
Oleh Umat St Ann
PADAWAN — Jawatankuasa Pembentukan Iman Gereja Katolik Santa Anna, Kota Padawan, telah menganjurkan Retreat Pemulihan Keluarga 2026 pada 23 hingga 27 Jun di gerejanya.
Seminar ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 762 orang peserta dari pelbagai zon dan paroki.
Retreat ini dimulakan dengan Misa Karismatik yang dipimpin oleh Rektor, Friar Don Don Romero Ramerez, OFM, bersama Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM dan Friar Patrisius, CSE.
Dalam homili pembukaan, para peserta diajak untuk membuka hati kepada karya Roh Kudus agar mengalami pemulihan, pembebasan dan perdamaian bersama Tuhan.
Sesi pertama bertajuk ’Kuasa Doa’ menekankan bahawa doa merupakan satu hubungan peribadi dengan Tuhan. Para peserta dibimbing memahami bahawa penyembuhan rohani bermula apabila seseorang membina komunikasi dua hala dengan Tuhan.
Dalam doa, Roh Kudus menjadi sumber kekuatan dan pembimbing. Peserta turut diingatkan supaya tidak hanya datang kepada Tuhan dengan pelbagai permintaan, tetapi memberi ruang untuk mendengar suara-Nya dan membiarkan Tuhan berbicara kepada hati mereka.
Sesi kedua yang bertajuk ‘Dimensi Sosial Dosa’ memberi penjelasan mengenai bagaimana hubungan positif dan negatif memberi kesan kepada kehidupan seseorang. Hubungan yang sihat mampu membentuk perkembangan rohani, emosi dan sosial, manakala hubungan yang negatif boleh membawa kepada penderitaan, ikatan emosi dan kerosakan dalam kehidupan individu serta keluarga.
Dalam sesi ini juga dijelaskan bahawa dosa ialah perbuatan, pemikiran, perkataan atau kelalaian yang dilakukan dengan sengaja sehingga melawan hukum Tuhan serta menolak kasih dan rahmat-Nya.
Penceramah turut menerangkan bahawa ikatan dosa bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah meninggalkan impak sosial dan psikologi yang boleh diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Sepanjang seminar, para peserta turut mengikuti sesi-sesi lain seperti ’Mematahkan Ikatan’, ’Menghadapi Kuasa Kegelapan’, ’Membuat Genogram’, ’Doa Pembebasan’ dan ‘Kedamaian Arwah’, serta ’Kebebasan dan Tanggungjawab’.
Setiap sesi disampaikan dengan pengajaran Kitab Suci, doa penyembuhan, adorasi, pujian dan penyembahan serta perkongsian iman yang membantu peserta mengenali akar permasalahan dalam keluarga dan mengalami kasih penyembuhan Kristus.
Antara isu yang turut disentuh ialah persoalan keguguran, yang dijelaskan daripada perspektif iman Katolik dengan penuh belas kasihan, menyeru umat agar memahami nilai kehidupan, mengalami penyembuhan batin serta menerima pengampunan dan belas kasihan Tuhan.
Retreat diakhiri dengan Misa Penutupan Karismatik yang berlangsung dalam suasana penuh syukur dan sukacita.
Selepas doa kesyukuran, majlis diteruskan dengan penyampaian token penghargaan kepada semua penceramah sebagai tanda penghargaan atas pelayanan mereka sepanjang seminar.
Penyampaian disempurnakan oleh Friar Don Don, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (PPC), Judas Ligon, dan Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pembentukan Iman, Rosemary.
Penghargaan turut diberikan kepada tiga komuniti religius yang telah menghantar wakil penceramah, iaitu Carmelitae Sancti Eliea, Bandol; Putri Karmel Komuniti Bengkayang, Kalimantan Barat: dan Kongregasi Putri Karmel, Sibu.
Majlis diakhiri dengan makan tengah hari bersama yang mengeratkan lagi persaudaraan dalam kalangan umat.
Retreat Pemulihan Keluarga 2026 berjaya mencapai objektifnya untuk membantu umat memperbaharui hubungan dengan Tuhan, mengalami penyembuhan rohani dan emosi, serta memahami kesan dosa dan ikatan yang boleh mempengaruhi kehidupan keluarga dari satu generasi ke generasi yang lain.
Diharapkan segala ilmu, pengalaman dan rahmat yang diterima sepanjang lima hari retreat ini akan terus membuahkan kehidupan keluarga Katolik yang lebih kukuh dalam iman, kasih dan pengharapan kepada Kristus.
“Pemulihan bermula apabila hati kembali kepada Tuhan, kerana di dalam Dia terdapat pengampunan, kebebasan dan kehidupan yang baharu.”







































