Oleh St Theresa Serian
SERIAN — Pada 31 Julai hingga 2 Ogos yang lepas, Paroki St Theresa Serian telah menganjurkan Seminar Siri 5 ‘Kesatuan Ilahi II’ di Dewan Gereja Paroki St Theresa yang disampaikan oleh Diakon Profesor Dr Sherman Kuek OFS.
Lebih 300 umat sekitar Paroki St Theresa telah menyertai seminar tersebut dengan jayanya. Seminar Siri 5 ini menerangkan tentang sakramen-sakramen yang perlu dihayati oleh semua umat.
Seminar dimulakan pada petang Jumaat dengan perayaan Misa Kudus yang dirayakan oleh Rektor St Theresa Serian, iaitu Fr Lazarus Swinie.
Dalam ucapan pembukaannya, Fr Lazarus Swinie menekankan bahawa umat harus sentiasa mendalami iman mereka dengan menyertai seminar yang dianjurkan seperti ini.
Pada seminar ini, Diakon Sherman memberi tumpuan kepada sakramen-sakramen inisiasi, seperti Ekaristi, Kepaderian, Perkahwinan dan Pengakuan Dosa, dengan menyampaikan penerangan mendalam.
Semua peserta menyatakan bahawa maklum balas yang telah disampaikan amat berguna bagi mendalami iman sebagai umat Katolik.
Seminar seterusnya akan diadakan pada tahun hadapan, dan semua umat sekitar Paroki St Theresa Serian diharapkan dapat turut serta secara beramai-ramai.











































