lapan rumah FIN di Singai, Bau dan sekitar Kuching, yang diketuai oleh ahli SSVP SJC. 

FIN yang dilawati terdiri daripada warga emas yang tidak ditanggung secukupnya oleh ahli keluarga mereka, ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk menyara seluruh keluarga, dan keluarga yang mempunyai ahli yang menghidap sindrom Down atau keadaan kesihatan lain yang melemahkan.

Semasa lawatan itu, peserta membawa hadiah yang diperoleh daripada limpah kurnia Tuhan dalam bentuk barangan makanan, wang tunai dan bantuan isi rumah dan peribadi, untuk dikongsikan dengan saudara-saudari seiman yang kurang bernasib baik. 

Lebih penting lagi, mereka membawa kemesraan dan kasih Tuhan kepada FIN dan keluarga mereka. Semoga pemberian ini memberikan kelegaan jasmani dan emosi kepada penerima, walaupun seketika.

Peserta dapat melihat sendiri keadaan hidup FIN, dan mendengar kisah mereka sendiri tentang cabaran harian yang mereka hadapi. Pertemuan ini juga mengingatkan mereka untuk bersyukur atas keberkatan yang mereka sendiri alami melalui rahmat dan belas kasihan Tuhan. 

Dalam proses itu, beberapa peserta seterusnya menawarkan bakat profesional mereka untuk membuat susulan selepas lawatan itu dan membantu menyelesaikan beberapa kesukaran yang lebih mendesak bagi salah seorang FIN. 

Malangnya, salah seorang FIN di Singai, Bau, yang mereka lawati, meninggal dunia seminggu selepas lawatan mereka. Semoga rohnya tenang.

SSVP SJC ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan pemudah cara RCIA dan katekumen, anggota paroki dan rakan yang mengambil bahagian atas sokongan mereka yang tidak ternilai untuk menjadikan lawatan ini satu pengalaman musim Lent yang bermakna bagi semua mereka.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Lenten 2025 Visits with Society of St Vincent de Paul, St Joseph Conference’s Friends-In-Need (FIN)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.