
Oleh Media Vatikan/ Herald Malaysia
TAKHTA SUCI – Sri Paus Leo XIV menyeru masyarakat dunia agar memberikan perhatian dan perlindungan khusus kepada migran dan pelarian muda yang berdepan keganasan, eksploitasi serta pelbagai pengalaman traumatik sepanjang perjalanan mereka mencari perlindungan.
Seruan itu disampaikan sempena Hari Migran dan Pelarian Sedunia ke-112 pada September 27.
Tahun ini, sambutan tersebut membawa tema “Walaupun hanya seorang daripada kanak-kanak ini,” yang turut menjadi tajuk perutusan Sri Paus bagi memperingati hari berkenaan.
“Ingatan saya tertuju kepada para migran dan pelarian, khususnya kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka.”
“Kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang paling rapuh,” katanya sambil menegaskan bahawa mereka “sering menanggung penderitaan yang tidak terungkap – keganasan, penyeksaan, eksploitasi dan keadaan traumatik – malah kehilangan nyawa sepanjang laluan migrasi.”
“Saya menyeru setiap orang agar menyedari tanggungjawab masing-masing dan mengambil berat akan nasib golongan muda ini. Mereka memerlukan perhatian, perlindungan dan penjagaan kita.”
Walaupun hanya seorang daripada kanak-kanak ini.
Dalam perutusannya sempena Hari Migran dan Pelarian Sedunia yang diterbitkan pada Ogos, Sri Paus mengingatkan bahawa kanak kanak merupakan antara golongan paling rapuh dalam migrasi dan perpindahan secara paksa.
Katanya, berjuta-juta kanak-kanak dan remaja “terpaksa meninggalkan tanah air mereka akibat peperangan, kemiskinan, keganasan, bencana alam sekitar dan pelbagai tragedi lain. Malangnya, jumlah mereka terus meningkat.”
Sri Paus Leo turut menyentuh mengenai “kematian sepanjang laluan migrasi, pemerdagangan dan eksploitasi, pengambilan kanak-kanak untuk digunakan dalam konflik bersenjata, keganasan seksual, perkahwinan paksa serta kekejaman yang mereka alami atau saksikan sepanjang perjalanan. Maruah mereka diinjak-injak dalam pelbagai cara.”
Bapa Suci menegaskan bahawa realiti ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai angka dan statistik.
“Berhadapan dengan realiti tragis ini,” tulisnya, “fikiran saya tertuju kepada kata-kata Yesus yang mencabar hati nurani kita secara mendalam: ‘Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini dalam nama- Ku, dia menyambut Aku’.”
Menurut Bapa Suci, kata-kata Yesus itu mengingatkan bahawa setiap kanak-kanak migran dan pelarian harus diterima sebagai seorang insan yang mempunyai martabat, bukan sebagai beban atau masalah yang perlu diselesaikan. Dalam diri mereka, umat Kristian dipanggil untuk mengenali dan menyambut Kristus sendiri.
Sri Paus Leo menyeru komuniti Kristian agar penerimaan terhadap migran tidak berhenti pada kata-kata, tetapi diterjemahkan melalui tindakan nyata.
Kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan tanah air memerlukan perlindungan, pendidikan, kehidupan yang selamat serta peluang untuk membina kembali masa depan mereka.
Bapa Suci turut mengingatkan bahawa tanggungjawab melindungi mereka bukan hanya terletak pada organisasi kemanusiaan.
Gereja, masyarakat dan pihak berkuasa dipanggil bekerjasama untuk memastikan hak dan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak dihormati, khususnya mereka yang terpisah daripada keluarga atau berhadapan dengan risiko eksploitasi.
Kanak-kanak migran bukan sekadar statistik
Menurut laporan Global Trends 2025 oleh UNHCR yang diterbitkan pada Jun 2026, seramai 117.8 juta orang di seluruh dunia mengalami perpindahan secara paksa pada akhir 2025 akibat penganiayaan, konflik, keganasan, pencabulan hak asasi manusia dan krisis iklim.
Jumlah itu termasuk 41.6 juta pelarian, 9 juta pencari suaka dan 68.7 juta orang yang kehilangan tempat tinggal di negara mereka sendiri akibat konflik atau keganasan.
Kanak-kanak membentuk sebahagian besar daripada populasi yang terpaksa berpindah. UNHCR menganggarkan 45 juta kanak-kanak di bawah usia 18 tahun termasuk dalam kalangan 117.8 juta orang yang mengalami perpindahan secara paksa pada akhir 2025.
Dalam kalangan pelarian, mereka yang berada dalam situasi seperti pelarian serta golongan lain yang memerlukan perlindungan antarabangsa, 39 peratus merupakan kanakkanak.
Di sebalik angka tersebut ialah jutaan kanak-kanak yang kehilangan bukan sahaja tempat tinggal, tetapi juga kehidupan yang stabil.
Perpindahan boleh memisahkan mereka daripada keluarga, mengganggu pendidikan serta mendedahkan mereka kepada risiko keganasan, eksploitasi, pemerdagangan manusia dan pelbagai bentuk penderaan.
Keadaan ini menegaskan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian tidak boleh dilihat sekadar sebagai isu kemanusiaan atau angka dalam laporan.
Setiap kanak-kanak mempunyai martabat, hak dan masa depan yang perlu dilindungi, termasuk hak untuk hidup dalam keselamatan, bersama keluarga serta mendapat pendidikan dan penjagaan yang sewajarnya.
(Terjemahan)




































