Perjalanan Salib satukan umat Holy Trinity menjelang MPC 2026

Perarakan membawa Salib oleh umat yang menghadiri Misa Hari Minggu.

Oleh Justin Anak Martin

KUCHING — Gereja Holy Trinity, Kenyalang Park telah menjadi tempat berkumpulnya umat Katolik dalam satu perjalanan iman yang istimewa menerusi program Perjalanan Salib yang berlangsung dari 8 hingga 22 Ogos 2026 sebagai sebahagian daripada persediaan menuju Konvensyen Pastoral Malaysia (MPC) 2026 yang diadakan di Sibu, Sarawak.

Program selama dua minggu ini menghimpunkan ratusan umat yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kerohanian termasuk doa Rosari, perarakan menyambut ketibaan Salib, Doa Taize, Holy Hour, penghormatan kepada Bonda Maria serta beberapa sesi simposium.

Perjalanan ini bermula pada 8 Ogos apabila Salib disambut dari Gereja St Peter, Padungan sebelum dibawa ke Gereja Holy Trinity. 

Pada keesokan harinya, sebelum Misa Hari Minggu Bahasa Malaysia dimulakan, perarakan membawa Salib diadakan untuk menyambut ketibaan Salib. Pada sebelah petang umat berkumpul untuk Doa Rosari Khas serta Doa Taizé.

Sepanjang program, Salib menjadi tanda yang mengingatkan umat tentang kasih, pengorbanan dan panggilan untuk mengikut Kristus bukan sahaja melalui doa, tetapi juga melalui kehidupan seharian.

Simposium yang diadakan sepanjang program ini dibahagikan kepada tiga kumpulan bahasa, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin, bagi membolehkan umat daripada pelbagai latar bahasa mengambil bahagian dan mengikuti pengisian dengan lebih mudah.

Setiap simposium turut disusuli dengan sesi ‘Conversation in the Spirit’ (Perbualan Rohani), di mana umat dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan renungan berkaitan dengan topik yang telah dibincangkan. 

Sesi ini memberi ruang kepada umat untuk saling mendengar, berkongsi pengalaman serta mendalami pemahaman mereka melalui dialog dan perbincangan bersama.

Sesi Perbualan Rohani (Conversation in the Spirit).

Iman yang bermula dalam keluarga
Salah satu pengisian utama ialah Simposium Keluarga dan Ibadat Sabda Salib pada 10 Ogos, dengan tema yang menekankan usaha untuk mengekalkan keluarga Katolik dalam kasih, iman, pengampunan dan harapan.

Simposium tersebut dikendalikan oleh Cosmas Klumai dan Stephanie Ng daripada Ministri Keluarga Keuskupan Agung Kuching. Perbincangan memberi ruang kepada umat untuk melihat kembali peranan keluarga sebagai tempat pertama untuk memupuk iman, kasih dan pengampunan.

Keluarga bukan sekadar tempat untuk hidup bersama, tetapi merupakan ruang penting untuk membina iman dan nilai Kristian dalam kehidupan anak-anak serta generasi akan datang.

Menjaga penciptaan sebagai tanggungjawab iman
Tema ekologi pula diketengahkan melalui Simposium Ekologi pada 14 Ogos yang disampaikan oleh Friar Nelson Evarinus Sipalan OFM, Naib Rektor Gereja St Ann dan Ketua Ministri bagi Penjagaan Penciptaan. 

Tema simposium menekankan kepentingan mengekalkan iman Katolik dengan memelihara bumi dengan rasa hormat, tanggungjawab dan kesyukuran.

Perkara ini mengajak umat untuk melihat penjagaan alam sekitar bukan sekadar isu sosial, tetapi turut berkait rapat dengan tanggungjawab manusia sebagai penjaga ciptaan Tuhan.

Program tersebut turut disusuli dengan Jam Suci dan Penjagaan Alam Ciptaan pada 13 Ogos serta penghormatan kepada Bonda Maria pada 15 Ogos.

Iman diterjemahkan melalui keadilan dan solidariti
Pada 17 Ogos, Simposium Masyarakat pula membawa umat kepada persoalan yang lebih luas mengenai kehidupan bermasyarakat.

Sesi tersebut disampaikan oleh Sister Catherine Uming, SSFS, selaku salah seorang delegasi MPC dari Keuskupan Agung Kuching. 

Fokusnya ialah bagaimana umat dapat mengekalkan iman Katolik dengan menegakkan keadilan, memupuk keamanan serta berdiri bersama dalam solidariti dengan golongan miskin dan rentan.

Tema ini mengingatkan bahawa kehidupan iman tidak berhenti di dalam gereja. Iman juga dipanggil untuk diterjemahkan melalui keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan, usaha membina keamanan serta keberanian untuk berdiri bersama mereka yang terpinggir.

Gereja melalui persekutuan, penyertaan dan kesaksian
Pengisian terakhir melalui Simposium Gereja pada 19 Ogos disampaikan oleh David Disam selaku Pengerusi Majlis Pastoral Keuskupan Agung.

Simposium ini membawa tema bagaimana umat dapat mengekalkan iman Katolik dengan membantu Gereja berkembang melalui persekutuan, penyertaan dan kesaksian Injil dengan penuh sukacita.

Ketiga-tiga tema utama- keluarga, ekologi dan masyarakat- akhirnya bertemu dalam satu panggilan yang sama: umat Katolik dipanggil bukan sahaja untuk menerima iman, tetapi untuk menghidupkan dan menyaksikannya dalam keluarga, komuniti dan Gereja.

Salib sebagai tanda perjalanan iman bersama
Selain simposium, umat turut menyertai Jalan Salib Keluarga pada 12 Ogos serta Jalan Salib bertemakan keadilan dan keamanan pada 18 Ogos. Program turut diisi dengan ibadat, Doa Taizé, Jam Kudus serta Malam Pujian dan Penyembahan.

Perjalanan ini berakhir pada 22 Ogos, apabila Salib diserahkan kepada Katedral St Joseph.

Sepanjang dua minggu tersebut, Perjalanan Salib bukan sekadar satu siri aktiviti gereja, tetapi menjadi satu perjalanan rohani yang mengajak umat untuk berhenti sejenak, berdoa dan merenung kembali panggilan mereka sebagai pengikut Kristus.

Lebih daripada sekadar membawa Salib dari satu tempat ke tempat yang lain, umat diajak untuk membawa makna Salib ke dalam kehidupan – melalui kasih dalam keluarga, penjagaan terhadap ciptaan Tuhan, usaha memperjuangkan keadilan dan keamanan, serta kesediaan untuk mengambil bahagian dalam kehidupan Gereja.

Dalam persediaan menuju MPC 2026, pengalaman ini menjadi satu peluang kepada umat Gereja Holy Trinity, Kenyalang Park untuk memperbaharui iman, mempereratkan persekutuan dan mempersiapkan diri untuk berjalan bersama sebagai umat Tuhan.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.