MPC 2026 seru Gereja Malaysia melangkah bersama

Gambar berkumpulan MPC 2026 - (Foto: Media MPC 2026)

Oleh Freddy Bohari

SIBU – Persidangan Pastoral Malaysia (MPC) 2026 yang bersejarah bagi Gereja Katolik Malaysia melabuhkan tirai pada petang 12 Sept lalu (Sabtu) dengan Misa Pengutusan Misi (Missioning Mass).

Ia dirayakan di Katedral Sacred Heart di sini pada jam 5.30 ptg dengan Perayaan Ekaristi dipimpin oleh Kardinal Malaysia yang juga Uskup Pulau Pinang, Kardinal Dato’ Seri Sebastian Francis, bersama kesemua lapan uskup lain di Malaysia dan lebih 80 orang paderi. 

Konvensyen anjuran Persidangan Uskup-Uskup Katolik Malaysia itu disertai kira-kira 800 umat, termasuk golongan religius dan para pelayan umat awam. 

Konvensyen empat hari itu, dengan tema ‘Celebrate, Listen, Walk’ (Raikan, Dengar, Berjalan), bermula pada 9 Sept dengan Misa Perasmian. 

Ia diadakan di Gerbang Sibu (Sibu Gateway) dan dihadiri lebih 1,000 umat, yang terdiri daripada sekitar 850 peserta dan jemaat tempatan. 

Sebelum Misa bermula, Liturgi Salib diadakan dengan menggabungkan salib-salib ziarah dari kesembilan keuskupan di Malaysia untuk membentuk Satu Salib Besar. 

Ziarah sembilan salib di kesembilan keuskupan itu telah diadakan dari Mei 2025 hingga September 2026 khusus untuk MPC ini.

Hujan lebat yang turun sebelum permulaan Misa tidak melemahkan semangat semua, malah dilihat sebagai rahmat Tuhan di tengah-tengah jerebu yang menyelubungi Sarawak. 

Menurut Uskup Agung Simon Poh dari Kuching, ia secara tidak langsung merapatkan umat dengan golongan paderi apabila sebahagian jemaat lari daripada hujan dan naik ke atas pentas altar. 

Selepas Misa, perarakan Salib Besar pun bermula dari Gerbang Sibu menuju ke venue MPC, iaitu Kingwood Hotel, di mana peserta memberikan penghormatan kepada salib sambil berdoa hingga tengah malam. 

Majlis Perasmian MPC diadakan pada hari kedua dan disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang.

Semua peserta memakai baju tradisional suku kaum masing-masing dari setiap pelosok negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Aaron berkata kepelbagaian Malaysia merupakan salah satu kekuatan negara.

Beliau menggambarkan negara ini bukan umpama “melting pot” (belanga adunan) tetapi “salad bowl” (mangkuk salad), di mana setiap komuniti mengekalkan identiti masing-masing seraya menyumbang kepada keseluruhan identiti yang lebih kaya.

Ucapan pertama bagi MPC kali ini disampaikan oleh Uskup Agung Emeritus Datuk John Ha, yang berkisar sekitar persoalan “bagaimana kita memutuskan dan bertindak bersama secara kolektif sebagai Gereja Malaysia”.

Selepas ucapan itu, peserta dibahagikan kepada kumpulan seramai sembilan orang untuk ‘Perbualan dalam Roh’ (Conversation in the Spirit), satu cara berbahagi pendapat dan mendengar apa yang ingin disampaikan oleh Roh Kudus.

Ucapan kedua disampaikan pada pagi hari ketiga oleh Uskup Kalookan, Kardinal Pablo Virgilio Kardinal David, atau lebih dikenali sebagai Kardinal Ambo.

Beliau menghuraikan tajuk ‘Keluarga dan Gereja Berjalan Bersama pada Zaman Kita’, dengan menekankan ‘family outreach’ dengan menyantuni keluarga, terutamanya mereka yang tidak pergi ke gereja.

Beliau menekankan keberkesanan ‘Basic Ecclesial Communities’ (BECs) atau Komuniti Kristian Dasar (KKD) sebagai cara terbaik untuk keluarga dan Gereja berjalan bersama-sama.

Ucapan ketiga bertajuk ‘Tanggungjawab kita kepada Penciptaan dan Masyarakat Pada Hari Ini’ disampaikan oleh Felow Penyelidikan Kehormat Institut Penyelidikan Asia di Universiti Nottingham Malaysia, Bridget Welsh.

Menurutnya, umat Katolik bertanggungjawab menjaga masyarakat dengan menjaga alam sekitar yang dicipta oleh Tuhan.

“Jadikanlah misi Yesus lebih nyata dan kelihatan. Beralihlah daripada maklumat kepada pelaksanaan demi kebaikan generasi akan datang,” katanya.

Tiga malam berturut-turut selepas Doa Vesper dan Misa, majlis makan malam dan persembahan telah diadakan oleh tiga keuskupan setiap malam dalam suasana yang sangat meriah dan terbuka.

Matlamat MPC pada kali ini dirumuskan oleh Kardinal Sebastian dengan seruan kepada peserta untuk melangkah ke hadapan bersama sebagai Gereja Katolik Malaysia.

Beliau menggalakkan peserta untuk bertolak ke tempat yang lebih dalam (‘duc in altum’, Lukas 5:4), dan menjadi garam dan cahaya dengan cara sinodal (berjalan bersama dalam keluarga, gereja, masyarakat dan ekologi) di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.