Oleh JSSPK St Theresa, Serian
SERIAN — Seramai 113 pelajar Sekolah Minggu dari 28 buah kampung dalam Paroki St Theresa, Serian menyertai Kem Kanak-kanak JSSPK 2026 yang berlangsung selama tiga hari, dari 28 hingga 30 Ogos lalu.
Bertemakan ‘Little Pilgrims of Hope: Walking with Jesus’ (Penziarah Kecil Harapan: Berjalan Bersama Yesus), kem tersebut memberi penekanan kepada amalan berdoa dalam kehidupan seharian kanak-kanak, di samping memupuk kehidupan rohani mereka sejak usia muda.
Sepanjang kem, para peserta dibimbing untuk memperdalam hubungan peribadi dengan Yesus Kristus serta memahami kehidupan iman sebagai penziarah harapan yang berjalan bersama Kristus.
Rektor Paroki St Theresa, Fr Lazarus Swinie, menyampaikan perkongsian bertajuk ‘Doa Agung’, manakala Katekis Edward membimbing peserta melalui sesi mengenai kepentingan berdoa.
Sementara itu, Katekis Roystan menyampaikan sesi mengenai jenis-jenis doa.

Antara pengisian kerohanian lain termasuk sesi pujian dan penyembahan, Doa Rosari, Doa Kerahiman Ilahi serta Taizé. Para peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti sukaneka, malam persembahan rohani dan pelbagai aktiviti berkumpulan yang dikendalikan oleh guru-guru Sekolah Minggu.
Kem tersebut turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan kanak-kanak, guru dan komuniti Paroki St Theresa melalui penyertaan dari 28 buah kampung.
Seramai 70 guru Sekolah Minggu terlibat dalam pengurusan kem, termasuk membimbing peserta serta memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang program berlangsung.
Penganjur merakamkan penghargaan kepada Fr Lazarus Swinie, Majlis Pastoral Paroki (PPC) St Theresa, para paderi dan katekis, Dato’ Sri Dr Richard Riot anak Jaem, John anak Ilus, para penderma serta semua guru, ibu bapa dan sukarelawan atas sokongan dalam menjayakan kem tersebut.
Kem JSSPK 2026 diharapkan dapat membantu kanak-kanak menghayati doa bukan sekadar sebagai satu amalan, tetapi sebagai sebahagian daripada perjalanan iman dan hubungan mereka dengan Tuhan.






































